Adakah Individu Berumur 50 Tahun Ke Atas Tidak Boleh Dikenakan Hukuman Sebat Di Malaysia?

Salah
Adakah Individu Berumur 50 Tahun Ke Atas Tidak Boleh Dikenakan Hukuman Sebat Di Malaysia?

Sebatan merupakan salah satu hukuman yang dikenakan bagi jenayah-jenayah tertentu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/11/2023 - Disunting : 16/11/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Individu Berumur 50 Tahun Ke Atas Tidak Boleh Dikenakan Hukuman Sebat Di Malaysia?

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul telah mengeluarkan keputusan bagi pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Muar,  bersalah bagi empat pertuduhan iaitu bersubahat melakukan pecah amanah, menyalahgunakan sumbangan parti serta dua transaksi aktiviti pengubahan wang haram.

Susulan keputusan terbabit, Syed Saddiq dikenakan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan. Sehubungan dengan itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menjadi wakil rakyat pertama berhadapan dengan hukuman sebat. Perkara ini menyebabkan orang ramai mempersoalkan mengapa tiada ahli politik yang melakukan jenayah sama dikenakan hukuman sebat sebelum ini. 

Beberapa pihak menerangkan bahawa mereka dikecualikan daripada hukuman sebat kerana telah berusia lebih 50 tahun. Persoalannya, adakah benar golongan ini tidak boleh dikenakan hukuman sebat di Malaysia?

 

Hukuman sebatan di Malaysia

Menurut profesor undang-undang, Ashgar Ali Bin Ali Mohamed dari Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM), hukuman sebatan diperkenalkan oleh British ke Malaysia pada abad ke-19. Hukuman itu diletakkan di bawah Ordinan Kanun Keseksaan Negeri-Negeri Selat 1871.

Hukuman sebatan dikenakan di bawah empat undang-undang yang terdapat di dalam negara iaitu Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Dadah Berbahaya 1952. Antara jenayah yang dikenakan hukuman ini adalah seperti rogol, sumbang mahram, keganasan, curi, rompak, dan mengedar dadah. Malah, ia turut dikenakan bagi jenayah-jenayah lain seperti rasuah dan pendatang tanpa izin.

Di bawah hukuman sivil, sebatan dikenakan pada bahagian punggung pesalah. Terdapat dua saiz rotan iaitu yang tebal bagi kesalahan serius dan jenayah keganasan, serta rotan halus bagi jenayah kolar putih seperti rasuah.

 

Undang-undang hukuman sebat

Hukuman sebat dijalankan menurut dua undang–undang, iaitu Kanun Keseksaan yang menggariskan kesalahan dan hukuman, serta Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang mengawal selia hukuman sebatan terhadap pesalah. Berdasarkan seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah, jumlah sebatan maksimum adalah 24, dan hanya 10 bagi individu muda yang berumur 18 hingga 21 tahun. Diameter rotan pula tidak boleh melebihi setengah inci atau 1.27cm. 

Selain itu, bagi individu yang dikenakan hukuman sebat di bawah seksyen 403, 404, 406, 407, 408, 409 dan 420 Kanun Keseksaan, serta pesalah muda, perlu menggunakan rotan yang lebih halus. Hukuman itu dilakukan seperti cara disiplin di sekolah.

Seksyen 289 CPC menggariskan individu yang tidak boleh dikenakan hukuman sebat. Golongan individu tersebut adalah wanita, lelaki yang dijatuhkan hukuman mati dan lelaki berusia lebih 50 tahun.

Seksyen 290 pula menyatakan bahawa hukuman sebat hanya boleh dijalankan setelah mendapat perakuan seorang Pegawai Perubatan yang hadir ketika itu. Hanya pesalah yang sihat boleh dikenakan hukuman ini dan jika Pegawai Perubatan merasakan pesalah tidak mampu untuk meneruskan hukuman, sebatan akan dihentikan. Kehadiran Pegawai Perubatan bagi hukuman sebatan ke atas pesalah muda tidak diperlukan.

 

Hukuman sebatan menurut undang-undang syariah

Umum maklum bahawa hukuman sebat turut dijalankan di bawah undang-undang syariah yang hanya dikenakan terhadap individu beragama Islam. Hukuman ini dijalankan oleh setiap negeri dengan akta syariah masing-masing menggunakan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 sebagai model asas.

Seksyen 125 akta tersebut menjelaskan bahawa hukuman sebatan syariah boleh dikenakan terhadap kedua-dua lelaki dan wanita, tetapi hukuman bagi wanita mengandung akan ditunda. Hukuman perlu dilakukan oleh seorang yang adil dan matang, serta turut memerlukan perakuan Pegawai Perubatan seperti hukuman sebat sivil.

Sebatan dilakukan menggunakan rotan tidak lebih 1.25cm tebal dan boleh dijalankan terhadap mana-mana bahagian tubuh badan kecuali muka, kepala, perut, dada dan alat sulit. Malah, hukuman itu tidak boleh secara berlebihan sehingga menyebabkan luka pada kulit pesalah. Tangan tukang sebat perlu dalam keadaan seperti mengepit buku di celah ketiak dan tidak boleh diangkat melebihi kepala apabila hendak melakukan sebatan.

Berbeza dengan hukuman sebat sivil, pesalah perlu berpakaian dan dalam keadaan menutup aurat. Pesalah lelaki akan disebat dalam keadaan berdiri, manakala wanita dalam keadaan duduk.

 

Sebatan terhadap pesalah lelaki berumur 50 tahun ke atas

Seperti yang dinyatakan di dalam CPC, individu lelaki lebih 50 tahun tidak boleh dikenakan hukuman sebat. Namun, ini hanya tertakluk bagi hukuman di bawah undang-undang sivil. Bagi hukuman syariah, hukuman ini masih boleh dikenakan terhadap golongan tersebut. 

Walau bagaimanapun, jika seorang Pegawai Perubatan memperakui seseorang itu tidak dapat menjalani hukuman sebat, tidak kira umur, kes perlu dirujuk kepada mahkamah untuk menentukan hukuman lain yang munasabah. 

Pengecualian hukuman sebat terhadap individu umur 50 tahun ke atas bukanlah bagi semua kesalahan. Hukuman ini tetap dikenakan terhadap pesalah jenayah rogol dan kesalahan luar tabii walaupun telah melebihi 50 tahun.

Perkara ini adalah berkait dengan pindaan CPC pada 13 Julai 2009. Pindaan dilakukan di bawah seksyen 376(3) bagi kesalahan sumbang mahram, seksyen 376 kesalahan merogol dan seksyen 377C, 377CA dan 377E, bagi kesalahan seks luar tabii. Undang-undang tersebut memperuntukkan hukuman sebat minimum sebanyak 10 kali.

 

Individu lelaki lebih 50 tahun masih boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan tertentu

Berdasarkan rujukan terhadap undang-undang berkaitan hukuman sebat di Malaysia, ternyata bahawa pesalah-pesalah jenayah rasuah dan seumpamanya sebelum ini tidak dikenakan hukuman terbabit kerana telah berumur 50 tahun ke atas. Namun begitu, perkara ini tidak bermakna hukuman sebat dikecualikan sama sekali terhadap golongan individu lebih 50 tahun. 

Mereka masih boleh berhadapan dengan hukuman sebat bagi kesalahan berkaitan undang-undang syariah, yang memperuntukkan hukuman sebat yang lebih ringan. Selain itu, hukuman sebat sivil tetap akan dikenakan terhadap golongan ini bagi jenayah sumbang mahram, rogol dan perbuatan luar tabii. 


Rujukan:

1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/syed-saddiq-dipenjara-7-tahun-sebatan-denda-rm10-juta-445336
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/syed-saddiq-wakil-rakyat-pertama-dihukum-sebat-445358
3. https://www.malaysiakini.com/letters/542588
4. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/31968/1/31968.pdf
5. https://asklegal.my/p/whipping-criminal-punishment-syariah-caning-malaysia
6. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-prosedur-jenayah-bm.pdf
7. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-keseksaan-bm.pdf
8. https://www.peguamsyarie.com.my/akta-tatacara-jenayah-syariah-wilayah-wilayah-persekutuan-1997/
9. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2009/07/13/pesalah-berumur-50-tahun-ke-atas-tidak-terlepas-hukuman-sebatan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago