Seorang pengguna Twitter, yang juga merupakan seorang peguam, telah membuat hantaran mempersoalkan penggunaan pembesar suara lebih kuat untuk laungan azan. Hantaran itu dibuat sebagai maklum balas kepada isu laungan azan di sebuah surau kondominium di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Sehubungan dengan itu, katanya penganut agama Islam boleh menggunakan aplikasi waktu solat yang memberi peringatan apabila masuknya waktu solat. Kenyataannya mendapat tindak balas negatif daripada rata-rata pengguna Twitter lain yang merasakan laungan azan di surau atau masjid masih diperlukan dan tidak cukup sekadar melalui aplikasi waktu solat.
Pada zaman kini, azan bukan sahaja dilaungkan oleh bilal di surau atau masjid, tetapi turut kedengaran melalui televisyen, radio, telefon pintar dan jam azan digital. Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada memadai jika azan dipasang secara rakaman sahaja.
Hukum laungan azan
Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. Seperti sedia maklum, azan adalah suatu ibadah yang dilakukan untuk memaklumkan telah masuknya waktu bagi solat fardu. Ia juga bertujuan untuk mengajak umat Islam ke surau atau masjid bagi mendirikan solat.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Al-Huwairith R.A, laungan azan disyariatkan sebaik sahaja masuk waktu solat. Rasulullah S.A.W bersabda:
فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ
Maksudnya: Maka apabila waktu solat telah masuk, hendaklah salah seorang dari kamu melaungkan azan.
Riwayat al-Bukhari (628)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum melaungkan azan dan iqamah adalah sunat muakkad untuk kesemua lima solat fardu di sisi mazhab Imam al-Syafi’e. Imam Al-Nawawi menyebut:
‘’(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah.’’
Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (3/82)
Malah, beberapa tokoh fuqaha daripada mazhab lain seperti mazhab Maliki turut menyokong pendapat Imam Al-Nawawi. Perkara ini adalah seperti pendapat Imam Ibn Rushd berkenaan hukum iqamah:
‘’Sesungguhnya ia (iqamah) di sisi para fuqaha bagi hak mereka yang solat bersendirian dan juga berjemaah adalah sunat muakkad dan di sisi ahli zahir (zahiriah) hukumnya adalah fardhu. Mengikut pendapat pertama, tidak batal solat apabila meninggalkannya (iqamah), manakala menurut pendapat yang kedua (iaitu al-Zahiriyyah), menjadi batal.”
Rujuk Bidayah al-Mujtahid, Ibn Rushd (Hlm. 109)
Oleh itu, solat tanpa azan dan iqamah terlebih dahulu makruh hukumnya tetapi tetap sah. Azan dan iqamah afdhal dilakukan setiap kali ingin menunaikan solat fardu dan solat qadha’ tidak kira secara berjemaah (sunat kifayah) atau bersendirian (sunat ‘ainiah).
Di samping itu, Ustaz Azhar Idrus berkata laungan azan yang bertujuan untuk memanggil umat Islam menunaikan solat adalah suatu fardu kifayah. Hal ini bermakna ia wajib dilakukan oleh sekurang-kurangnya seorang muslim dalam sesuatu kawasan atau mukim.
Tambahan lagi, Ustaz Azhar berkata memandangkan laungan azan bertujuan untuk menyebarkan syiar Islam, hukumnya adalah wajib. Islam juga lebih mensyariatkan supaya laungan azan dilakukan pada tahap suara yang tinggi, seperti mana Rasulullah SAW memilih Bilal bin Rabah untuk melaungkan azan kerana suaranya paling kuat berbanding orang lain.
Laungan azan secara rakaman atau digital
Berdasarkan fatwa oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (9/179), Syeikh ‘Athiyah Saqar berkata rakaman azan tidak boleh menggantikan laungan azan. Hal ini adalah kerana Rasulullah SAW telah memerintahkan kaum Muslimin supaya melaungkan azan apabila masuk waktu solat.
إِذَا حَضَرَتْ الصَّلاةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ
Maksudnya: “Apabila masuk waktu solat, hendaklah salah seorang daripada kamu melaungkan azan dan hendaklah menjadi imam orang yang paling tua dalam kalangan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (6705) dan Muslim
Rasulullah SAW berkata salah seorang daripada mereka bermaksud seseorang yang hidup atau hadir ketika itu. Fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’ turut menyebut:
“Tidak memadai azan yang disyariatkan bagi solat-solat fardhu dikumandangkan menggunakan alat rakaman, bahkan wajib seorang muadzin mengumandangkan azan untuk solat oleh dirinya sendiri sebagaimana thabit daripada perintah Rasulullah SAW untuk azan, dan hukum asal bagi satu perintah itu adalah wajib.”
Lihat Fatwa al-Lajnah al-Da’imah, nombor 10189
Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami menyebut laungan azan yang dipasang di masjid dalam bentuk rakaman juga tidak memadai. Mengikut amalan sejak zaman Rasulullah SAW, azan wajib dilaungkan secara langsung bagi setiap masuknya waktu solat fardu di setiap masjid.
Rakaman azan tidak boleh menggantikan laungan azan secara langsung
Memandangkan azan merupakan sebuah fardu kifayah dan ibadah sunat yang digalakkan, ia wajib dilakukan secara langsung dan tidak memadai hanya dalam bentuk rakaman. Malah, azan juga afdal dilakukan sebelum menunaikan ibadah solat fardu.
Laungan azan bukan sahaja dilakukan untuk menunjukkan telah masuknya waktu solat, tetapi boleh juga dilakukan dalam keadaan lain seperti untuk bayi yang baru dilahirkan, ketika musibah besar berlaku ataupun apabila berhadapan dengan haiwan yang berbahaya.