Adakah Jawatan Penjawat Awam Mempunyai Kuota Bumiputera?

Salah
Adakah Jawatan Penjawat Awam Mempunyai Kuota Bumiputera?

Majoriti penjawat awam di Malaysia merupakan dari kalangan Bumiputera

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/10/2022 - Disunting : 03/10/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Jawatan Penjawat Awam Mempunyai Kuota Bumiputera?

Ketika sesi Dewan Rakyat pada Julai 2022, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membangkitkan mengenai pelantikan perkhidmatan awam yang tidak seimbang antara kaum dan perlu diseimbangkan. Menurutnya lagi, orang Melayu telah mendominasi perkhidmatan awam sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Terasa juga berkata masyarakat bukan Bumiputera enggan menyertai perkhidmatan awam oleh beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah dan peluang kemajuan kerjaya yang rendah.

Tanpa merujuk kepada sebarang statistik, secara umumnya kita melihat bahawa lebih ramai orang Bumiputera, khususnya Melayu, yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan di banyak pejabat-pejabat kerajaan. Namun begitu, adakah jawatan di dalam perkhidmatan awam mempunyai kuota berdasarkan kaum dan kuota lebih tinggi buat Bumiputera? 

 

Statistik penjawat awam Malaysia

Setakat Julai 2022, Menteri Abdul Latiff Ahmad dari Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata lebih kurang 90% daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada rakyat Bumiputera. Daripada jumlah penjawat awam Bumiputera, 80% adalah Melayu, 5% Bumiputera Sarawak, 5% Bumiputera Sabah dan hanya 0.2% Orang Asli. Walaupun perkhidmatan awam didominasi oleh orang Melayu, Abdul Latiff menegaskan bahawa tidak ada sebarang kuota berdasarkan kaum yang dikenakan terhadap pengambilan penjawat awam. 

Abdul Latiff juga telah berkongsi statistik penjawat awam bagi pangkat Turus dan Jusa mengikut kaum. Bagi jawatan penjawat awam tertinggi kategori Jusa, lebih kurang 84% daripada mereka daripada kalangan Bumiputera. Peratus bagi etnik Cina dan India masing-masing meningkat ke hampir 10% dan 6% berbanding 6% dan 4% bagi gred 56 ke bawah. Namun begitu, majoriti penjawat awam kategori Turus adalah berbangsa Melayu yang mendominasi hampir 90% daripada keseluruhan kategori. Tiada penjawat Bumiputera Sabah, Sarawak dan Orang Asli yang bertugas dalam kategori Turus.

Jumlah penjawat awam bagi jawatan tertinggi mengikut kaum

 

Peratus penjawat awam Bumiputera tidak setara dengan peratus populasi

Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan bahawa negara kini mempunyai 32.7 juta penduduk di dalam Statistik Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2022. Daripada jumlah keseluruhan penduduk, 69.9% adalah rakyat Bumiputera, 22.8% Cina, 6.6% India, dan lain-lain 0.7%. Apabila dibandingkan dengan rakyat yang berkhidmat di dalam perkhidmatan awam, jelas bahawa penjawat awam Bumiputera melebihi peratus populasi Bumiputera. Bagi kaum India, peratus antara keduanya berbeza lebih kurang 3%. Kaum Cina pula ketinggalan banyak dengan hanya 6% daripada mereka bertugas sebagai penjawat awam.

 

Tiada kuota Bumiputera bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan awam

Seperti umum sedia maklum, pelantikan ke dalam sektor kerajaan dibuat melalui laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Menurut Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pengambilan dan pelantikan kakitangan awam dibuat berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota, selaras ketetapan SPA. Presiden CUEPACS berkata SPA tidak pernah menetapkan sebarang kuota yang membabitkan kaum, etnik atau agama dalam pengambilan kakitangan ke dalam perkhidmatan awam. Sebaliknya, setiap calon dinilai berdasarkan tahap yang ditetapkan oleh SPA.

Pada masa yang sama, data yang dikongsi oleh CUEPACS menunjukkan bahawa terdapat 1.2 juta rakyat yang telah memohon sebagai penjawat awam pada 2011. Majoriti daripada pemohon adalah daripada bangsa Melayu (79.5%) yang jauh mengatasi pemohon Cina (2.1%) dan India (6.3%). Statistik oleh SPA bagi tahun 2015 hingga 2019 juga menunjukkan majoriti daripada pemohon adalah daripada bangsa Melayu (78.9%), manakala hanya 1.6% pemohon Cina dan 3.1% pemohon India. Perkara ini mungkin menjadi salah satu penjelasan mengenai kekurangan penjawat awam bukan Bumiputera.

 


Rujukan:

1. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/20/teresa-gesa-kerajaan-jadikan-perkhidmatan-awam-seimbang-dari-segi-kaum/
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/21/lantikan-penjawat-awam-ikut-merit-bukan-kuota-cuepacs-beritahu-teresa/
3. https://www.malaysiakini.com/news/629071
4. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/anggaran-penduduk-malaysia-327-juta-nisbah-109-lelaki-kepada-100-perempuan-jabatan-perangkaan-373474
5. http://cuepacs.blogspot.com/2012/07/spa-serius-dalam-memikat-bukan-melayu.html
6. https://ekonomirakyat.com.my/kerajaan-terima-2-3-juta-permohonan-kerja-pada-2019-hanya-24500-orang-dilantik/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago