Adakah Kumpulan Hamas Menentang Bangsa Yahudi?

Salah
Adakah Kumpulan Hamas Menentang Bangsa Yahudi?

Hamas merupakan satu kumpulan pejuang di Palestin yang menentang regim Zionis dan penempatan Israel

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/10/2023 - Disunting : 30/10/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Kumpulan Hamas Menentang Bangsa Yahudi?

Penjajahan Israel ke atas Palestin menyebabkan penubuhan beberapa kumpulan pejuang pembebasan tanah suci itu, salah satunya Hamas. Berbeza dengan kumpulan Fatah, Hamas merupakan kumpulan pejuang yang menggunakan keganasan dalam menentang Israel. Persoalannya, adakah Hamas hanya menentang kerajaan Zionis, atau keseluruhan bangsa Yahudi?

 

Kumpulan Hamas di Palestin

Hamas, atau nama penuhnya Harakat al-Muqawama al-Islamiya (Pergerakan Penentangan Islam), diasaskan oleh seorang ulama dan aktivis, Sheikh Ahmed Yassin pada Disember 1987. Penubuhannya dilakukan setelah intifada atau penentangan pertama oleh Palestin terhadap pendudukan haram Israel di Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalem. 

Ia mula-mula ditubuhkan sebagai kumpulan politik Muslim Brotherhood dengan matlamat untuk melawan Gerakan Jihad Islam di Palestin (PIJ). Ketika itu, PIJ yang menggunakan kekerasan dalam menentang Israel telah mengancam sokongan rakyat Palestin terhadap Muslim Brotherhood.

Kumpulan Hamas boleh dibahagikan kepada dua, iaitu sayap khidmat sosial Dawah dan sayap tentera Briged Izz ad-Din al-Qassam.

Kini, Hamas merupakan salah satu daripada dua parti politik utama di wilayah Palestin, bersama-sama kumpulan Fatah. Walaupun ia merupakan kuasa yang mentadbir penduduk di Semenanjung Gaza, sayap tentera al-Qassam ditubuhkan untuk menentang Israel. Sebaliknya, Fatah yang mendominasi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mentadbir Tebing Barat dan enggan menggunakan keganasan terhadap Israel.

Pada tahun 2011, Timbalan Menteri Luar Negeri Hamas, Ghazi Hamad, berkata bahawa kumpulan itu bersetuju terhadap solusi dua negara (Palestin dan Israel) yang mengikuti sempadan tahun 1967, walaupun hanya secara sementara. Namun begitu, Hamas kemudiannya pada tahun 2017, melalui Dokumen Prinsip dan Polisi Umumnya, menyatakan bahawa ia memperjuangkan pembebasan Palestin secara penuh.

 

Doktrin Hamas terhadap Yahudi

Sejurus selepas penubuhannya pada 1987, Hamas telah mewujudkan Piagam 1988 yang menerangkan identiti, pendirian dan matlamat kumpulannya. Piagam tersebut berkali-kali menyebut tentang perjuangannya terhadap Zionis yang membina penempatan haram di tanah suci Palestin.

Di dalam Piagam tersebut, Hamas telah memetik satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA:
Maksudnya: “Kiamat tidak akan terjadi hinggalah kaum Muslimin memerangi Yahudi, lalu kaum Muslimin dapat membunuh mereka hinggakan orang Yahudi akan bersembunyi di balik batu dan pohon, lalu batu atau pohon itu berkata: Hai Muslim, hai hamba Allah, ini orang Yahudi di belakangku, kemari dan bunuhlah dia.”

Riwayat Muslim

Namun begitu, petikan hadis di atas di dalam Piagam 1988 tidak bermakna Hamas mempunyai matlamat untuk memerangi dan membunuh kaum Yahudi. Perkara ini adalah berdasarkan beberapa Artikel di bawah piagam tersebut.

 

Di bawah Artikel 6, Hamas berkata bahawa perjuangannya adalah bagi menegakkan agama Islam di tanah suci Palestin. Namun begitu, ia tidak bermakna hanya orang Islam sahaja yang boleh menduduki tanah itu, kerana kumpulan itu percaya bahawa di bawah pemerintahan Islam, penganut kesemua agama boleh hidup dengan selamat dan aman damai.

Walaupun di dalam Artikel 15 Hamas menyebutkan bahawa penempatan haram Israel adalah pencerobohan ke atas tanah suci yang dilakukan oleh kaum Yahudi, namun ia menegaskan bahawa perkara itu dilakukan oleh Zionis. Perkataan Zionis dan Zionisme disebut sebanyak 22 kali di dalam Piagam tersebut, berbanding hanya 12 perkataan Yahudi, yang mana 6 daripadanya adalah di dalam petikan hadis.

Artikel 31 pula menyebut bahawa tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi boleh hidup dengan aman-damai dan tenang di bawah pemerintahan Islam. Hamas juga berkata demi mencapai keamanan, pengikut agama lain perlu berhenti daripada mempertikaikan kedaulatan Islam di Palestin.

Selain itu, Artikel 36 menjelaskan bahawa Hamas tidak akan mengambil tindakan bukan sahaja ke atas penganut Islam, malah pengikut agama lain yang hidup dengan aman bersama-sama masyarakat Islam. Hamas menegaskan ia bertindak sebagai sokongan terhadap semua kumpulan dan organisasi yang menentang Zionis dan pengikutnya, dan bukannya Yahudi.

 

Pada Mei 2017, Hamas mengeluarkan satu dokumen baharu yang menggariskan prinsip dan polisi umum mereka. Bahagian mukadimah menyatakan bahawa Palestin merupakan tanah kepunyaan Arab Palestin yang dirampas oleh projek jajahan Zionis yang bersifat rasis dan anti manusia. Jajahan tersebut berlaku disebabkan oleh Perisytiharan Balfour 1917 oleh kerajaan Britain yang menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin.

Hamas menegaskan bahawa tujuan ia diwujudkan adalah bagi membebaskan Palestin daripada jajahan regim Zionis. Pendudukan Zionis di tanah itu bersama-sama polisinya tidak akan menghilangkan identiti penduduk asal Palestin.

Berdasarkan dokumen tersebut (No. 16), Hamas tidak memerangi orang Yahudi, tetapi hanya regim Zionis yang menceroboh dan membina penempatan haram di Palestin. Katanya lagi, pihak Zionis sendiri yang sering mengaitkan penjajahan dan entiti haramnya dengan bangsa dan agama Yahudi.

Di bawah No. 17, Hamas menolak sebarang penindasan terhadap seseorang atas sebab nationalis, agama atau bangsa. Malah, Hamas percaya masalah anti-semitisme yang terjadi terhadap bangsa Yahudi timbul dapat dikaitkan dengan sejarah Eropah dan bukannya sejarah masyarakat Arab dan Islam. Gerakan Zionis menerima bantuan kuasa Barat untuk menduduki Palestin dan merupakan pendudukan haram yang paling bahaya.

Di samping itu, kumpulan itu mengalu-alukan pendirian pelbagai negara, organisasi dan institusi yang menyokong hak penduduk Palestin (No. 41). Tanpa menyebut bangsa atau agama, Hamas menghormati mereka yang menyokong Palestin dan mengecam sebarang bentuk sokongan yang diberikan kepada regim Zionis.

 

Bukti Hamas tidak memerangi semua Yahudi

Ketika serangan mengejut oleh Hamas di selatan Israel, kumpulan pejuang itu telah membawa lebih 200 orang tawanan kembali ke Gaza. Sejak itu, Hamas telah membebaskan empat orang individu iaitu anak dan ibu warganegara Amerika serta dua wanita warga emas berbangsa Yahudi.

Dalam satu rakaman video, dua wanita warga emas tersebut dilihat dibebaskan oleh dua orang pejuang Hamas. Rakaman tersebut telah tular di media sosial kerana sifat salah seorang tawanan yang berpatah balik dan bersalaman dengan seorang pejuang Hamas dan mengucapkan ‘Shalom’, ucapan salam dalam bahasa Hebrew yang bermakna ‘aman’. Perkara ini menyebabkan orang ramai tertanya-tanya, jika Hamas telah menyeksanya, mengapa wanita terbabit memilih untuk bersalaman dengan wakilnya?

Wanita tersebut yang bernama Yocheved Livschitz kemudiannya telah ditemu bual oleh wartawan. Walaupun pada mulanya dia berkata tawanan dipukul dan dipaksa berjalan jauh, Livschitz berkata dia memilih untuk bersalaman dengan mereka kerana dia dilayan dengan baik. Livschitz juga menceritakan bahawa pihak Hamas kelihatan bersedia untuk menerima tawanan dan mereka diberikan segala keperluan. 

Hamas bukan memerangi Yahudi, tetapi regim Zionis yang menceroboh Palestin

Umum sedia maklum bahawa bangsa Yahudi adalah berbeza dengan entiti Zionis, iaitu kerajaan Israel yang menjalankan pencerobohan dan pendudukan haram di tanah suci Palestin. Kumpulan pejuang Hamas telah menekankan bahawa mereka tidak memerangi Yahudi, tetapi hanya berjuang untuk membebaskan Palestin daripada Zionis.

Selain itu, perkara ini dibuktikan benar berdasarkan kewujudan penempatan komuniti Yahudi di Palestin sendiri. Malah, terdapat penganut Yahudi yang turut memperjuangkan pembebasan tanah Palestin. 

Baca Juga: Benarkah Semua Penganut Yahudi Menyokong Pembentukan Israel?

Islam juga menganjurkan penganutnya supaya berbuat baik dengan penganut agama lain yang tidak melawan Islam.

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Al-Mumtahanah 60:8


Rujukan:

1. https://www.cfr.org/backgrounder/what-hamas
2. https://www.npr.org/sections/thetwo-way/2011/05/24/136403918/hamas-foreign-minister-we-accept-two-state-solution-with-67-borders
3. https://avalon.law.yale.edu/20th_century/hamas.asp
4. https://irp.fas.org/world/para/docs/hamas-2017.pdf
5. https://www.aljazeera.com/features/2018/11/2/more-than-a-century-on-the-balfour-declaration-explained
6. https://www.reuters.com/world/middle-east/what-do-we-now-about-hamas-hostages-2023-10-19/'

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago