Adakah Makanan Berkualiti Rendah Boleh Menyebabkan Autisme?

Salah
Adakah Makanan Berkualiti Rendah Boleh Menyebabkan Autisme?

Ada pihak mendakwa bahawa makanan berkualiti rendah boleh menyebabkan autisme

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/02/2023 - Disunting : 20/02/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Makanan Berkualiti Rendah Boleh Menyebabkan Autisme?

Baru-baru ini tular sebuah video memaparkan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, yang seolah-olah mengkritik Menu Rahmah dan mengaitkannya dengan makanan berkualiti rendah. Katanya, makanan berkualiti rendah boleh menyebabkan individu terdedah kepada beberapa masalah kesihatan seperti kanser dan autisme. 

Mari kita semak jika dakwaan makanan berkualiti rendah boleh menyebabkan autisme itu benar.

 

Makanan berkualiti rendah

Ucapan oleh Dr Halimah ketika sesi Parlimen seperti ingin mengatakan bahawa Menu Rahmah menggunakan makanan berkualiti rendah. Menurut Harvard School of Public Health, makanan berkualiti rendah merangkumi makanan diproses, minuman manis, bijirin halus, gula halus, makanan bergoreng, makanan dengan kandungan lemak tepu dan lemak trans tinggi, serta makanan dengan indeks glisemik tinggi. 

Menu Rahmah merangkumi diet yang lengkap iaitu nasi putih sebagai karbohidrat, protein dan sayur, seperti yang disediakan di Ali Maju dan Mydin. Walaupun nasi putih adalah sejenis bijirin halus, namun ia adalah makanan ruji rakyat Malaysia dan boleh diambil dalam kadar berpatutan. Oleh itu, untuk mengatakan Menu Rahmah sebagai makanan berkualiti rendah adalah tidak tepat.  

 

Autisme

Autism spectrum disorder (ASD) atau autisme adalah sejenis kecacatan perkembangan yang disebabkan oleh perbezaan di dalam otak. Kebiasaannya, individu yang mempunyai ASD menghadapi masalah dalam interaksi sosial dan komunikasi, serta mempunyai tingkah laku atau minat yang terbatas dan berulang. Autisme adalah sejenis spektrum dan memberi kesan yang berlainan terhadap lain-lain individu yang mempunyai ASD. Dianggarkan seramai 9,000 orang kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia setiap tahun mempunyai masalah autisme.

Walau bagaimanapun, menurut National Health Services, penyebab autisme sehingga kini masih kurang jelas. Autisme boleh dihidapi oleh individu dari keluarga yang sama dan mungkin diturunkan daripada ibu bapa. Vaksin, penyakit berjangkit dan diet tidak boleh menyebabkan autisme. 

 

Autisme mungkin disebabkan oleh genetik dan persekitaran individu. ASD boleh dikaitkan dengan beberapa jenis gen dan dengan gangguan genetik seperti sindrom Rett dan sindrom X rapuh. Malah, terdapat penghidap ASL yang melalui mutasi genetik dan terdapat gen yang boleh memberi kesan kepada perkembangan otak atau cara sel otak berkomunikasi. Mutasi genetik adalah masalah keturunan, tetapi ada juga yang berlaku secara tiba-tiba. 

Di samping itu, saintis juga sedang mengkaji sama ada faktor luaran seperti masalah ketika dalam kandungan, jangkitan virus atau pencemar udara boleh menyebabkan ASD. 

 

Kaitan makanan dengan autisme

NHS telah menegaskan bahawa autisme tidak disebabkan oleh pemakanan penghidap ASL. Namun begitu, sebuah kajian oleh University of Central Florida (UCF) mendapati autisme mungkin boleh disebabkan oleh pemakanan ibu ketika individu masih dalam kandungan. Pengkaji menemui kandungan asid propionik (PPA) yang tinggi dalam najis penghidap ASL.

PPA boleh ditemui secara semula jadi di dalam usus, tetapi memakan makanan diproses dalam kuantiti yang banyak boleh meningkatkan tahap PPA secara mendadak. Kandungan tinggi PPA digunakan sebagai pengawet makanan untuk memanjangkan jangka hayat makanan diproses seperti keju dan roti. PPA boleh menyeberang daripada ibu kepada janin dan didapati boleh merosakkan sel otak serta mengurangkan perkembangan neuron di dalam otak janin. 

Sebuah kajian lain ke atas tikus mendapati bahawa PPA boleh menyebabkan perubahan kritikal termasuk organisasi sel neural/ saraf tidak normal, diikuti dengan tingkah laku neuro seperti autisme

Pada masa yang sama, Professor Saleh Naser dari UCF berharap supaya para saintis lain turut menjalankan kajian ke atas kaitan antara PPA dan autisme untuk menyingkirkan masalah ini.

 

Selain itu, pemakanan ibu yang tidak seimbang, sama ada terlalu banyak daging mahupun terlalu banyak sayur-sayuran juga boleh meningkatkan risiko ASD terhadap janin. Ia bukan sahaja termasuk pemakanan ketika mengandung, tetapi juga sebelum mengandung. Di samping itu, walaupun mengambil makanan tambahan (supplement), diet tidak seimbang sebelum mengandung tetap dikaitkan dengan ASD, tetapi ia tidak berkaitan bagi ibu yang sedang mengandung.

Tambahan lagi, sebuah kajian sistematik mendapati bahawa pengambilan vitamin seperti multivitamin, asid folik dan vitamin D dapat dikaitkan dengan pengurangan kebarangkalian bayi menghidapi ASD.

 

Makanan berkualiti rendah tidak menyebabkan autisme

Pemakanan secara amnya tidak menyebabkan autisme, tetapi pengambilan makanan proses mengandungi PPA yang terlalu banyak oleh ibu boleh meningkatkan risiko autisme terhadap bayi dalam kandungan. Namun begitu, makanan yang disajikan di bawah Menu Ramah bukanlah makanan diproses. 

Ini kerana Menu Rahmah tidak menyajikan makanan berkualiti rendah tetapi makanan yang seimbang. Pemilik Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata “harga murah yang ditawarkan di bawah inisiatif Menu Rahmah tidak bermakna penjual menyajikan makanan yang berkualiti rendah kepada pengguna”.


Rujukan:

1. https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/healthy-weight/best-diet-quality-counts
2. https://www.buzzkini.com/trending/2023/02/02/hidangan-yang-lengkap-pelanggan-sifatkan-menu-rahmah-berbaloi/
3. https://www.buzzkini.com/news/2023/01/31/15000-restoran-tawar-menu-rahmah-hidangan-makanan-rm5-kepada-b40-bermula-31-januari/
4. https://www.cdc.gov/ncbddd/autism/signs.html
5. https://www.nasom.org.my/autism/
6. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/autism-spectrum-disorder/symptoms-causes/syc-20352928
7. https://www.ucf.edu/pegasus/processing-risk-childhood-autism/
8. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5814017/
9. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6314746/
10. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9234972/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago