Adakah Fenomena Latah Hanya Terjadi Dalam Kalangan Orang Melayu Malaysia?

Salah
Adakah Fenomena Latah Hanya Terjadi Dalam Kalangan Orang Melayu Malaysia?

Individu yang melatah akan berbuat demikian apabila dia berasa terkejut

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/07/2022 - Disunting : 06/07/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Fenomena Latah Hanya Terjadi Dalam Kalangan Orang Melayu Malaysia?

Di Malaysia, budaya melatah dilihat sebagai suatu perkara yang kebiasaannya berlaku dalam kalangan orang Melayu. Namun begitu, benarkah ia hanya eksklusif kepada orang Melayu di Malaysia atau ada terjadi dalam kalangan masyarakat dan budaya lain juga?

Sebelum mengkaji tentang perkara tersebut, penting untuk memahami konsep melatah terlebih dahulu. Apabila seseorang itu melatah, individu berkenaan kebiasannya tidak akan sedar dengan tindak-tanduknya sewaktu kejadian tersebut. Pakar Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohammaed Saffari Mohammad Haspani, mengatakan latah adalah satu sindrom budaya khusus, atau culture-bound syndrome (CBS) yang berlaku dalam kalangan penduduk di Asia Tenggara.  Pada tahun 1994, latah telah pertama kali disenaraikan di dalam Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit (DSM-IV) serta Pengkelasan Penyakit Antarabangsa (ICD-10) sebagai CBS, iaitu gangguan mental yang disebabkan oleh budaya dan bukan sejenis penyakit.

 

Sindrom melatah dalam kalangan masyarakat bukan Melayu

Seorang ahli antropologi, Hildred Geertz, telah menulis sebuah artikel bertajuk ‘Latah in Java: A Theoretical Paradox’. Walaupun latah dikatakan hanya terjadi dalam konteks budaya Malaysia dan Indonesia, sindrom yang sangat serupa dengan latah turut wujud dalam beberapa budaya lain seperti di Filipina, Jepun dan Amerika Syarikat. Seorang penulis, Lawrence Osborne, menceritakan pengalamannya bertemu dengan orang ‘latah’ dari kalangan masyarakat bumiputera di Sarawak. Dia mendapati bahawa mereka mula melatah disebabkan oleh suatu trauma yang dihadapi atau akibat terjangkit daripada orang lain yang turut melatah. Perkara ini jelas boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa. 

Di Filipina, sejenis CBS yang hampir sama dengan latah digelar Mali-mali. Seseorang yang mempunyai sindrom Mali-mali mempunyai gangguan terhadap percakapan dan perlakuan yang tidak boleh dikawal, sama seperti karakteristik seorang yang melatah. Imu pula terjadi di dalam kalangan masyarakat Ainu, sebuah masyarakat minoriti di timur laut Hokkaido, Jepun. Seperti melatah, seseorang akan berada dalam keadaan imu apabila terkejut. Dalam situasi yang lebih teruk, imu boleh terjadi hanya apabila seseorang mendengar perkataan yang tertentu seperti tokoni (ular). Pengkaji menyatakan bahawa imu merupakan sebahagian daripada latah. Simptom seakan-akan latah turut ditemui dalam kalangan pembalak di kawasan Maine, Amerika Syarikat. Apabila terkejut, seseorang dengan simptom Jumping Frenchmen of Maine akan melompat, menjerit, mengibas tangan, memukul dan mencampak barang.

 

Fenomena latah boleh terjadi kepada sesiapa sahaja

Berdasarkan kajian kes dan pengalaman yang didapati, jelas bahawa fenomena latah, sejenis sindrom budaya khusus (CBS), bukan hanya terjadi dalam masyarakat Melayu Malaysia. Walaupun mempunyai nama yang berbeza, sindrom yang dinyatakan adalah lebih kurang serupa dengan latah. Oleh itu, terdapat pelbagai budaya yang mempunyai CBS seperti latah dan mungkin sedikit berbeza berdasarkan konteks masyarakat setempat. 

 


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/05/53789/latah-penyakit-rakyat
2. https://www.nytimes.com/2001/05/06/magazine/8-case-study-latah-location-borneo-malaysia-regional-disturbances.html
3. https://www.academia.edu/39192521/Mali_mali_A_Phenomenological_Study_About_Culture_Bound_Syndrome_in_the_Philippines
4. https://www.academia.edu/29670021/Shamans_and_Imu_Among_Two_Ainu_Groups_Toward_a_Cross_Cultural_Model_of_Interpretation
5. https://link.springer.com/article/10.1007/BF01573415
6. https://rarediseases.org/rare-diseases/jumping-frenchmen-of-maine/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago