Adakah Makanan Anti-Nutrien Memudaratkan Kesihatan?

Salah
Adakah Makanan Anti-Nutrien Memudaratkan Kesihatan?

Terdapat pelbagai makanan yang mengandungi anti-nutrien

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/12/2022 - Disunting : 15/12/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Makanan Anti-Nutrien Memudaratkan Kesihatan?

Seorang pengguna Twitter telah membuat hantaran yang menyatakan bahawa oat merupakan sejenis makanan yang tidak berkhasiat, bersifat anti-nutrien dan boleh menyerap nutrien dari badan. Selain daripada menimbulkan syak wasangka orang ramai terhadap oat, kenyataan tersebut turut menimbulkan persoalan jika makanan yang bersifat anti-nutrien boleh memudaratkan kesihatan seseorang yang mengambilnya.

 

Makanan anti-nutrien

Anti-nutrien merupakan sejenis sebatian semula jadi atau sintetik yang boleh mengganggu penyerapan nutrien oleh badan. Tumbuh-tumbuhan menghasilkan anti-nutrien sebagai mekanisme pertahankan diri daripada pemangsa seperti haiwan, parasit dan bakteria

Antara contoh anti-nutrien adalah asid fitik (phytic acid) yang terkandung di dalam kulit kekacang dan bijiran. Asid fitik boleh bercantum dengan kalsium, magnesium, zat besi, kuprum dan zink, sekaligus menghalang penyerapan nutrien terbabit oleh tubuh badan. Selain itu, anti-nutrien tanin di dalam teh dan kopi boleh mengurangkan penyerapan zat besi, manakala asik oksalik (oxalic acid) dan oksalat (oxalates) yang boleh ditemui di dalam sayur bayam boleh menghalang penyerapan kalsium. Perkara ini boleh menyebabkan masalah kesihatan sekiranya tubuh badan tidak menerima jumlah mineral yang mencukupi

Sayuran dari keluarga bayam mengandungi asid oksalik dan oksalat
Kredit gambar: Gil Ndjouwou/ Unsplash

Kebiasaannya anti-nutrien hanya berbahaya jika dimakan dalam jumlah yang sangat banyak berbanding pengambilan harian secara sederhana. Malah, sesetengah anti-nutrien boleh dimakan kerana mengandungi nutrisi dan kebaikan yang lebih tinggi daripada keburukannya. Sebagai contoh, kekacang dan bijirin yang mengandungi asid fitik didapati menurunkan risiko penyakit jantung, strok dan diabetes jenis 2. Secara umumnya, anti-nutrien hanya menjadi masalah dalam keadaan pemakanan yang tidak seimbang.

Beberapa kajian terhadap diet vegetarian yang memakan sayur-sayuran mengandungi anti-nutrien, bijirin dan gandum dalam jumlah yang tinggi tidak menunjukkan kekurangan zat besi dan zink di dalam badan. Perkara ini mencadangkan bahawa tubuh badan dapat menyesuaikan dengan kehadiran anti-nutrien dan meningkatkan penyerapan mineral. Walaupun bekalan zat besi dan zink di dalam badan mereka adalah lebih rendah berbanding bukan vegetarian, diet vegetarian dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, obesiti, diabetes dan pelbagai jenis kanser.

 

Komponen anti-nutrien phytate di dalam oat

Oat merupakan sejenis bijiran dan mengandungi anti-nutrien asid fitik. Asid fitik akan bercantum dengan nutrien lain untuk menjadi fitat (phytate). Namun begitu, tubuh badan manusia tidak mampu menghadam fitat seterusnya menyebabkan ia tidak dapat diserap oleh badan. 

Oat mengandungi 0.4 hingga 2.2 gram fitat bagi setiap 100 gram oat. Ia merupakan jumlah yang kurang jika dibandingkan dengan gandum yang mempunyai lebih 7 gram fitat bagi setiap 100 gram gandum. Walaupun begitu, ia juga mengandungi pelbagai mineral lain yang penting seperti vitamin E, zat besi dan asid amino.

Oat elok dimakan bersama susu dan buah-buahan untuk diet seimbang
Kredit gambar: Alexander Mils/ Unsplash

Bagi kebanyakan orang, asid fitik berfungsi sebagai antioksidan dan boleh melindungi daripada kerintangan insulin. Malah, kajian juga mendapati bahawa gandum penuh dapat mengurangkan risiko kanser kolon disebabkan oleh asid fitik.

 

Mengurangkan kandungan anti-nutrien makanan

Kehilangan nutrien di dalam badan disebabkan oleh anti-nutrien tidak dapat diukur kerana kesan anti-nutrien berbeza bagi setiap orang berdasarkan kadar metabolisme mereka dan cara makanan disediakan. Memandangkan makanan yang mengandungi anti-nutrien masih mengandungi banyak khasiat lain, tiada saranan supaya kita menghindari makanan tersebut sama sekali. 

Kadar anti-nutrien di dalam makanan sebenarnya boleh dikurangkan melalui beberapa kaedah pemprosesan atau dengan memasaknya. Terdapat banyak kaedah penyediaan tradisional yang mengurangkan anti-nutrien, meningkatkan kualiti nutrisi makanan berasaskan tumbuhan, dan digunakan secara meluas oleh masyarakat yang memakan bijirin dan kekacang sebagai ruji harian.

Bagi bijirin dan kekacang yang mengandungi fitat yang tinggi, antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkannya adalah dengan cara merendam, percambahan dan penapaian. Jika makanan disediakan menggunakan beberapa kaedah, kandungan fitat boleh dikurangkan dengan lebih banyak. Sebagai contoh, memasak kekacang selama 1 jam dapat mengurangkan kandungan asid fitik sehingga 80%.

Antara kaedah mengurangkan anti-nutrien adalah percambahan, penapaian dan memasak
Kredit gambar (dari kiri): Devi Puspita, Sigmund, Isaac Azoska/ Unsplash

Selain itu, anti-nutrien juga boleh diambil secara berasingan dengan makanan lain untuk mengelakkan gangguan terhadap penyerapan nutrien. Sebagai contoh, teh atau kopi tidak sesuai diminum sewaktu makan untuk mengelakkan anti-nutrien tanin daripada menghalang penyerapan zat besi. Makanan juga perlu dimakan secara seimbang dan tidak memakan satu jenis makanan secara berlebihan untuk mengelakkan anti-nutrien daripada menghalang penyerapan nutrien.

 

Makanan mengandungi anti-nutrien tidak memudaratkan jika dimakan secara berpatutan

Pelbagai makanan, terutamanya bijirin dan kekacang, mengandungi anti-nutrien yang boleh menghalang penyerapan nutrisi di dalam tubuh badan. Anti-nutrien boleh memudaratkan jika dimakan dalam kuantiti yang banyak atau dimakan secara sendiri. Namun begitu, berdasarkan tradisi pemakanan, makanan tersebut jarang dimakan secara bersendirian. 

Kandungan anti-nutrien ini boleh dikurangkan melalui proses penyediaan dan masakan. Walaupun makanan mungkin masih mengandungi anti-nutrien selepas itu, manfaatnya terhadap kesihatan mengatasi kesan negatifnya. Terdapat anti-nutrien yang berfungsi sebagai penawar bagi pelbagai masalah kesihatan serta mengandungi bahan antioksida dan tindakan antikanser. Di samping itu, diet berasaskan tumbuh-tumbuhan yang mengandungi anti-nutrien juga mengandungi pelbagai nutrisi lain yang boleh mengatasi kesan buruk anti-nutrien. Apa yang paling penting adalah mengamalkan pemakanan yang seimbang. 


Rujukan:

1. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/B9780081005965034259
2. https://www.todaysdietitian.com/newarchives/070111p54.shtml
3. https://gfoats.com.au/blogs/news/what-is-phytic-acid-in-oats
4. https://blog.snapkitchen.com/the-anti-nutrient-youre-likely-eating-daily/
5. https://www.healthline.com/nutrition/how-to-reduce-antinutrients
6. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/anti-nutrients/
7. https://theconversation.com/anti-nutrients-theyre-part-of-a-normal-diet-and-not-as-scary-as-they-sound-149229
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4325078/
9. https://www.healthline.com/nutrition/phytic-acid-101
10. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22074852/
11. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7600777/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago