Adakah Kerja Hanya 4 Hari Seminggu Mempunyai Kebaikan?

Benar
Adakah Kerja Hanya 4 Hari Seminggu Mempunyai Kebaikan?

Sesetengah syarikat telah mula mempraktikkan 4 hari bekerja seminggu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/12/2022 - Disunting : 07/12/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Kerja Hanya 4 Hari Seminggu Mempunyai Kebaikan?

Umum sedia maklum bahawa orang ramai rata-rata bekerja 6 hari seminggu sebelum diturunkan menjadi 5 hari seminggu dengan cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad. Di Amerika Syarikat pada tahun 1980, dianggarkan seorang pekerja sepenuh masa di kilang bekerja selama 100 jam seminggu. Tempoh masa ini dikurangkan sehingga hanya 40 jam seminggu sejak pertengahan abad ke-20. 

Kini, ada negara-negara yang telah mula melaksanakan kerja hanya 4 hari seminggu. Perkara ini bermakna jam bekerja dikurangkan dari waktu standard 40 jam seminggu kepada 32 jam seminggu dengan gaji dan faedah yang sama. Penting untuk memahami bahawa kerja 4 hari seminggu bukan bermaksud jadual kerja yang dimampatkan, tetapi pengurangan waktu bekerja. Dengan pelaksanaan ini, pekerja akan mempunyai tiga hari minggu. 

 

Negara-negara yang telah menjalankan kerja 4 hari seminggu

Beberapa negara telah mengkaji dan menjalankan ujian rintis terhadap kerja 4 hari seminggu. Reykjavík City Council dan kerajaan Iceland telah menguji perkara ini antara tahun 2015 hingga 2019, yang menjadi asas kepada pengurangan waktu bekerja di banyak tempat. Ia merangkumi lebih 2,500 orang pekerja yang bersamaan dengan 1% populasi pekerja di Iceland, serta pelbagai jenis tempat pekerjaan termasuk tadika, pejabat dan hospital. 

Reykjavík, Ireland. Kredit gambar: Monica Oprea/ Pexels

Ujian rintis mendapati produktiviti kekal sama dengan bekerja 5 hari seminggu, malah meningkat di kebanyakan tempat kerja walaupun waktu kerja dikurangkan. Menurut Autonomy and the Association for Sustainable Democracy (Alda), 86% tenaga kerja telah atau bakal dikurangkan waktu bekerja selepas ujian tersebut dijalankan.

Kerja 4 hari seminggu turut diuji di New Zealand oleh syarikat Unilever yang merasakan cara bekerja lama sudah ketinggalan zaman. Ujian rintis tersebut dijalankan untuk mengukur prestasi berdasarkan pengeluaran berbanding masa. Menurut Pengarah Urusan Unilever New Zealand, Nick Bangs, pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai pekerjanya untuk bekerja di rumah atau secara remote telah menjadi pemangkin kepada ujikaji tersebut. 

Auckland, New Zealand. Kredit gambar: Dan Freeman/ Unsplash

Nick berkata pengurangan waktu bekerja adalah mengenai pemahaman sejagat tentang bagaimana kerja dan kehidupan saling melengkapi, serta untuk meningkatkan kesihatan fizikal dan mental. Hasil ujian rintis itu akan dikongsi bersama syarikat-syarikat lain di New Zealand untuk mempengaruhi mereka dalam cara kerja. 

Unilever memutuskan untuk menyambung kerja 4 hari seminggu dan mula melakukan perkara yang sama di Australia. Hal ini adalah kerana selepas 18 bulan, mereka mendapati bahawa walaupun pekerja hanya bekerja 80% berbanding sebelum ini, mereka masih berdedikasi untuk mencapai 100% produktiviti.

Selain daripada kedua negara ini, 4 Day Week Global, sebuah komuniti nirlaba (non-profit), menjadi platform bagi syarikat yang berminat dengan idea bekerja 4 hari seminggu. Percubaan telah dijalankan bermula Februari dan April tahun ini yang merangkumi 33 syarikat dengan majoritinya berpusat di Amerika Syarikat dan Ireland. Selepas 6 bulan, kebanyakan syarikat terlibat memilih untuk mengekalkan kerja 4 hari seminggu. 

Kredit gambar: charlesdeluvio/ Unsplash

Sebuah survei oleh 4 Day Week Global mendapati 27 syarikat tidak bercadang untuk mengembalikan kerja 5 hari seminggu. Pada masa yang sama, 97% daripada 495 orang pekerja menyatakan bahawa mereka ingin tempoh kerja 4 hari seminggu dikekalkan. Berdasarkan produktiviti dan prestasi, peserta survei menilai pengalaman keseluruhan mereka 9 daripada 10. Menurut ketua kajian Juliet Schor, majikan tidak melaporkan peningkatan dalam keamatan bekerja yang menunjukkan strategi penyusunan semula kerja telah berjaya dan prestasi dicapai tanpa mempercepatkan tugasan.

 

Kebaikan 4 hari bekerja kepada pekerja

Ujian rintis di Iceland mendapati pekerja merasa kurang tertekan dan kurang berisiko mengalami burnout. Malah, mereka juga merasakan kesihatan serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan mereka semakin meningkat. Kerja 4 hari seminggu memberi peluang kepada pekerja untuk menghabiskan lebih banyak waktu dengan keluarga, melakukan hobi mereka dan menyiapkan kerja-kerja rumah.

