Adakah Kerajaan Malaysia Mengiktiraf Status Komuniti Pelarian dan Pencari Suaka?

Salah
Adakah Kerajaan Malaysia Mengiktiraf Status Komuniti Pelarian dan Pencari Suaka?

MKN bercadang supaya UNHCR Malaysia ditutup supaya dapat mengurus komuniti pelarian tanpa campur tangan luar

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/09/2022 - Disunting : 08/09/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Kerajaan Malaysia Mengiktiraf Status Komuniti Pelarian dan Pencari Suaka?

Kerajaan Malaysia telah meluluskan penggunaan Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) pada 22 Julai 2022. Ia merupakan sebuah platform yang mengumpulkan data dan maklumat mengenai pelarian atau pencari suaka yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pemegang kad UNHCR perlu mendaftar semula dengan sistem tersebut supaya kerajaan dapat mengenal pasti individu-individu yang terlibat. Mereka juga akan menerima Kad Pelarian Malaysia (MyRC) yang mengandungi data peribadi dan disahkan oleh kerajaan. Persoalannya, adakah ini bermakna Malaysia mengiktiraf status mereka sebagai pelarian atau pencari suaka?

 

Pelarian dan pencari suaka di Malaysia

Setakat Ogos 2022, UNHCR menganggarkan terdapat seramai 185,920 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengannya di Malaysia. Majoriti mereka datang dari Myanmar (85%), manakala mereka yang lain datang dari 50 negara lain seperti Pakistan dan Syria. 66% daripada mereka adalah lelaki dan 34% lagi wanita. Tambahan lagi, terdapat 48,200 orang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun dalam kalangan komuniti ini. Selangor merupakan negeri dengan bilangan pelarian dan pencari suaka terbanyak dalam negara.

Malaysia masih belum mengiktiraf status pelarian dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) walaupun mempunyai kad UNHCR. Hal ini adalah kerana Malaysia bukan negara ahli kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Oleh itu, Malaysia tidak mempunyai sebarang peruntukan perundangan atau pentadbiran bagi mengawal status dan hak pelarian.

Pelarian dengan kad UNHCR dibenarkan untuk tinggal buat sementara waktu dalam negara sebelum dipindahkan ke negara ketiga. Memandangkan Malaysia tidak mengiktiraf pemegang kad UNHCR, mereka secara umumnya tidak dibenarkan untuk bekerja atau menerima pendidikan formal. 

 

Pendaftaran pelarian dan pencari suaka

UNHCR sebelum ini menjalankan semua aktiviti berkaitan dengan pelarian dan pencari suaka seperti penerimaan, pendaftaran, dokumentasi dan penetapan status. Walau bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara mempunyai cadangan untuk menutup UNHCR Malaysia supaya pengurusan komuniti pelarian dapat dijalankan tanpa campur tangan asing. Selepas MyRC diperkenalkan, kerajaan berkata kad UNHCR tidak akan diiktiraf lagi sebagai dokumen sah.

Kredit gambar: UNHCR Malaysia

Wakil Alliance of Chin Refugees (ACR), James Bawi Thang Bik mengkritik TRIS kerana ia dilihat sebagai sebuah sistem untuk “memerangkap” pelarian. Terdapat kerisauan dalam kalangan pelarian bahawa data yang dikongsikan akan disebarkan tanpa kebenaran individu terbabit. Malah, ada individu yang telah berdaftar dan membayar sehingga RM500, tetapi masih belum menerima MyRC mereka sehingga kini. James berkata perkara ini dianggap sebagai mengambil kesempatan terhadap pelarian kerana servis yang diberikan oleh UNHCR adalah percuma. 

 

Malaysia masih belum mengiktiraf status komuniti pelarian dan pencari suaka

Peguam hak asasi manusia, Charles Hector Fernandez berkata TRIS boleh dikatakan tidak sah kerana Malaysia masih belum mengiktiraf status komuniti terbabit. Hal ini adalah kerana tiada undang-undang yang membenarkan pengesanan serta pemantauan ke atas pelarian dan pencari suaka. Malah, TRIS sebenarnya dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta, yang menjadi satu risiko pendedahan maklumat individu terlibat. Fernandez berkata kerajaan perlu mengiktiraf status pelarian secara sah terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem tersebut. Di bawah Akta Imigresen, pelarian dianggap haram dan boleh ditangkap serta dihantar balik ke negara asal mereka


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/07/979527/tris-simpan-data-pelarian-dengan-kad-unhcr-di-malaysia
2. https://www.unhcr.org/en-my/figures-at-a-glance-in-malaysia.html
3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/683606/malaysia-tak-iktiraf-status-pelarian-rohingya
4. https://www.unhcr.org/en-my/protection-in-malaysia-591401344.html
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/09/997132/mkn-rancang-tutup-operasi-pejabat-unhcr-ambil-alih-pengurusan
6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/07/pelarian-perlu-daftar-kad-pengenalan-khas-kad-unhcr-tak-diiktiraf-kata-hamzah/
7. https://www.aljazeera.com/news/2022/8/11/refugees-in-malaysia-worry-refugee-tracking-system-a-trap
8. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/06/806488/recognise-status-refugees-ensure-their-rights-are-protected-says-muda-rep

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago