Adakah Malaysia Sebuah Negara Menua?

Benar
Adakah Malaysia Sebuah Negara Menua?

Umur persaraan dicadangkan supaya dinaikkan kerana dikatakan Malaysia adalah sebuah negara menua

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 23/08/2022 - Disunting : 23/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Malaysia Sebuah Negara Menua?

Pada awal tahun 2022, Pengarah Komunikasi Wanita PKR Loh Ker mencadangkan supaya kerajaan melanjutkan umur persaraan dari 55 tahun kepada 65 tahun, selaras dengan saranan Bank Dunia. Isu kenaikan umur persaraan sering menjadi perdebatan dalam kalangan anak muda yang merasakan peluang pekerjaan patut diberikan kepada golongan muda berbanding dipegang oleh individu yang sudah tua. Dalam masa yang sama, terdapat juga sebilangan kecil individu muda yang merasakan ia harus dilakukan oleh kerana negara Malaysia yang dilihat semakin menuju ke arah sebuah negara menua. Namun begitu, adakah sangkaan ini benar?

 

Negara menua atau penuaan populasi

Penting untuk memahami konsep sebuah negara menua terlebih dahulu sebelum merungkai fenomena ini. Negara menua atau juga merujuk kepada penuaan populasi terjadi apabila taburan umur penduduk di sesebuah negara beralih ke umur yang tua, sama ada melebihi 60 tahun atau 65 tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 1 daripada 6 orang di dunia akan berumur 60 tahun ke atas menjelang tahun 2030. Penuaan populasi pada awalnya bermula di negara-negara berpendapatan tinggi seperti Jepun, Itali dan Finland. Walau bagaimanapun, ia mula dirasai oleh negara-negara berpendapatan tengah dan rendah sehingga WHO menganggarkan bahawa dua per tiga daripada populasi tua dunia datang dari negara-negara ini menjelang tahun 2050 kelak. 

Berdasarkan data Population Reference Bureau pada tahun 2019, Malaysia merupakan salah satu daripada 50 negara dengan populasi golongan tua terbesar di dunia. Menduduki tangga ke-45 di carta tersebut, 6.4% daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 65 tahun dan ke atas. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di dalam anggarannya, menunjukkan bahawa peratusan ini telah meningkat kepada 7.3% pada tahun 2022. Peratus penduduk Malaysia berumur 65 tahun ke atas meningkat secara eksponen sejak 1960 hingga kini. WHO menyatakan bahawa penuaan populasi terjadi disebabkan oleh penurunan kadar kelahiran dan jangka hayat yang semakin panjang. Bacaan lanjut mengenai situasi ini boleh didapati di Population and Demographics Ageing Newsletter

Populasi berumur 65 tahun ke atas (Sumber: Bank Dunia)

 

Kesan negara menua

Sesebuah negara yang menghadapi penuaan populasi akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Menurut pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, majoriti ahli-ahli KWSP berhadapan dengan kemiskinan di usia tua kerana simpanan yang tidak mencukupi menjelang persaraan. Selain itu, penuaan populasi digabung dengan usia persaraan yang awal, akan memberi tekanan secara tidak langsung kepada golongan pekerja. Golongan pekerja yang rata-rata berdepan dengan masalah ekonomi, seperti pendapatan yang tidak mencukupi dan kadar inflasi yang meningkat, akan merasa lebih banyak tekanan terutamanya dari segi kewangan dan mental.

Sumber: Bank Dunia

Gambar rajah di atas menunjukkan age-dependency ratio atau nisbah umur bergantung bagi populasi usia bekerja (15 hingga 64 tahun) dan populasi usia tua (65 tahun ke atas). Jelas kelihatan bahawa populasi usia bekerja menunjukkan penurunan yang ketara ke 44% pada 2020, manakala populasi usia bekerja yang bergantung kepada golongan pekerja meningkat ke 11% pada 2020. Ini bermakna lebih kurang satu per empat daripada individu berumur 65 tahun ke atas bergantung kepada golongan pekerja. Digelar The Sandwich Generation, golongan pekerja bukan sahaja perlu menanggung diri sendiri dan anak-anak, tetapi juga ibu bapa yang semakin menua dan tidak mampu menjana pendapatan sendiri.

 

Malaysia adalah sebuah negara menua

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan 7% golongan berumur 65 tahun ke atas daripada jumlah populasi sebagai paras untuk menentukan sesebuah negara sedang menua. Oleh itu, berdasarkan perangkaan populasi terkini, Malaysia sudah pun menjadi sebuah negara menua. Malah, PBB menjangkakan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua, iaitu negara yang mempunyai golongan berumur 60 tahun ke atas sebanyak 15% daripada jumlah populasi negara, menjelang tahun 2030

Pengerusi Alliance For a Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye berkata Malaysia harus bersiap-sedia dengan mewujudkan program keselamatan sosial menyeluruh, sistem penjagaan peribadi yang berpatutan dan pusat jagaan harian orang tua serta pusat-pusat lain yang berkenaan bagi menghadapi fenomena negara tua. Kerajaan telah mewujudkan Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) sejak tahun 2011 bagi membantu golongan warga emas menjadi berdikari dan meningkatkan kesejahteraan hidup melalui peningkatan potensi diri.

 


Rujukan:

1. https://www.malaysiakini.com/news/614886
2. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/ageing-and-health
3. https://www.prb.org/resources/countries-with-the-oldest-populations-in-the-world/
4. https://www.prb.org/resources/countries-with-the-oldest-populations-in-the-world/
5. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/5_Gallery/2_Media/4_Stats%40media/4-Press_Statement/2022/07.%20JULAI/ANGGARAN%20PENDUDUK%20SEMASA%20MALAYSIA%2C%202022.pdf
6. https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/population-ageing#:~:text=Why%20is%20the%20population%20ageing,people%20who%20are%20over%2060.
7. https://www.dosm.gov.my/v1/uploads/files/6_Newsletter/Ageing.pdf
8. https://www.theedgemarkets.com/article/epf-members-now-risk-falling-old-age-poverty-says-chairman
9. https://www.therakyatpost.com/living/2020/02/03/the-malaysian-responsibility-struggle-caring-for-aging-parents/
10. https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=dTZXanV6UUdyUEQ0SHNWOVhpSXNMUT09
11. https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/Dasar%20Warga%20Emas_2011.pdf
12. https://www.nst.com.my/news/nation/2019/12/550082/malaysia-needs-prepare-ageing-population
13. https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/Dasar%20Warga%20Emas_2011.pdf
14. https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Dasar/PTWEN%20(final).pdf
15. https://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=WjFUdFBURTV0Zis0N0NxYm05Qk9XQT09

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago