Adakah Makanan Yang Mengandungi Alkohol Secara Semula Jadi Halal?

Benar
Adakah Makanan Yang Mengandungi Alkohol Secara Semula Jadi Halal?

Terdapat sesetengah makanan dan minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/05/2023 - Disunting : 11/05/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Makanan Yang Mengandungi Alkohol Secara Semula Jadi Halal?

Pada 9 Mei 2023, Mail Online telah mengeluarkan sebuah artikel yang merangkumi enam jenis makanan dan minuman dengan kandungan alkohol semula jadi. Menurut artikel tersebut, alkohol boleh ditemui di dalam makanan asal seperti pisang, serta makanan diproses seperti roti burger, yogurt dan kicap. Alkohol turut ditemui di dalam jus buah-buahan seperti jus epal dan jus oren.

Sumber: Mail Online

 

Alkohol dalam makanan

Etanol merupakan bahan utama yang dihasilkan ketika proses penapaian karbohidrat yang terdapat dalam buah-buahan dan bahan biojisim lain. Pengkaji dari University of Zurich membahagikan etanol kepada tiga kategori iaitu sebagai ejen pengawet, bahan tidak halal dan bahan toksik bergantung kepada peratus kandungan etanol.

Pakar pemakanan di Aston University Birmingham, Dr Duane Mellor berkata penggunaan yis dalam penghasilan roti akan menyebabkan proses penapaian ke atas karbohidrat berlaku dan menghasilkan alkohol. Namun begitu, kebanyakan kandungan alkohol akan tersejat selepas dimasak. Kandungan alkohol di dalam yogurt pula wujud kerana terdapat mikroorganisma yang memakan laktosa, iaitu gula di dalam susu.

Di samping itu, keranuman buah bukan sahaja boleh dikaitkan dengan perubahan warna dan kandungan gula, tetapi juga kandungan alkohol. Kandungan etanol di dalam buah-buahan akan meningkat apabila buah menjadi terlebih masak. Sebuah kajian mendapati kandungan etanol di dalam buah sejenis pokok palma, Astrocaryum standleyanum, adalah 0.9% ketika ia ranum dan meningkat kepada 4.5% apabila terlebih masak. 

Malah, etanol turut ditemui dalam lain-lain makanan yang melalui proses penapaian seperti tempe, kicap, tempoyak dan tapai pada kadar rendah dan tidak menyebabkan mabuk.

 

Hukum memakan makanan dengan alkohol

Mungkin timbul persoalan mengenai status makanan mengandungi alkohol dan sama ada ia halal dimakan ataupun tidak. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan mengenai isu ini dan telah menerangkan secara panjang lebar.

Muzakarah tersebut memutuskan bahawa makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya halal untuk dimakan atau diminum. Perkara ini juga sama bagi kandungan alkohol yang terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman.

Malah, kandungan alkohol yang ditambah ke dalam makanan atau minuman untuk tujuan penstabilan juga dibenarkan dengan syarat alkohol bukan dihasilkan melalui proses pembuatan arak. Selain itu, kuantiti alkohol juga perlu pada kadar kurang daripada 0.5% dan tidak memabukkan. 

Bagi minuman pula, minuman ringan diproses yang mengandungi alkohol pada kadar 1% v/v (volume by volume) dan bukan dengan tujuan menghasilkan arak turut boleh diminum.  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengisytiharkan kombucha yang dihasilkan oleh ChaCha halal walaupun ia mengandungi sehingga 0.5% kadar alkohol.  

 

Makanan yang mengandungi alkohol secara semula jadi halal dimakan

Sememangnya banyak makanan yang mengandungi alkohol, terutamanya etanol, secara semula jadi. Etanol juga wujud dalam pelbagai makanan diproses sebagai produk sampingan. Hukum memakan makanan sebegitu telah ditetapkan halal oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. 

 

Malaysia Bersuara sebelum ini pernah membuat hantaran mengenai status halal minuman ringan Bundaberg.


Rujukan:

1. https://www.dailymail.co.uk/health/article-11857817/How-theres-alcohol-10-bananas-ONE-pint.html
2. https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S0924224416301601
3. https://www.abbeycarefoundation.com/alcohol/what-foods-contain-alcohol/
4. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21676715/
5. https://news.ump.edu.my/experts/beza-antara-alkohol-dan-arak
6. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3097-irsyad-al-fatwa-siri-ke-290-hukum-pewarna-makanan-20-peratus-alkohol

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago