Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama seperti yang tertakluk di dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, perkara ini tidak terpakai kepada penduduk beragama Islam kerana perbuatan keluar daripada agama merupakan satu jenayah menurut undang-undang syariah.
Orang ramai pasti pernah mendengar bahawa seseorang yang murtad patut dikenakan hukuman bunuh ke atasnya. Persoalannya, adakah hukuman ini dibenarkan menurut kerangka undang-undang di Malaysia?
Murtad dan sebab-sebabnya
Murtad bermaksud tindakan keluar daripada agama Islam atau tidak lagi memeluk Islam dan memeluk agama atau kepercayaan lain. Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pengertian murtad dapat difahami berdasarkan kepada pendapat ulama daripada keempat-empat mazhab Islam.
Mazhab Hanafi
Murtad adalah ibarat kembali daripada iman kepada kufur.
Mazhab Maliki
Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.
Mazhab Syafie
Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.
Mazhab Hanbali
Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupun keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.
Berdasarkan pendapat-pendapat tersebut, dapat disimpulkan bahawa murtad adalah perbuatan keluar daripada Islam, sama ada melalui ucapan, perbuatan atau niat, serta tidak kira dalam keadaan bergurau, ingkar atau iktikad. Ia dilakukan secara sukarela dan tanpa paksaan.
Secara umumnya, terdapat empat perkara yang boleh menyebabkan seseorang jatuh murtad seperti berikut:
- Menolak hukum yang telah disepakati dan kebiasaannya diketahui umum, seperti kewajiban zakat, puasa dan haji, menolak pengharaman arak atau menolak bahawa al-Quran adalah ayat suci Allah SWT.
- Melakukan perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang kafir seperti menyembah berhala atau ibadat-ibadat lain orang kafir. Ia juga termasuk melakukan sesuatu secara sukarela yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti meletakkan al-Quran bersama najis.
- Mengucapkan sesuatu yang bercanggah dengan pegangan Islam, sama ada berasaskan keyakinannya, keingkarannya atau untuk tujuan mempersenda agama.
- Iktikad atau niat kufur, iaitu tidak mempercayai kewujudan Allah, malaikat, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari Akhirat serta qada dan qadar.
Allah SWT telah berfirman dalam ayat 137 surah an-Nisa tentang orang yang beriman kemudian menjadi kafir, atau telah murtad.
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi petunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar”.
Surah an-Nisa (4: 137)
Berdasarkan ayat al-Quran ini, perbuatan murtad tidak akan mendapat pengampunan daripada Allah SWT, sekaligus menafikan syurga bagi seseorang.
Hukuman terhadap individu murtad menurut Islam
Secara umumnya, umat Islam termasuk agamawan dan ilmuwan percaya bahawa perbuatan murtad harus dikenakan hukuman mati. Carian kami terhadap tafsir al-Quran melalui laman web celiktafsir, tidak menemui sebarang ayat yang menjelaskan hukuman ke atas individu murtad ketika di atas dunia.
Perkara ini turut diakui dalam satu artikel yang diterbitkan oleh Centre for Crime and Justice Studies United Kingdom. Penulis artikel tersebut menjelaskan bahawa golongan murtad sememangnya dimurkai Allah SWT, tetapi tidak dinyatakan hukuman jenayah di dalam al-Quran, selain daripada hukuman di akhirat.
Satu artikel yang diterbitkan dalam International Journal for the Study of Modern Islam (Die West des Islams) mendalami isu murtad dalam Islam. Penulis mendapati ilmuwan Islam seperti Muhammad ‘Abduh dan Rashid Rida membahaskan bahawa individu murtad tidak seharusnya dihukum bunuh. Perkara ini adalah atas hujah bahawa tiada sebarang ayat al-Quran memerintahkan hukuman bunuh semata-mata kerana murtad. Sebaliknya, perintah seperti yang terdapat dalam surah an-Nisa ayat 89 dan ayat 90, adalah khusus bagi individu murtad yang mendatangkan bahaya dan bersikap agresif terhadap agama Islam.
Di samping itu, perbuatan berkenaan murtad sememangnya disebut dalam al-Quran seperti ayat 217 surah al-Baqarah, ayat 177 surah Ali Imran dan ayat 115 surah An-Nisa. Namun hukuman yang dijelaskan adalah dari segi laknat oleh Allah SWT dan ditempatkan ke dalam neraka, bukan hukuman bunuh di dunia.
Pendapat bahawa individu yang murtad perlu dihukum bunuh adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:
ُوهُ تُل َم ْن بَدَّ َل ِدينَهُ فَاقْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah ia”.
Dalam masa yang sama, seseorang diberikan masa untuk bertaubat selama tiga hari dan tiga malam. Kegagalan bertaubat akan menyebabkan hukuman tersebut wajib dilaksanakan. Di samping itu, individu murtad yang telah bertaubat tetap akan dikenakan hukuman gantian seperti disebat, penjara, denda dan memalukannya di khalayak ramai. Malah, harta orang yang murtad akan dirampas dan dijadikan hak milik Baitul Mal. Perkara ini menyebabkan harta tersebut tidak boleh diwarisi oleh warisnya sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam.
Walau bagaimanapun, sebenarnya terdapat pendapat yang berbeza berkenaan hukuman ke atas individu murtad. Hukum bunuh merupakan hukum hudud, manakala terdapat pendapat yang menghukum perbuatan murtad dengan takzir, iaitu bukan hukum hudud. Pendapat ini merupakan pendapat utama ulama kontemporari yang menjelaskan hukuman murtad adalah takzir pada dasarnya.
Menurut satu kertas kajian dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), terdapat ulama yang mengkritik kesahihan hadis di atas sebagai hadis ahad yang tidak kuat untuk dijadikan hujah kepada suatu hukum. Dalam masa yang sama, terdapat pandangan yang menganggap Rasulullah SAW meletakkan hukuman bunuh tersebut bukan semata-mata kerana murtad, tetapi terdapat pemberontakan menentang Islam.
Dr. Mohammad Nidzam Bin Abdul Kadir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerbitkan satu artikel yang meneliti hukuman ke atas murtad dalam perspektif masyarakat majmuk dan keamanan negara. Seperti kajian di atas, rujukan ke atas riwayat hadis dalam konteks kenegaraan dan kategori takzir mendapati bahawa hukuman hudud atau bunuh ke atas individu murtad hanya dilaksanakan apabila wujud unsur penghinaan dan sikap ekstrem menentang Islam.
Di samping itu, sarjana Islam Mohsen Kadivar menyatakan bahawa ketika zaman Rasulullah SAW, tiada sesiapa yang dihukum bunuh kerana murtad, tetapi kerana melakukan jenayah-jenayah lain selain murtad. Sarjana kontemporari Muhammad Abed al-Jabiri berkata pembunuhan ke atas golongan murtad (ridda) ketika zaman kalifah Saidina Abu Bakar AS berlaku dalam keadaan peperangan, dan bukan semata-mata kerana keluar daripada Islam.
Malah, Imam al-Syafie turut menyatakan bahawa Rasulullah SAW ketika di Madinah tidak menghukum bunuh individu yang masuk Islam dan keluar semula. Hadis berkenaan hukuman bunuh ke atas individu murtad wujud ketika perang antara Islam dan kafir sebelum perjanjian Hudaibiyah termaktub. Ketika itu, meninggalkan Islam dilihat sebagai perbuatan membelot terhadap tentera Islam dan satu pengkhianatan yang sehingga kini boleh dikenakan hukuman bunuh.
Undang-undang berkenaan murtad di Malaysia
Menerusi Perlembagaan Persekutuan, undang-undang syariah jatuh di bawah bidang kuasa setiap negeri. Perkara ini bermaksud setiap negeri mempunyai kuasa untuk menggubal dan menjalankan undang-undang berkenaan agama Islam yang tidak bertentangan dengan perlembagaan negara. Secara tidak langsung, ia menyebabkan undang-undang syariah, termasuk berkenaan kesalahan murtad, bersifat tidak seragam kerana penggubalannya adalah tertakluk kepada setiap negeri.
Dalam masa yang sama, undang-undang berkenaan murtad di Mahkamah Syariah tidak jelas dengan beberapa negeri tidak mempunyai peruntukan sama sekali mengenai kesalahan ini. Terdapat negeri yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah dalam kes murtad serta menyediakan tatacara berkaitan termasuk istitabah dan hukuman.
Sebaliknya, ada negeri yang hanya membenarkan Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes murtad tetapi tidak mengiktirafnya sebagai suatu jenayah dan tiada hukuman dikenakan. Malah, Mahkamah Syariah di sesetengah negeri tidak diberikan kuasa sama sekali untuk membicarakan kes bagi menentukan status agama seorang Islam.
Menurut satu artikel di dalam Jurnal Penyelidikan Undang-undang Syariah, hanya enakmen di tujuh negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Sabah mempunyai perundangan berkaitan kesalahan murtad.
Negeri Kelantan dan Terengganu pernah melakukan usaha untuk menggubal undang-undang murtad secara khusus, namun kedua-dua enakmen tersebut tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu. Di bawah kedua-dua enakmen ini, ditetapkan bahawa individu yang melakukan kesalahan irtidad (berkaitan dengan murtad) akan diberi tempoh bertaubat tidak kurang tiga hari. Sekiranya individu tersebut tidak bertaubat, dia akan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun, ketika mana dia harus bertaubat dalam tempoh itu. Kegagalan bertaubat setelah tempoh tersebut akan menyebabkan boleh diisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya.
Walau bagaimanapun, Mahkamah Syariah hanya boleh menjalankan undang-undang jenayah yang merangkumi hukuman maksimum tiga tahun penjara, enam sebatan, RM5,000 denda atau gabungan mana-mana hukuman.
Menurut peguam Ahmad Jailani Abdul Ghani, wujud dilema yang dialami oleh Mahkamah Syariah, iaitu jika seseorang itu diisytiharkan telah murtad dan menjadi seorang bukan Islam, mahkamah tidak berkuasa untuk membicarakannya lagi.
Malaysia tidak mengenakan hukuman bunuh ke atas individu Islam yang murtad
Jelaslah bahawa tidak wujud sebarang undang-undang di Malaysia yang membenarkan seorang murtad dikenakan hukuman bunuh. Malah, di dalam Islam sendiri, terdapat pendapat bahawa hukuman bunuh ini hanya dikenakan jika individu murtad tersebut bertindak menghina dan menentang agama Islam.
Di Putrajaya, seorang wanita meminta supaya dia diisytiharkan sebagai bukan Islam namun Mahkamah Tinggi Syariah telah menolak permohonan tersebut. Wanita tersebut tidak dikenakan tindakan undang-undang, sebaliknya diperintahkan untuk ‘istitabah’ atau bertaubat dan mengikuti kelas agama Islam serta kaunseling akidah.
Ahmad Jailani, yang juga merupakan seorang pendakwah, berkata dalam menghakimi kes murtad, harus dilihat sama ada individu yang ingin murtad merupakan mualaf yang diabaikan. Jika dalam situasi ini, mereka tidak seharusnya dihukum kerana ia akan menjadi suatu kezaliman.