Adakah Lif Yang Berasingan Bagi Pengangkutan Barangan Halal Dan Tidak Halal Sebahagian Daripada Keperluan Oleh JAKIM?

Salah
Adakah Lif Yang Berasingan Bagi Pengangkutan Barangan Halal Dan Tidak Halal Sebahagian Daripada Keperluan Oleh JAKIM?

Gambar ‘Non Halal Lift’ di sebuah hotel telah tular di sosial media

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/10/2022 - Disunting : 06/10/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Lif Yang Berasingan Bagi Pengangkutan Barangan Halal Dan Tidak Halal Sebahagian Daripada Keperluan Oleh JAKIM?

Pada 3 Oktober yang lalu, peguam dan aktivis hak asasi manusia Siti Kasim telah mempersoalkan berkenaan sebuah lif di Hotel Four Points by Sheraton yang mempunyai tanda ‘Non Halal Lift’. Ramai pengguna Twitter telah membalas ciapannya yang menerangkan bahawa ia adalah standard yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) bagi pemegang sijil halal.

Four Points turut membalas di hantaran yang dibuat oleh Siti Kasim di Instagram. Menurutnya, ia bertujuan untuk mengasingkan pergerakan bahan-bahan halal dan tidak halal seperti syarat yang ditetapkan untuk pemegang sijil halal. Namun begitu, adakah benar bahawa ia adalah syarat yang ditetapkan oleh pihak JAKIM?

Sumber: Siti Kasim/ Instagram

 

Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM)

Menurut Perkara 7 (1) di dalam Trade Description Act 2011, sebarang permohonan bagi sijil halal harus mengikut keperluan yang dirasakan sesuai oleh Ketua Pengarah JAKIM. Bagi perkara berkaitan produk halal, JAKIM bertugas sebagai badan yang menyediakan garis panduannya iaitu merangkumi prosedur pemeriksaan, pengesahan dan permohonan sijil halal, kelulusan, syarat-syarat, pemantauan dan penguatkuasaan. JAKIM telah menyediakan sebuah manual prosedur Pensijilan Halal Malaysia sebagai rujukan utama berkenaan sijil halal di Malaysia. 

Bahagian IV Keperluan Pensijilan di dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 menggariskan ‘Keperluan Umum’ yang perlu dipatuhi oleh pemohon atau pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). Salah satu perkara adalah mengenai pengangkutan dan peredaran yang menjelaskan bahawa “pengangkutan dan pengedaran hendaklah untuk kegunaan bahan mentah dan produk halal sahaja”. Bahan mentah halal perlu dipastikan tidak tercemar melalui silang pencemaran.

Selain itu, kawasan pemprosesan juga perlu bebas daripada barangan tidak halal atau diragui status halal. Di bawah perkara ‘Premis’ pula dinyatakan bahawa pemohon atau pemegang SPHM perlu menyediakan sebuah pelan susun atur premis. Salah satu tujuan pelan susun atur ini adalah untuk mengelakkan pencemaran silang serta memudahkan proses pengeluaran atau pengendalian bahan mentah dan produk. 

 

SOP penggunaan lif untuk mengangkut barangan halal dan tidak halal

Berdasarkan penerangan oleh sumber Malaysia Bersuara yang bekerja di dalam industri halal Malaysia, menggunakan lif yang berasingan cumalah ‘best practice’ atau amalan terbaik yang dicadangkan kepada pihak hotel. Hal ini adalah demi memudahkan perkhidmatan pihak hotel. Jika menggunakan lif yang sama, sebuah jadual perlu disediakan supaya barangan halal dan tidak halal tidak dibawa pada masa yang sama. Dalam keadaan alkohol tertumpah, lif perlu dicuci terlebih dahulu sebelum membawa masuk barangan halal. 

Kredit gambar: Jason Dent/ Unsplash

Sebagai tambahan, bahan tidak halal yang dibenarkan di hotel yang mempunyai restoran halal hanyalah minuman beralkohol. Air alkohol merupakan sejenis najis mutawasitah dan perlu dicuci menggunakan air jika tertumpah. Jika air alkohol yang tumpah meninggalkan tanda (ainiyah) dan boleh dilihat, mempunyai bau serta rasa, ia perlu dicuci sehingga betul-betul hilang semuanya. Malah, sunat supaya dicuci sehingga cucian kedua atau ketiga. 

 

Bahan makanan atau barangan halal dan tidak halal perlu diasingkan dalam proses pengangkutan dan peredaran

Jelas bahawa pengasingan ketika proses pengangkutan dan peredaran bagi barangan halal dan tidak halal merupakan salah satu syarat bagi pemegang SPHM. Namun begitu, ia tidak bermakna hotel perlu mempunyai lif yang berasingan untuk pengangkutan barangan. Menurut kenyataan media oleh JAKIM pada 6 Oktober 2022, sememangnya tiada sebarang klausa berkenaan ‘lif tidak halal’ di dalam MPPHM. Sebaliknya, pihak hotel boleh mewujudkan sebarang mekanisme kawalan barangan halal yang bersesuaian dengan fasiliti hotel. Adalah cukup sekadar memastikan barangan halal dan tidak halal tidak dibawa pada masa yang sama di dalam lif yang sama. 


Rujukan:

1. https://zulkiflihasan.files.wordpress.com/2008/06/microsoft-word-halal-di-malaysia1.pdf
2. https://members.wto.org/crnattachments/2011/tbt/mys/11_4246_01_e.pdf
3. https://smarthalal.com.my/MPPHM_Domestik_2020.pdf
4. https://www.buzzkini.com/news/2022/10/07/isu-non-halal-lift-jakim-maklum-tiada-peraturan-khusus-letakkan-penanda-lif-barang-tak-halal/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago