Pada pagi 18 Oktober 2023, dunia dikejutkan dengan berita pengeboman ke atas Hospital al-Ahli Arab oleh kerajaan Israel. Terletak di utara Gaza, ia merupakan satu-satunya hospital Kristian dan antara hospital tertua di wilayah itu sejak ditubuhkan pada 1882.
Serangan kali ini membangkitkan kemarahan orang ramai kerana telah meragut lebih 500 nyawa tidak bersalah menurut anggaran Kementerian Kesihatan Palestin. Jumlah kematian itu merupakan angka yang terbesar dalam insiden tunggal di Gaza. Ironinya, tentera Israel cuba meletakkan salah pada Hamas atau kumpulan Islamic Jihad dengan mengatakan ia disebabkan oleh serangan yang tidak menjadi.
Ia menyebabkan bukan sahaja ketua-ketua negara dunia pantas mengkritik, tetapi rakyat negara lain turut mengadakan demonstrasi bagi membantah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh rejim Zionis.
Pada masa yang sama, timbul persoalan sama ada Hospital al-Ahli Arab merupakan pusat perubatan pertama di Palestin yang diserang oleh Israel. Mari kita semak maklumat berkaitan perkara ini.
Hospital di Gaza terima amaran pemindahan dari Israel
Menurut laporan oleh Al-Jazeera, sebanyak 22 hospital di Semenanjung Gaza yang menempatkan lebih 2,000 pesakit telah menerima notis pemindahan daripada tentera Israel, termasuk Hospital al-Ahli Arab.
Platform berita itu turut diberitahu oleh seorang pegawai kesihatan senior bahawa dua tembakan artileri telah dilepaskan oleh Israel ke atas Hospital al-Ahli Arab sebagai amaran. Perkara ini berlaku beberapa hari sebelum hospital itu dibom. Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Gaza dan Tebing Barat, Dr Richard Peeperkorn berkata hospital juga telah menjadi tempat yang tidak selamat.
Setelah amaran pemindahan dari kawasan sekitar hospital dikeluarkan, beratus-ratus penduduk Palestin telah berlindung di sana. Keluarga sedang berteduh di halaman hospital apabila serangan udara dilakukan. Sebelum itu, Hospital Al-Ahli Arab telah mengalami kerosakan akibat ditembak oleh roket Israel. Dua tingkat pusat kanser telah rosak dan empat orang pekerja tercedera.
Melalui satu kenyataan, WHO mengkritik amaran pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel ke atas 22 buah hospital di utara Gaza tersebut. Menurutnya, pemindahan pesakit dan petugas kesihatan secara paksa akan memburukkan lagi bencana kemanusiaan dan kesihatan awam yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.
Senarai beberapa hospital dibom Israel Oktober 2023
Memandangkan sebanyak 22 buah hospital di Gaza telah menerima amaran pemindahan, jelas bahawa Hospital al-Ahli Arab bukan satu-satunya sasaran pihak Israel. Nournews telah menyenaraikan beberapa pusat perubatan yang diserang baru-baru ini di Gaza dan Tebing Barat.
13 Oktober 2023
- Tempat tinggal seorang kakitangan Medical Aid for Palestinians (MAP) dibom.
- Hospital Kanak-kanak Durrah dibom dengan bahan kimia fosforus putih yang diharamkan.
- Hospital Al Awda di Jabalia, Utara Gaza, dipaksa untuk dikosongkan walaupun sedang menempatkan ramai pesakit kritikal.
14 Oktober 2023
- Jordan Field Hospital di Gaza diserang dan teruk dimusnahkan oleh tembakan (shelling) tentera Israel sehingga tidak dapat berfungsi sama sekali.
- Bulan Sabit Merah Palestin diarahkan supaya mengosongkan Hospital Al-Quds di Gaza oleh pihak Israel dan meninggalkan pesakit untuk menyelamatkan diri mereka. Hospital itu kemudiannya diserang pada hari yang sama.
- Hospital Al Shifa, Pusat Perubatan Al-Wafa dan Hospital Abu Youself al-Najjar dipaksa dikosongkan. Hospital Abu Youself al-Najjar mengalami kerosakan akibat tembakan (shelling) tentera Israel.
Serangan udara oleh Israel ke atas Hospital Al-Quds pada hari sama arahan pemindahan diberikan dan memusnahkan Hospital Al-Quds yang menempatkan beratus keluarga berlindung daripada serangan udara. Penduduk Palestin yang cuba melarikan diri ditembak oleh penembak hendap Israel. Doktor kemudiannya membawa pesakit ke Hospital Al-Shifa yang sudah pun penuh.
Serangan oleh rejim Zionis ke atas pusat perubatan bukan baru bermula pada tahun ini. Menurut WHO, separuh daripada sejumlah 122 kemudahan perubatan telah dirosakkan atau musnah antara 2008 hingga 2009. 15 hospital dan 41 pusat penjagaan kesihatan utama mengalami kerosakan, manakala 29 buah ambulans rosak atau musnah.
Pada tahun 2014, Hospital Al-Aqsa dibedil di bahagian bilik pembedahan dan unit rawatan intensif (ICU) sehingga membunuh 5 orang dan mencederakan 40 yang lain. Israel meneruskan serangan mereka apabila Hospital Al-Wafa dibom dua hari kemudian, dengan dakwaan bahawa ia menempatkan pusat arahan Hamas. Namun tiada sebarang kecederaan kerana pesakit dan pekerja hospital telah meninggalkan hospital itu.
Dakwaan hospital merupakan pusat arahan Hamas turut menyebabkan Hospital Al-Shifa diserang. Doktor Mads Gilbert yang bertugas ketika itu berkata dia tidak melihat mana-mana ahli Hamas.
Israel bukan sahaja menyasarkan pusat kesihatan, malah sekolah. Pada hujung 2020, Gaza Center for People with Disabilities, Hospital Kanak-kanak Mohammad Al-Durrah dan Shuhada School menghadapi serangan peluru berpandu daripada pesawat Israel.
Serangan tetap dilakukan oleh Israel sewaktu pandemik COVID-19 melanda dunia. Data oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa enam hospital dan sembilan pusat penjagaan kesihatan utama di Gaza telah rosak akibat serangan udara Israel. Malah, makmal COVID-19 utama Gaza turut diserang sehingga mengorbankan nyawa dua orang doktor
WHO turut mengutuk serangan oleh Israel ke atas Hospital Al-Ahli Arab kerana ia sedang beroperasi serta menempatkan pesakit, petugas kesihatan dan orang yang kehilangan tempat tinggal. Katanya, arahan pemindahan mustahil dilakukan kerana keadaan kritikal pesakit, serta kekurangan ambulans, petugas kesihatan, katil dan tempat berlindung alternatif.
Hospital al-Ahli Arab bukan pusat perubatan pertama yang dimusnahkan oleh Israel
Tentera Israel sejak dulu telah bertindak menyerang pusat perubatan, malah turut menyasarkan hospital kanak-kanak. Pegawai advokat antarabangsa di Palestinian Centre for Human Rights (PCHR), Basel Sourani berkata berpuluh-puluh serangan telah dilakukan oleh Israel ke atas hospital, ambulans dan petugas kesihatan Palestin. Katanya lagi, semua bukti dan penerangan saksi menjelaskan bahawa serangan tersebut sememangnya dilakukan oleh Israel.
Ramai pihak yang berkata serangan ke atas hospital merupakan jenayah perang yang harus dihentikan. Menurut Artikel 14 Konvensyen Geneva Keempat, hospital dan zon selamat harus diwujudkan bagi individu yang tercedera, sakit atau wanita mengandung. Selain itu, Artikel 18 menyatakan hospital awam dan petugas kesihatan harus dilindungi.