Adakah Gerimander Dipraktikkan Di Malaysia?

Benar
Adakah Gerimander Dipraktikkan Di Malaysia?

Gerimander merupakan satu konsep berkaitan pilihan raya yang sering diutarakan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/10/2022 - Disunting : 14/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Gerimander Dipraktikkan Di Malaysia?

Malaysia akan menjalani Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi selepas Parlimen ke-14 dibubarkan pada 10 Oktober 2022. Salah satu isu yang sering dibincangkan berkenaan pilihan raya adalah praktis gerrymandering atau gerimander. Persoalannya, adakah ia benar-benar terjadi di Malaysia?

Gerimander adalah persempadanan semula konstituen atau daerah pilihan raya untuk memberi kelebihan kepada satu parti politik dengan cara memecah-belahkan undi kepada parti lain menjadi minoriti di konstituen pilihan raya. Perkataan gerimander berasal dari “Gerry-mander” yang diberi nama berdasarkan sebuah lukisan peta pilihan raya seakan-akan seekor salamander pada tahun 1812. Nama Gerry-mander dipilih sempena nama Gabenor Massachusetts ketika itu, Elbridge Gerry, yang membenarkan penyusunan semula sempadan daerah bagi tujuan politik.

Kredit: Elkanah Tisdale

Persempadanan semula di Malaysia

Berdasarkan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula jatuh di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan perlu dikaji semula setiap lapan tahun. Persempadanan semula adalah penting bagi memastikan perwakilan sama rata bagi setiap konstituen. 

Pada awal tahun ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah meminta SPR melakukan persempadanan semula bagi mengelakkan diskriminasi terhadap lebih 5.8 juta pengundi muda selepas UNDI18 dilaksanakan. Pada masa yang sama, BERSIH juga mengingatkan bahawa proses persempadanan semula boleh disalah guna bagi menguntungkan sesebuah parti yang membawa maksud gerimander. 

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 selepas persempadanan semula pada tahun yang sama

Persempadanan semula kawasan pilihan raya terakhir kali berlaku pada tahun 2018, dengan pindaan terhadap 12 nama kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). 129 ahli Parlimen telah menyokong persempadan semula ini, manakala 80 orang lagi menolak. Melalui persempadanan semula ini, konstituen terbesar Damansara mempunyai 150, 439 pengundi, sebaliknya konstituen terkecil Putrajaya hanya mempunyai 17, 627 pengundi. Perkara ini jelas menunjukkan perwakilan di dalam Parlimen yang tidak adil bagi pengundi Damansara dan merupakan satu bentuk gerimander berdasarkan pola undian penduduk di kawasan terlibat. Badan Peguam Malaysia turut mengkritik persempadanan semula yang dilihat tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. 

 

Praktis gerimander di Malaysia

Pada tahun 2002, DUN Kajang telah dibahagikan menjadi DUN Kajang dan DUN Bangi yang kemudiannya memberi kejayaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-11 (2004). Perkara ini bertepatan dengan konsep gerimander kerana BN berjaya merampas DUN Kajang daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Namun begitu, konsep gerimander di kedua kawasan tersebut dilihat hanya berjaya bagi satu penggal kerana BN telah ditewaskan pembangkang pada PRU ke-12 (2008). 

Gerimander juga berlaku di Kelantan apabila BN menang PRU ke-14 (2018) dengan majoriti 4,624 undi berbanding 974 undi pada PRU ke-13 di Parlimen Ketereh setelah persempadanan semula. Menurut pengkaji di Universiti Kebangsaan Malaysia, persempadanan di Kelantan ketika itu memberi kelebihan kepada BN  serta mengurangkan peratus keluar mengundi akibat kesukaran untuk membuang undi.

Sebuah kajian telah dijalankan untuk mendapatkan pandangan penduduk terhadap perubahan persempadanan pilihan raya di Parlimen Hulu Langat dan Serdang pada tahun 2016. Lebih 70% responden setuju dan sangat setuju bahawa persempadanan semula yang dijalankan adalah berat sebelah dan memihak pada sebelah pihak. Namun, hanya lebih kurang 42% yang setuju bahawa gerimander merupakan salah satu bentuk ketidakadilan kepada parti pembangkang.

 

Gerimander jelas dipraktikkan di Malaysia

Berdasarkan keputusan PRU setelah persempadanan semula dilakukan, jelas bahawa terdapat niat untuk gerimander yang memihak pada sebelah pihak. Selain bersifat amat berat sebelah, gerimander juga memberikan perwakilan yang tidak sama rata bagi pengundi. Perbezaan ketara antara jumlah undian di konstituen yang berlainan menunjukkan ramai pengundi tidak mendapat perwakilan yang sepatutnya serta melanggar prinsip “one man, one vote. Tindak Malaysia telah menghasilkan sebuah Aplikasi Peta Interaktif yang menunjukkan sempadan kawasan pilihan raya serta saiz bilangan pemilih deibandingkan dengan kuota pemilih negeri.


Rujukan:

1. https://www.history.com/news/gerrymandering-origins-voting
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/01/19/bersih-gesa-persempadanan-semula-kawasan-pilihan-raya-elak-diskriminasi-pengundi-muda/
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/405978/laporan-sempadan-semula-boleh-dimuat-turun
4. https://m.malaysiakini.com/news/418233
5. http://journalarticle.ukm.my/5028/1/jab012.pdf
6. http://journalarticle.ukm.my/17635/1/39617-156780-1-PB.pdf
7. http://malrep.uum.edu.my/rep/Record/oai:ir.upsi.edu.my:3098
8. https://www.malaysiakini.com/news/417270

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago