Adakah Lelaki Islam Diharamkan Mengikat Rambut Ketika Solat?

Salah
Adakah Lelaki Islam Diharamkan Mengikat Rambut Ketika Solat?

Orang ramai mempercayai bahawa lelaki Islam diharamkan untuk mengikat rambut ketika solat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/10/2023 - Disunting : 11/10/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Lelaki Islam Diharamkan Mengikat Rambut Ketika Solat?

Walaupun rambut panjang sering dikaitkan dengan wanita, namun terdapat juga lelaki yang memilih untuk menyimpan rambutnya sehingga panjang. Bagi yang beragama Islam, pasti ada yang tertanya-tanya jika lelaki boleh menggayakan rambut panjang. 

Malah, orang ramai sering berkata bahawa lelaki tidak boleh mengikat rambutnya, apatah lagi ketika solat, kerana ia dianggap sebagai menyerupai wanita. Persoalannya, adakah perkara ini benar?

 

Hukum lelaki berambut panjang

Sebelum meneliti hukum mengikat rambut terutamanya ketika solat, penting untuk memahami hukum lelaki menyimpan rambut panjang

Sebenarnya, berambut panjang merupakan salah satu sunah Rasulullah SAW. Menurut Imam Ahmad, lelaki dibolehkan menyimpan rambut panjang tidak melebihi paras bahu.

Terdapat juga pendapat yang lebih kuat dan dipersetujui oleh Imam Ibnu Utsaimin iaitu hukum yang mengharuskan lelaki berambut panjang. Hukum ini adalah berdasarkan kefahaman bahawa Rasulullah SAW membiarkan rambutnya panjang kerana ia merupakan adat kebiasaan masyarakat Arab ketika itu.

Oleh itu, lelaki boleh memilih untuk berambut panjang mahupun pendek, tetapi jika menyimpan rambut panjang tidak boleh sehingga menyerupai wanita atau kaum lain.

 

Panjang rambut Rasulullah SAW

Pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki berkata berdasarkan hadis sahih Riwayat Abu Daud, terdapat tiga tahap ukuran panjang rambut Rasulullah SAW iaitu:

  1. Wafrah – Rambut hampir menyentuh cuping telinga
  2. Limmah – Rambut menyentuh di bawah telinga
  3. Jummah – Rambut menyentuh bahu

Kredit gambar: Yuri Yanu Garuda/ Pinterest

Berdasarkan dalil di dalam kitab Sunan Ibnu Majah, paling banyak pendapat yang menyatakan bahawa Rasullulah SAW menggayakan rambut sehingga ke paras bahu.

Maksud: “Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abi Syaibah telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun, telah menceritakan kepada kami Jarir bin Hazim dari Qatadah dari Anas bin Malik berkata: “Rambut Rasulullah SAW lurus, ikal, terurai di antara telinga dan pundaknya (bahu).” 

Sunan Ibnu Majah

Namun begitu, terdapat perbahasan antara ulama bahawa Rasulullah SAW berambut panjang sebagai strategi perang supaya tentera Islam kelihatan seperti sekumpulan anak muda untuk menggerunkan musuh Islam ketika itu.

 

Selain itu, Rasulullah SAW pernah menggayakan rambut pendek sehingga ke cuping telinga (wafrah) berdasarkan Hadis Riwayat Muslim. Yahya bin Yahya dan Abu Kuraib keduanya berkata:

Maksud: “Telah menceritakan kepada kami Ismail ibn ‘Ulayyah dari Humaid dari Anas berkata: “Rambut Rasulullah SAW sampai melewati kedua daun telinganya.” 

Hadis Riwayat Muslim

Terdapat juga riwayat yang menyebut Baginda SAW menggayakan rambut pendek wafrah atau limmah selepas bercukur bertahallul iaitu bercukur atau menggunting rambut selepas keluar dari ihram.

 

Sebuah hadis Riwayat Abu Daud menceritakan Rasulullah SAW yang memberi nasihat supaya menggayakan rambut yang tidak panjang.

Maksud: “Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik orang adalah Khuraim Al-Asadi, seandainya rambutnya tidak panjang dan tidak memanjangkan sarungnya di bawah mata kaki.”

Perkara ini telah sampai kepada Khuraim. Kemudian, Khuraim segera mengambil pisau dan memotong rambutnya sampai kedua telinganya.” 

Hadis Riwayat Abu Daud

Rasulullah SAW juga hanya botak kepalanya selepas bercukur ketika menunaikan haji dan umrah. Oleh yang demikian, perkara ini tidak dianggap sebagai sunah.

 

Hukum ikat rambut sewaktu solat

Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Negeri Sarawak, Hadis Riwayat Muslim telah memperincikan tentang keadaan lelaki Islam mengikat rambut ketika solat.

Maksud: Bahawa beliau (Ibn Abbas) melihat Abdullah bin al-Harith solat dalam keadaan rambutnya diikat di belakang. Beliau (Ibn Abbas) lalu berdiri dan melepaskan ikatan tersebut. Apabila dia selesai (solat), lalu dia menghadap Ibn Abbas dan berkata: “Mengapa kamu lakukan pada rambutku demikian?” Lalu Ibn Abbas menjawab: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Perumpamaan orang ini (yang solat dengan mengikat rambutnya) seperti orang yang solat sedangkan kedua tangannya diikat ke belakang.”

Hadis Riwayat Muslim

Ulama Ibn al-Athir RA menerangkan hadis ini dengan maksud rambut yang diikat tidak akan jatuh ke tanah apabila sujud. Sebaliknya, rambut yang terurai akan jatuh ke tanah dan pemilik akan mendapat pahala sujud dengan rambutnya. Ia diumpamakan dengan orang yang kedua tangannya diikat kerana ia tidak akan menyentuh tanah ketika sujud.

Kredit gambar: Imad Alassiry/ Unsplash

Namun begitu, ia tidaklah sehingga menjadi haram. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata solat lelaki Islam yang mengikat rambut adalah sah, tetapi hukumnya adalah makruh tanzihi dan tidak berdosa. 

Harus diingat bahawa dalam mengikat rambut, lelaki tidak boleh sehingga tahap tasyabbuh atau menyerupai kepada wanita. Jika berlaku sedekian, adalah lebih elok ditanggalkan ikatan rambut. 

 

Lelaki Islam tidak diharamkan mengikat rambut ketika solat

Lelaki Islam dilarang mengikat rambut ketika solat berdasarkan riwayat hadis. Namun begitu, ia tidaklah sampai kepada pengharaman. Sebaliknya, kelakuan itu dihukum sebagai makruh dan solat yang dijalankan tetap sah.


Rujukan:

1. https://tzkrh.com/202037976/
2. https://sinarplus.sinarharian.com.my/agama/haram-lelaki-ikat-rambut-ketika-solat/
3. https://muftinegeri.sarawak.gov.my/web/subpage/irsyad_details/&rid=VElQSWp2M2tjbmhMQmZUZnFjeVM1Zz09Ojo-oLr98IbUYi0Un_GkHQBq
4. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3142-al-kafi-1122-solat-dengan-mengikat-rambut

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago