Umat Islam perlu memastikan supaya makanan yang diambil datang daripada sumber halal. Secara ringkasnya, makanan halal adalah makanan yang bersih dan terhindar daripada najis. Allah SWT telah berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
Surah al-Baqarah: 168
Mengikut tokoh ilmu Islam Syeikh al-Sa‘di, ayat ini menjelaskan bahawa manusia boleh memakan isi dunia yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang dihalalkan. Dalam masa yang sama, makanan itu perlu diambil dengan cara yang betul dan bukan dengan cara merampas, mencuri, hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.
Ayat al-Quran ini juga menjadi dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus.
Di samping itu, konsep halal juga dikaitkan dengan ‘tayyiban’ iaitu iaitu perkara yang baik atau elok. Oleh itu, makanan halalan tayyiban tidak merujuk kepada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain.
Makanan halalan tayyiban merupakan salah satu faktor doa diterima oleh Allah SWT. Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.’ Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan dia juga diberi makan dengan yang haram. Maka, bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”
Riwayat Muslim (1015)
Hukum memakan masakan bukan Islam
Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, umat Islam tidak dilarang untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh individu bukan beragama Islam. Namun begitu, sembelihan mereka adalah tidak dibenarkan.
Di dalam Riwayat Abd al-Razzaq, Imam Qatadah Rahimahullah berkata orang Islam boleh memakan makanan orang Majusi (kaum menyembah matahari) selain daripada sembelihan mereka.
Turut disebut oleh Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:
Maksudnya: “Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selain dari sembelihan mereka.”
Dar al-Kutub al-Misriyyah (6/77)
Kehalalan makanan bukan ditetapkan oleh individu yang menyediakan makanan, tetapi pada bahan dan perkakas yang digunakan. Jika makanan disediakan daripada bahan yang halal dan menggunakan perkakas bersih yang tidak digunakan untuk memasak makanan haram, jadi makan tersebut adalah halal.
Masakan orang bukan Islam, halal dimakan walaupun bukan dalam keadaan darurat. Yang tak boleh makan hanya daging yang mereka sembelih atau masakan yang mengandungi benda haram. Selain itu semuanya halal walaupun dimasak non Muslim. [al-Jami’ li Ahkam al-Quran 6/77]
— addien90 (@addien90s) December 21, 2021
Ustaz Addien turut menerangkan bahawa perkara yang sama juga terpakai jika orang Islam memasak perkara yang diharamkan, ia tidak menjadikan makanan tersebut halal.
Makanan menggunakan perkakas digunakan untuk makanan haram
Selain itu, walaupun perkakas memasak kepunyaan orang bukan Islam tersebut telah digunakan untuk memasak makanan tidak halal, ia tidak menjadikan suatu makanan itu haram. Jika tiada perkakas yang berasingan, perkakas tersebut hanya perlu dibasuh dengan air sehingga bersih.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Tha`labah al-Khusyani yang bertanya kepada Baginda SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka biasa memasak daging khinzir di dalam periuk-periuk mereka dan biasa meminum khamar di dalam bekas-bekas mereka. Rasulullah SAW menjawab: “Jika kalian dapat menggunakan (perkakas-perkakas) yang lain maka makan dan minumlah dalamnya. Jika kalian tidak dapat selainnya maka cucilah ia dengan air kemudian makan dan minumlah.”
Riwayat Abu Daud (3839)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, arahan membasuh perkakas seperti dalam hadis di atas adalah sunat hukumnya kerana orang bukan Islam tidak menjauhi daripada bahan-bahan najis.
Walaupun begitu, sekiranya jelas nampak perkakas tersebut digunakan bagi najis berat seperti khinzir, ia haruslah disertu iaitu membasuh enam kali dengan air mutlak dan sekali dengan air tanah.
Arahan ini adalah berdasarkan dalil:
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
Maksudnya: “Penyucian bekas salah seorang daripada kalian apabila dijilat anjing dengan membasuh tujuh kali, yang pertamanya dengan tanah (dalam riwayat lain: salah satunya dengan tanah).”
Riwayat Imam Muslim (279)
Menurut Ustaz Addien, mazhab Syafie meletakkan hukum makruh jika memakan menggunakan perkakas bersih yang pernah digunakan untuk menyediakan masakan tidak halal.
Umat Islam Boleh Memakan Masakan Orang Bukan Islam
Tiada sebarang larangan bagi umat Islam untuk memakan masakan yang disediakan oleh individu bukan beragama Islam. Sesuatu yang halal tidak menjadi haram jika dimasak oleh orang bukan Islam dan juga sebaliknya.
Sebagai tambahan, perkara ini juga bermakna umat Islam boleh memakan masakan yang disediakan oleh individu Islam yang melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat. Apa yang paling penting adalah makanan yang disediakan itu bersifat halalan tayyiban.
Namun begitu, harus diingat bahawa lebih afdhal bagi umat Islam supaya memakan makanan yang disediakan oleh orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda dalam mengingatkan umat Islam:
لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ
Maksudnya: “Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa.”
Riwayat Abu Daud (4832)