Kredit gambar: Yusron El Jihan/ Unsplash

Di New Zealand, kebajikan pekerja Unilever bertambah baik dengan penurunan tekanan sebanyak 33%. Pada masa yang sama, kekuatan dan semangat di tempat kerja meningkat sebanyak 15%. Malah, konflik antara pekerjaan dan kehidupan menurun sehingga 67%. 

4 Day Week Global menunjukkan penurunan tahap tekanan, kepenatan, insomnia dan burnout bagi pekerja terlibat, di samping penambahbaikan dalam kesihatan fizikal dan mental. Pekerja juga didapati lebih fokus, lebih terlibat dan lebih berdedikasi dalam membantu syarikat mencapai sasaran dengan lebih baik. 

Sebuah kajian oleh Stanford University mendapati pekerja yang bekerja secara berlebihan adalah kurang produktif berbanding pekerja dengan waktu bekerja biasa. Kajian lain oleh Perpetual Guardian, sebuah syarikat di New Zealand, mendapati pekerja mempunyai produktiviti yang sama walaupun bekerja hanya 4 hari seminggu. Malah, mereka menunjukkan peningkatan dalam kepuasan kerja, kerjasama, keseimbangan pekerjaan dan kehidupan serta kesetiaan kepada syarikat. Tahap tekanan pekerja juga berkurang antara 38% hingga 45%.

 

Kebaikan 4 hari bekerja kepada majikan

Kerja 4 hari seminggu bukan sahaja membawa kebaikan kepada pekerja, tetapi kepada majikan juga. Ujikaji di New Zealand oleh Unilever menunjukkan dapatan yang kuat terhadap terhadap sasaran perniagaan termasuk peningkatan pendapatan. Di samping itu, ketidakhadiran pekerja juga turun sebanyak 34% dan majoriti pekerja merasa lebih terlibat dengan pekerjaan mereka. Ujian rintis oleh 4 Day Week Global mendapati perkara yang sama bagi sasaran perniagaan apabila pendapatan purata meningkat 38% berbanding tempoh yang sama sebelum itu.

 

Kebaikan 4 hari bekerja kepada alam sekitar

Kebaikan 4 hari bekerja turut dirasai dalam konteks alam sekitar apabila sebuah analisa oleh 4 Day Week di United Kingdom mendapati ia dapat mengurangkan jejak karbon sebanyak 127 milion tan setahun mulai tahun 2025. Jumlah ini menunjukkan pengurangan sebanyak 21.3% dan lebih banyak berbanding jumlah jejak karbon yang dihasilkan di Switzerland. Ia juga bersamaan dengan pengurangan sebanyak 27 milion kenderaan di jalan raya, iaitu setara dengan jumlah kereta persendirian di UK.

Sumber: 4 Day Week

Di Amerika Syarikat, ujikaji 4 hari bekerja di Utah menunjukkan impak ekologi yang signifikan. Ketika 10 bulan pertama ia dijalankan, sebanyak USD1.8 milion kos tenaga dapat dijimatkan dan pelepasan karbon dioksida berkurang sebanyak 6,000 metrik tan. Jika perjalanan pekerja turut diambil kira, dianggarkan sebanyak 12,000 metrik tan pelepasan karbon dioksida dapat dielakkan, iaitu bersamaan pengurangan 2,300 buah kereta di jalan raya bagi tempoh satu tahun. 

 

Banyak kebaikan dalam menjalankan 4 hari bekerja

Jelas bahawa langkah pengurangan waktu bekerja sebanyak satu hari membawa banyak kebaikan bukan sahaja kepada pekerja dan majikan, malah kepada alam sekitar. Pekerja di UK yang terlibat dengan ujian rintis 4 hari bekerja memberitahu CNN Business bahawa perubahan tersebut menjadikan kehidupan mereka lebih baik, dengan lebih masa untuk membuat kerja rumah, melakukan hobi dan berehat

Produtiviti pekerja juga meningkat, jika tidak kekal pada tahap yang sama dengan kerja 4 hari seminggu. Negara paling produktif di dunia seperti Norway dan Netherlands cuma bekerja selama purata 27 jam seminggu. Sebaliknya, Jepun berada dikedudukan 20 daripada 35 negara bagi produktiviti walaupun terkenal dengan waktu kerja yang lama. 

Kini, lebih banyak permintaan supaya tempoh bekerja dikurangkan sehari, apatah lagi dengan normalisasi bekerja secara remote. Day Week Global menyarankan model 100-80-100 bagi kerja 4 hari seminggu, iaitu 100% gaji, 80% masa, tetapi paling penting sekali untuk mendapatkan 100% produktiviti.


Rujukan:

1. https://www.4dayweek.com/
2. https://www.changerecruitmentgroup.com/knowledge-centre/the-pros-and-cons-of-a-4-day-working-week
3. https://www.bbc.com/news/business-57724779
4. https://www.bbc.co.uk/news/business-55139079
5. https://www.unilever.com.au/news/press-releases/2022/unilever-australia-new-zealand-expands-fourday-work-week-trial-following-encouraging-results/
6. https://edition.cnn.com/2022/11/30/business/4-day-work-week-results/index.html
7. https://www.changerecruitmentgroup.com/knowledge-centre/the-pros-and-cons-of-a-4-day-working-week
8. https://6a142ff6-85bd-4a7b-bb3b-476b07b8f08d.usrfiles.com/ugd/6a142f_5061c06b240e4776bf31dfac2543746b.pdf
9. https://edition.cnn.com/2022/11/30/business/4-day-work-week-results/index.html
10. https://www.scientificamerican.com/article/four-day-workweek-energy-environment-economics-utah/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago