Adakah Israel Hanya Menyerang Umat Islam Di Palestin?

Salah
Adakah Israel Hanya Menyerang Umat Islam Di Palestin?

Serangan oleh Israel ke atas Palestin sering dikaitkan dengan pertembungan antara agama Yahudi dan Islam

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 01/11/2023 - Disunting : 01/11/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Israel Hanya Menyerang Umat Islam Di Palestin?

Perang Arab-Israel telah tercetus dengan penubuhan Israel pada 14 Mei 1948, menyebabkan wilayah Palestin terbahagi kepada tiga iaitu Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan pendudukan haram Israel. Pecahan itu menyebabkan sebanyak 750,000 masyarakat Palestin hilang tempat tinggal mereka. 

Menurut Institute for Middle East Understanding (IMEU), kira-kira 93% penduduk di Palestin adalah Islam, 6% beragama Kristian serta sebilangan kecil penganut Yahudi. Persoalannya, adakah serangan oleh Israel ke atas Palestin hanya ditujukan kepada umat Islam?

 

Serangan Israel ke atas Palestin

Selepas wilayah Palestin terpisah, peperangan sering berlaku antara Israel dan Mesir. Namun, pada 6 Julai 1967, Perang Enam-Hari terjadi antara Israel dan negara-negara Arab jiran. Akibat daripada peperangan itu, Israel berjaya menakluk wilayah Arab Palestin di Tebing Barat, Timur Jerusalem, Gaza dan Semenanjung Sinai, serta Golan Heights di Syria.

Pada 1987, intifada Palestin pertama dijalankan untuk membebaskan wilayah itu daripada jajahan Israel. Walaupun ia terhenti pada tahun 1993 apabila Declaration of Principles on Interim Self-Government Arrangements (Oslo Accord) ditandatangani, intifada kedua berlaku pada 2000 hingga 2005. Ketika itu, Palestin berjaya mendapatkan hak autonomi ke atas Gaza dan Tebing Barat.

Namun begitu, serangan oleh kerajaan Israel ke atas Palestin tidak pernah berhenti. Baru-baru ini, keadaan di Palestin menjadi lebih tegang apabila Hamas melancarkan satu serangan mengejut terhadap Israel sebagai serang balas ke atas penjajahan dan keganasan yang dilakukan selama ini. Kabinet Israel serta-merta menguar-uarkan perang ke atas Hamas dan pengepungan Gaza sepenuhnya. 

 

Kesan penjajahan Palestin terhadap penduduk Kristian

Pasti semua sedia maklum tentang serangan tentera Israel ke atas Hospital al-Ahli Arab, satu-satunya hospital Kristian di wilayah Gaza, pada 18 Oktober 2023. Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan itu dianggarkan telah membunuh kira-kira 500 orang yang sedang berlindung di sana.

Baca Juga: Adakah Hospital al-Ahli Arab Pusat Perubatan Pertama Di Palestin Yang Diserang Israel?

 

Pada 19 Oktober 2023, serangan udara tentera Israel telah mengenai kawasan Gereja St. Porphyrios Greek Orthodox di Gaza. Kejadian itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 18 orang yang sedang berteduh di gereja itu. Daripada jumlah kematian itu, kesemua mangsa adalah penganut agama Kristian melainkan seorang. Pihak gereja berkata jumlah ini adalah bersamaan hampir 2% penduduk Kristian di Gaza. 

Tentera Israel berkata gereja itu bukanlah sasaran mereka, sebaliknya hanya terkena ketika mereka melancarkan serangan ke atas satu bangunan berhampiran yang dikatakan pusat arahan Hamas. Namun begitu, seorang golongan paderi Anglikan Rev. Fadi Diab berkata perkara itu bukan alasan untuk menyerang kawasan berdekatan gereja yang menempatkan orang ramai.

Seorang individu ditemui NPR, Basheer, berkata iparnya telah terbunuh bersama-sama cucunya akibat serangan itu. Dia juga berkata bahawa setiap penduduk Palestin tidak kira Kristian mahupun Islam merasakan tiada harapan lagi serta hidup hanya dipenuhi tragedi dan kesedihan.

Tragedi ini dicerca oleh World Council of Churches (WCC) yang menyatakan bahawa komuniti dunia harus menegakkan keselamatan di tempat-tempat perlindungan di Gaza termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadah. Organisasi Greek Orthodox Patriarchate di Jerusalem berkata menyasarkan gereja yang menjadi tempat perlindungan ramai individu akibat pengeboman yang dilakukan oleh Israel adalah jenayah perang yang tidak sepatutnya diabaikan.

 

Masyarakat Kristian di Palestin turut mengalami serangan berbentuk perkauman daripada individu Yahudi ekstremis. Ekstremisme tersebut dikaitkan dengan sifat kerajaan Israel yang jarang menghukum serangan dilakukan ke atas individu bukan Yahudi.

Ketua Palestinian National Christian Coalition, Dimitri Diliani, berkata dia kini berasa lebih terancam dengan polisi-polisi yang dijalankan oleh kerajaan Israel. Kesukaran masyarakat Krsitian untuk tinggal di sana dan melindungi warisan mereka menyebabkan ramai mengambil keputusan untuk keluar dari wilayah itu.

Di bandar paling suci Kristian, yakni Jerusalem, gereja telah diconteng dan paderi melaporkan sering diludah, diganggu dan diserang oleh Yahudi ekstremis. Walau bagaimanapun kebanyakan insiden tidak diselidiki dengan betul

Tag Meir, kumpulan Yahudi yang menentang perkauman dan keganasan terhadap golongan minoriti di Israel, mendapati kenaikan dalam bilangan serangan oleh rakyat Yahudi ke atas tanah perkuburan, gereja, biara dan masjid di Israel dan Tebing Barat. Dalam suku pertama 2023, terdapat enam insiden sedemikian berbanding hanya lima bagi keseluruhan tahun 2022 dan 2021.

 

Lawatan ke tempat suci Kristian disekat

Selain daripada serangan secara langsung ke atas masyarakat Kristian oleh Israel dan Yahudi ekstremis, mereka turut mengalami penindasan dalam bentuk sekatan terhadap tempat suci. Seorang penduduk Kristian Palestin di bandar Bethlehem, di dalam filem Palestine Remix, berkata dia tidak dibenarkan untuk melawat tempat-tempat suci Kristian di bawah pemerintahan Israel disebabkan oleh dinding pemisah dan pusat pemeriksaan (checkpoints).

Bukan sahaja penduduk Kristian di Palestin yang menghadapi keburukan pendudukan haram Israel, tetapi juga penganut agama itu yang datang berkunjung ke sana. Pada April 2023, keganasan terhadap penganut Kristian meningkat di Gereja Holy Sepulchre yang terletak hanya satu pertiga batu dari Masjid Al-Aqsa. 

Polis Israel melarang penganut Kristian daripada memasuki Gereja Holy Sepulchre di Christian Quarter, Jerusalem. Sumber: Josh Lederman/ NBC News

Di Christian Quarter, berpuluh ribu jemaah Kristian dari seluruh pelusuk dunia hadir bagi menyaksikan upacara keajaiban Holy Fire sempena sambutan Orthodox Easter. Namun begitu, hanya 1,800 penganut agama itu yang dibenarkan masuk ke dalam gereja tersebut oleh polis Israel. Menurut pihak gereja, polis Israel dengan sengaja menyekat kemasukan ke gereja bagi ramai penganut Kristian berbanding tahun-tahun sebelum ini dan menggelarnya sebagai sekatan ke atas kebebasan beribadah.

 

Penulis Palestine Chronicle, Ramzy Baroud berkata hubungan penduduk Kristian dengan dunia, termasuk tempat-tempat suci di Tebing Barat telah diputuskan. Untuk menyambut Easter di Jerusalem dan Bethlehem, individu Kristian perlu memohon permit daripada tentera Israel. Pada tahun 2018, hanya 200 penganut Kristian diberikan permit dengan syarat mesti berumur 55 tahun ke atas dan tidak dibenarkan melawat Jerusalem sebelum ini.

Perkara ini dilihat sebagai sebagai mencabuli hak penduduk Palestin oleh badan bukan kerajaan Gisha di Israel yang ingin melindungi hak kebebasan bergerak rakyat tanah suci itu. Gisha juga menuduh kerajaan Israel kerana cuba untuk meluaskan perpisahan antara Gaza dan Tebing Barat. 

Di samping itu, Menteri Pelancongan Israel menghalang pelancong daripada berjumpa dengan penduduk Palestin dalam usahanya untuk menceritakan sejarah hanya dari perspektif hubungan Yahudi dengan tanah suci itu. Penulis Kristian Rev. Stephen Sizer berkata ketika dia ke Palestin, pemandu pelancong berbangsa Yahudi berkongsikan helaian kertas dengan petikan kata-kata Golda Meir bahawa “Penduduk Palestin tidak wujud. Mereka berbangsa Arab dan boleh tinggal di tempat lain.”

 

Penganut Kristian meninggalkan Palestin

Dar al-Kalima University telah menjalankan satu kajian di Beit Jala, Tebing Barat dengan menemu bual lebih 1,000 penduduk Palestin, kira-kira separuh daripadanya beragama Islam manakala separuh lagi penganut Kristian. 

Kajian mendapati bahawa kebanyakan penganut Kristian berasa putus asa dengan tekanan yang disebabkan oleh pendudukan Israel, kekangan yang berterusan, polisi yang bersifat diskriminasi, penahanan tanpa bukti, serta rampasan tanah. Perkara ini meletakkan Kristian Palestin dalam keadaan yang terdesak kerana mereka tidak dapat membayangkan masa depan mereka dan keturunan di tanah suci itu.

Pengkaji Bernard Sabella berkata pengurangan dalam jumlah penduduk Kristian di Palestin disebabkan oleh konflik dengan kerajaan Israel dan ketiadaan penyelesaian politik ke atas pendudukan haram di wilayah itu. Hanya sebilangan kecil penganut agama Kristian meninggalkan Palestin kerana risau akan fahaman konservatif Islam.

 

Israel menyerang penduduk Palestin tanpa mengira agama

Pendudukan haram Israel ke atas Palestin bukan dilakukan atas dasar agama semata-mata, sebaliknya ia merupakan penjajahan yang bersifat politik dan melanggar hak asasi kemanusiaan tanpa mengira agama. 

Baroud berkata seperti penduduk Islam, masyarakat Kristian di Palestin juga menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Malah, dia berkata bahawa strategi Israel melalui pelbagai faktor akan menyebabkan ramai masyarakat Kristian meninggalkan tanah suci itu.

Serangan Israel tidak terhenti hanya pada umat Islam dan Kristian. Golongan Yahudi Ortodoks turut berhadapan dengan keganasan rejim itu.

Sebelum ini, kami telah menghasilkan satu artikel yang menjawab persoalan sama ada semua penganut Yahudi menyokong rejim Zionis. Dapatan kami menemukan bahawa terdapat individu Yahudi yang bersifat anti-Zionis dan menentang pembentukan Israel. Mereka turut pernah ditahan oleh pihak Israel.

Baca Juga: Benarkah Semua Penganut Yahudi Menyokong Pembentukan Israel?

Malah, pada 1 November 2023, tular satu video yang menunjukkan polis Israel menyerang penganut Yahudi di kawasan kediaman anti-Zionis di Jerusalem. Mereka yang menentang pendudukan Israel dan menyokong kebebasan Palestin dikatakan telah diminta untuk menurunkan bendera Palestin di sebelum diserang secara fizikal.

 


Rujukan:

1. https://imeu.org/article/are-all-palestinians-muslim
2. https://abcnews.go.com/International/timeline-long-history-israeli-palestinian-conflict/story?id=103875134
3. https://www.cfr.org/global-conflict-tracker/conflict/israeli-palestinian-conflict
4. https://www.npr.org/2023/10/23/1207898416/palestinian-christians-gaza-church
5. https://www.aa.com.tr/en/middle-east/global-christian-body-slams-israeli-air-attack-on-greek-orthodox-church-in-gaza/3028830
6. https://www.nbcnews.com/news/world/israel-palestinians-christians-attacks-holy-land-jewish-extremists-rcna80441
7. https://www.aa.com.tr/en/middle-east/christians-face-persecution-by-israeli-settlers-in-jerusalem-world-council-of-churches/3007104
8. https://remix.aljazeera.com/aje/PalestineRemix/forbidden-pilgrimage.html#/4
9. https://www.twn.my/title2/resurgence/2019/341-342/human1.htm
10. https://www.aljazeera.com/news/2017/12/27/israel-behind-christian-exodus-from-palestine

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago