Adakah Kerajaan Minoriti Boleh Dibentuk Di Malaysia?

Benar
Adakah Kerajaan Minoriti Boleh Dibentuk Di Malaysia?

Tiada mana-mana blok parti politik memenangi kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/11/2022 - Disunting : 24/11/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Kerajaan Minoriti Boleh Dibentuk Di Malaysia?

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan tiada sebarang blok atau gabungan parti politik berjaya menawan jumlah kerusi yang diperlukan bagi membentuk sebuah kerajaan majoriti mudah, seterusnya mewujudkan situasi parlimen tergantung. Sejak PRU ke-15 berakhir, perbincangan dan rundingan dijalankan untuk blok-blok parti politik bagi mendapatkan sokongan majoriti supaya seorang Perdana Menteri boleh dilantik. Pada masa yang sama, ada pihak yang mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan minoriti, dengan Pakatan Harapan selaku blok parti dengan jumlah kerusi terbanyak, menerajui kerajaan tersebut. 

Kredit gambar: Suruhanjaya Pilihan Raya

Jumlah kerusi bagi setiap blok gabungan parti politik

 

Pembentukan kerajaan minoriti

Menurut Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, seorang penganalisis politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), jika sebuah kerajaan majoriti tidak dapat dibentuk, seorang Perdana Menteri perlu dilantik dan membentuk kerajaan minoriti. Berdasarkan konvensyen di negara-negara Komanwel, Perdana Menteri dari blok parti dengan jumlah kerusi tertinggi akan dilantik dan diberi masa untuk membentuk kerajaan baru. Selain itu, berdasarkan sistem demokrasi lain, jumlah undi popular juga boleh menjadi tanda aras bagi pemilihan Perdana Menteri. 

Apabila Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum, kerajaan ketika itu bertindak sebagai kerajaan sementara. Penganalisis politik Prof Dr Ahmad Atory Hussain memberi pandangan bahawa negara tidak harus dibiarkan di bawah pentadbiran kerajaan sementara dan sebuah kerajaan baru perlu segera dibentuk. Pembentukan sebuah kerajaan minoriti dapat memastikan Parlimen bersidang bagi membincangkan dasar-dasar negara. Perkara paling penting adalah berkenaan belanjawan 2023 yang masih tergantung selepas pembentangannya tempoh hari. Malah, Ahmad Atory berkata kerajaan minoriti dapat mengekalkan keselamatan, keamanan dan keharmonian negara.

Turut menyokong pembentukan kerajaan minoriti, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan berkata ia adalah jalan terbaik memandangkan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional tidak mahu bekerjasama bagi membentuk sebuah kerajaan campuran. Salah satu negara dengan kerajaan minoriti kini adalah Kanada di bawah pimpinan Perdana Menteri Justin Trudeau daripada Parti Liberal. Pembentukan kerajaan minoriti oleh Parti Liberal tersebut dapat berlaku dengan sokongan daripada Parti Demokratik Baru.

 

Kestabilan kerajaan minoriti

Mohamed Hanipa Maidin, bekas Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, berkata sekiranya kerajaan minoriti dibentuk, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (AktaA1663) berkaitan larangan bertukar parti yang baru dilaksanakan boleh memastikan kestabilan kerajaan itu. Di samping itu, situasi undi tidak percaya boleh dikekang melalui perjanjian keyakinan dan pembekalan atau Confidence-Supply Agreement (CSA) antara kerajaan minoriti dan parti-parti politik lain. Dengan termeterainya sebuah CSA, pihak yang bersetuju dilarang daripada melakukan perkara-perkara tertentu seperti membuat undi tidak percaya.

Berdasarkan pandangan oleh pengamal undang-undang Perlembagaan, Abdullah Abdul Rahman, pembentukan kerajaan minoriti yang didokong oleh sebuah CSA adalah lebih baik berbanding pembentukan sebuah kerajaan campuran. Melalui sebuah CSA, parti-parti politik boleh menyokong sebuah gabungan sebagai kerajaan minoriti tanpa mengorbankan prinsip masing-masing. Perkara ini juga dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri bagi beberapa negeri yang akan dijalankan tidak lama lagi. Pembentukan sebuah kerajaan campuran boleh menimbulkan masalah kerana parti-parti dalam kerajaan campuran akan bertentang di antara satu sama lain kemudiannya. 

 

Kerajaan minoriti boleh dibentuk di Malaysia

Tiada sebarang larangan yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai pembentukan sebuah kerajaan minoriti. Malah, ia banyak berlaku dalam negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Di Malaysia, sekiranya tiada calon Perdana Menteri yang menerima sokongon majoriti, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang Perdana Menteri dengan jumlah sokongan tertinggi untuk membentuk sebuah kerajaan minoriti


Rujukan:

1. https://mykmu.net/2022/11/22/agong-perlu-lantik-pm-kerajaan-minoriti-jika-tiada-penyelesaian-kukuh/
2. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/413479
3. https://malaysiadateline.com/perlembagaan-benarkan-pembentukan-kerajaan-minoriti/
4. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pasca-pru15-model-csa-lebih-sesuai-untuk-bentuk-kerajaan-minoriti-pakar-perlembagaan-393185
5. https://malaysiabersuara.com/artikel/siapakah-yang-layak-menjadi-perdana-menteri/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago