Adakah Malaysia Sedang Mengalami Great Resignation?

Salah
Adakah Malaysia Sedang Mengalami Great Resignation?

Sejak kebelakangan ini dikatakan ramai pekerja muda di Malaysia meletak jawatan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 29/09/2022 - Disunting : 29/09/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Malaysia Sedang Mengalami Great Resignation?

Great Resignation sedang hangat diperkatakan di pelbagai media sosial dan akhbar antarabangsa. CNN melaporkan di Amerika Syarikat, seramai 47.8 milion pekerja telah meletak jawatan secara sukarela pada tahun 2021. Great Resignation juga dilihat terjadi di negara kuasa besar lain seperti United Kingdom dan Perancis. Persoalannya, adakah Great Resignation turut berlaku di Malaysia?

 

Tinjauan ke atas pekerja di Malaysia

UCSI Poll Research Centre telah menjalankan sebuah tinjauan berkenaan Great Resignation di Malaysia dan mendapati 60% daripada 820 peserta tinjauan bersetuju bahawa Malaysia akan mengalami perletakan jawatan besar-besaran. Sebuah laporan lain pula menyatakan bahawa sekitar 61% pekerja bercadang untuk mencari kerja lain pada tahun 2022. Majoriti daripada mereka berumur 35 tahun ke bawah dan ingin menukar kerja kerana kerja sedia ada tidak fleksibel, tidak mempunyai perkembangan kerjaya serta mempunyai gaji rendah.

Kredit gambar: Headway/ Unsplash

Randstad Malaysia, melalui kajian tahunan Employer Brand Research 2022 mendapati 30% pekerja di Malaysia bercadang untuk mencari kerja lain menjelang Jun 2022. Perkara ini menunjukkan peningkatan 7% berbanding tahun lalu. Malah, antara Julai hingga Disember 2021, sebanyak 14% peserta kajian telah menukar kerja. 74% rakyat Malaysia ingin bekerja untuk majikan yang menawarkan gaji dan faedah yang lebih menarik dan 70% inginkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan harian. Di samping itu, 43% pekerja risau akan kehilangan kerja dan turut bercadang untuk mendapatkan kerja baru menjelang Jun 2022.

Kredit gambar: Damir Kopezhanov/ Unsplash

Menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pada Oktober 2021, Malaysia dijangka tidak akan mengalami Great Resignation seperti di AS. Presiden MEF Syed Hussain berkata kadar perletakan jawatan eksekutif menurun dari 1.16% bagi tempoh Julai 2019 hingga Jun 2020 kepada 0.93% bagi tempoh Julai 2020 hingga Jun 2021. Penurunan perletakan jawatan juga dilihat dalam kalangan jawatan bukan eksekutif. Syed Hussain berkata pekerja juga mungkin meletak jawatan untuk mencari peluang pekerjaan lain yang menawarkan kerja dari rumah atau masa kerja fleksibel. Perkara ini adalah sejajar dengan dapatan Randstad yang mendapati hanya 51% peserta tinjauan bekerja dari rumah pada tahun ini berbanding 69% tahun lepas.

 

Terkini, sebuah tinjauan oleh firma pengambilan pekerja Robert Walters mendapati pada mulanya 82% pekerja profesional Malaysia bercadang untuk menukar kerja. Walau bagaimanapun, 39% daripada mereka masih bersama majikan lama kerana belum mendapat tawaran kerja baru, tidak yakin dengan budaya dan kemampanan tempat kerja baru, serta bimbang tentang jaminan kerja di syarikat baru. 

 

Great Resignation masih belum terjadi di Malaysia

Data jelas menunjukkan bahawa perletakan jawatan bagi tahun 2021 semakin berkurang berbanding tahun sebelumnya. Walaupun Randstad berkata Malaysia sedang mengalami Great Resignation, pekerja di Malaysia sebenarnya meletak jawatan untuk mencari kerja dan majikan yang lebih baik. Perkara ini adalah berbeza dengan situasi di AS di mana pekerja meletak jawatan sepenuhnya. Keadaan penukaran kerja di Malaysia patut dilihat sebagai sebuah “great reshuffling. Namun begitu, ahli ekonomi Adilah Zafirah dari Iris Institute berkata keadaan pasaran buruh harus ditambah baik dengan gaji tinggi dan keseimbangan hidup untuk mengelak Great Resignation daripada berlaku di Malaysia.


Rujukan:

1. https://edition.cnn.com/2022/03/30/economy/great-resignation-uk-australia-europe/index.html
2. https://www.thesundaily.my/local/mass-quitting-of-jobs-not-likely-to-happen-say-experts-KN8924095
3. https://althr.my/resources/great-resignation-2022-should-malaysian-businesses-be-worried
4. https://www.randstad.com.my/hr-trends/employer-brand/30-per-cent-malaysian-employees-to-change-jobs-by-june-2022/
5. https://www.randstad.com.my/hr-trends/employer-brand/2022-malaysia-country-report/
6. https://www.thesundaily.my/local/mass-quitting-of-jobs-not-likely-to-happen-say-experts-KN8924095
7. https://www.smartinvestor.com.my/a-not-so-great-resignation-39-of-professionals-in-malaysia-who-have-thought-of-resigning-in-the-past-year-didnt-leave-their-jobs/
8. https://www.therakyatpost.com/living/2022/06/10/malaysias-workers-just-want-better-jobs-or-well-quit/
9. https://www.malaysianow.com/my/news/2021/10/21/peletakan-jawatan-besar-besaran-ala-as-dijangka-tidak-berlaku-di-malaysia

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago