Adakah Kelajuan Putaran Bumi Di Paksinya Berubah-ubah?

Benar
Adakah Kelajuan Putaran Bumi Di Paksinya Berubah-ubah?

Dikatakan bahawa Bumi berputar semakin laju sehingga membangkitkan kerisauan orang ramai

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/08/2022 - Disunting : 11/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Kelajuan Putaran Bumi Di Paksinya Berubah-ubah?

Baru-baru ini, beberapa laman web berita antarabangsa telah mengeluarkan hantaran tentang Bumi berputar semakin laju. 29 Jun 2022 telah dicatat sebagai hari terpendek Bumi sejak penggunaan jam atom apabila tempoh hari berkurangan sebanyak 1.59 milisaata. Namun begitu, ini bukanlah kali pertama perubahan terhadap kelajuan putaran Bumi berlaku.

 

Bumi berputar perlahan 

Sebenarnya, Bumi sedang berpusing lebih perlahan berbanding ketika waktu awal pembentukannya. Kajian mendapati bahawa sekitar 440 juta tahun dahulu, satu hari di Bumi adalah selama 21 jam sahaja. Masa mula meningkat apabila Bumi berpusing semakin perlahan, berubah ke 23 jam sehari ketika zaman dinosaur dan 24 jam pada zaman kini. Daniel MacMillan dari National Aeronautics and Space Administration (NASA) Goddard berkata satu putaran bumi mengambil masa selama 24 jam pada 1820, tetapi min waktu siang telah meningkat sebanyak 2.5 milisaat sejak itu menjadikan masa sehari di Bumi sebenarnya lebih panjang.

Skala masa atom digunakan untuk mengukur masa sejak 1956. Ia bagaimanapun tidak mengambil kira putaran Bumi di dalam ukurannya. Sebaliknya, kaedah astronomi dengan pemerhatian terhadap kuasar, objek paling cerah di alam semesta, merupakan piawai penjagaan masa astronomi yang lebih tepat.  Memandangkan Bumi berputar lebih perlahan dahulu, ‘saat lompat’ telah ditambah kepada masa atom atau Coordinated Universal Time (UTC) untuk menyamakan ia dengan waktu yang diukur melalui kaedah astronomi iaitu Waktu Sejagat 1 atau Universal Time 1 (UT1)

Gambar hiasan. Kuasar 3C 273 merupakan salah satu kuasar yang paling dekat dengan Bumi. (Kredit: NASA)

Sebanyak 27 ‘saat lompat’ telah ditambah sejak 1970, dengan yang terakhirnya pada tahun 2016. Salah satunya adalah pada 30 Jun 2012, apabila satu saat ditambah sebelum memasuki 12 tengah malam 1 Julai 2012, menjadikan waktu 23:59:60 sebelum hari baru. Menurut NASA, jika kedua-dua piawai waktu itu tidak diselaraskan dengan menambahkan ‘saat lompat’, masa di antara kedua-duanya akan berbeza sebanyak 25 minit dalam 500 tahun akan datang.

 

Kelajuan putaran Bumi semakin laju

Bekas Pengarah Masa di Balai Cerap Tentera Laut Amerika Syarikat, Dennis McCarthy berkata pusingan Bumi pada paksinya tidak malar dan sering berubah. Hal ini adalah kerana pusingan Bumi dipengaruhi oleh perkara-perkara yang berlaku di muka Bumi seperti perubahan atmosfera dan pasang surut air laut. Sebagai contoh, gempa bumi di Jepun pada tahun 2011 dengan skala Richter 8.9 didapati telah menyebabkan Bumi berputar lebih laju sehingga memendekkan masa sehari sebanyak 1.8 mikrosaatb. Saintis mendapati Bumi sememangnya telah berputar lebih laju berbanding dahulu. Sebanyak 28 hari terpendek telah dicatat pada tahun 2020 sebelum diatasi pada 29 Jun dan 26 Julai tahun ini. Gambar rajah di bawah, menggunakan data oleh International Earth Rotation and Reference Systems Service (IERS), menunjukkan kelajuan putaran Bumi yang berubah-ubah dan semakin laju.

Kredit: timeanddate.com

 

Saintis belum benar-benar pasti perkara yang menyebabkan perubahan kelajuan putaran Bumi. Salah satu teori utama dikongsikan adalah pencairan ais di kedua-dua kutub Bumi. McCarthy berkata, pencairan ais juga menyebabkan Bumi semakin membulat seterusnya berpusing dengan lebih laju. Walau bagaimanapun, NASA menyatakan bahawa ais yang cair dan mengalir ke laut akan menyebabkan Bumi berputar lebih perlahan.

Kredit: NASA

Teori lain yang dicadangkan oleh Leonid Zotov dari HSE University Rusia adalah waktu yang semakin pendek dalam sehari mungkin berkaitan dengan ‘Chandler wobble’. ‘Chandler wobble’ adalah keadaan di mana pusingan Bumi di paksi berlaku sedikit perubahan atau bergetar. Zotov berkata amplitud ‘Chandler wobble’ kebiasannya adalah 3 hingga 4 meter dari permukaan Bumi, tetapi tidak wujud antara tahun 2017 hingga 2020, masa di mana Bumi mula berputar lebih laju. Zotov juga percaya terdapat 70% kemungkinan Bumi kini berada pada paras masa minimum dalam sehari. 

 

Kelajuan putaran Bumi di paksi berubah-ubah

Sejarah astronomi membuktikan bahawa putaran Bumi di paksi berubah-ubah dari masa ke semasa. Waktu sebanyak 24 jam sehari hanya terpakai mengikut skala jam atom yang kurang tepat berbanding pengukuran masa menggunakan kaedah astronomi. Ternyata bahawa masa kini semakin pendek berbanding tahun-tahun lalu, tetapi pada skala yang sangat kecil. Saintis masih mengkaji situasi yang boleh menyebabkan perubahan terhadap putaran Bumi.

 

Nota:

a 1 saat bersamaan dengan 1,000 milisaat

b 1 saat bersamaan dengan 1,000,000 mikrosaat


Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago