Adakah Masalah Kesihatan Gigi Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan Lain?

Benar
Adakah Masalah Kesihatan Gigi Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan Lain?

Hampir semua orang dewasa mempunyai masalah gigi berlubang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 15/05/2023 - Disunting : 15/05/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Masalah Kesihatan Gigi Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan Lain?

Berdasarkan Laporan Status Kesihatan Pergigian Global 2022 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 3.5 bilion orang di seluruh dunia mengalami masalah gigi. Walaupun masalah gigi merupakan masalah global, ia seringkali diambil mudah oleh individu, terutamanya apabila ia tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Hantaran kali ini akan melihat jika masalah gigi boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. 

 

Masalah kesihatan gigi

Menurut WHO, dianggarkan seramai 2 bilion orang mengalami karies pada gigi kekal dan 514 juta kanak-kanak mengalami karies pada gigi susu. Pada masa yang sama, hampir semua orang dewasa dan 60-90% kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya satu gigi yang berlubang

Risiko kerosakan gigi juga meningkat sejajar dengan umur. Umur yang meningkat akan mewujudkan masalah penghasilan air liur, gusi susut dan mendedahkan akar lembut, serta kesukaran membersihkan gigi kerana masalah penglihatan, kognitif, masalah kesihatan kronik dan batasan fizikal. 

Bagi golongan dewasa berumur 35 hingga 44, antara 15% hingga 20% mempunyai masalah gusi yang teruk. Malah, 30% daripada individu berumur 65 hingga 74 tidak lagi mempunyai sebarang gigi asli. 

Pada tahun 2009 hingga 2014, didapati empat daripada 10 orang dewasa berumur 30 tahun ke atas mempunyai masalah gusi (periodontal). Ia boleh disebabkan oleh masalah kesihatan seperti diabetes, masalah keturunan serta kebersihan mulut yang kurang baik yang menyebabkan jangkitan dan keradangan pada gusi dan tulang di sekeliling gigi. 

Karies di gigi. Kredit gambar: Suyash.dwivedi/ Wikimedia

Selain masalah gusi, karies yang menyebabkan lubang pada gigi merupakan penyakit kronik yang paling biasa dihadapi sepanjang hidup seorang individu. Karies berlaku apabila asid dihasilkan oleh plak yang tidak dibersihkan daripada gigi dan boleh menyebabkan gigi reput. Masalah mulut lebih kerap terjadi dalam kalangan populasi miskin atau serba kekurangan.

 

Kesan daripada masalah gigi

Gigi rosak bukan sahaja akan menyebabkan kesakitan, tetapi juga menjadikan individu lebih berisiko kepada masalah kesihatan lain seperti masalah jantung, paru-paru, strok, dan tekanan. Pada masa yang sama, individu juga boleh berasa susah untuk bercakap dan menelan, sakit yang amat, dan tidak boleh tidur. 

Gigi rosak atau mereput yang tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan kuman di dalam mulut. Jangkitan ini akan menyebabkan bengkak yang bernanah atau abses yang terjadi di hujung akar gigi atau dalam gusi. Ia boleh merebak ke bahagian badan lain sehingga menyebabkan masalah kesihatan lain.

Pada masa yang sama, terdapat kebarangkalian tisu lembut di dalam mulut rosak akibat masalah gusi yang tidak dirawat, seterusnya menyebabkan penyakit kekal serta kematian bagi kes terpencil. Kajian oleh New York University mendapati bahawa gusi yang bengkak menyumbang kepada keradangan otak, neurodegeneration dan penyakit Alzheimer.

Masalah gusi yang tidak dirawat juga boleh menyebabkan tulang yang memegang gigi susut dan gusi mengalami jangkitan. Seterusnya, gigi akan menjadi longgar dan perlu dicabut. 

 

Masalah gigi dalam kalangan ibu mengandung

Selain daripada masalah gigi secara umum, penting juga untuk mengetahui risiko masalah gigi bagi ibu mengandung. Penulis telah menemu bual Dr Syed Muhammad Qotaddah dari Klinik Pergigian Zahida yang pernah bertugas di Klinik Kesihatan Ibu & Anak (KKIA). 

Di bawah inisiatif Buku Pink (buku ibu mengandung), ibu mengandung akan diberikan pemeriksaan gigi oleh doktor gigi sekurang-kurangnya sekali sepanjang pemeriksaan kandungan di KKIA. Disebabkan wanita mengalami perubahan pelbagai hormon sewaktu mengandung, ia boleh menyebabkan keradangan pada gusi atau gingivitis. Seramai 60% hingga 75% ibu mengandung mengalami gingivitis.

Masalah gingivitis sebelum dan selepas gigi dibersihkan. Kredit gambar: Onetimeuseaccount/ Wikimedia

Gusi yang tidak dibersihkan dengan betul boleh menyebabkan kalkulus, iaitu plak yang mengeras pada gigi. Memandangkan kalkulus mempunyai banyak bakteria, gusi akan menjadi bengkak dan melepaskan hormon stres yang boleh menyebabkan otot pada uterus kecut sehingga terjadinya kelahiran bayi pramatang. Bakteria juga boleh dipindahkan melalui saluran darah dan menjangkiti bayi dalam kandungan. 

Kalkulus pada gigi. Kredit gambar: DRosenbach/ Wikimedia

 

Kematian disebabkan oleh masalah gigi

Dalam kes serius, abses boleh mencetuskan sepsis, iaitu keadaan di mana badan bertindak balas secara ekstrim terhadap jangkitan kuman. Apabila sepsis berlaku, jangkitan kuman akan mengaktifkan reaksi berantai ke seluruh tubuh badan sehingga menyebabkan masalah serius seperti kerosakan tisu, kegagalan organ, malah kematian. 

Dr Rashvin Kaur Rekhraj, seorang pengamal perubatan pergigian di Kuala Lumpur, memberi contoh masalah oral myiasis, iaitu keadaan di mana larva lalat Diptera tertentu masuk ke dalam mulut. Walaupun oral myiasis jarang berlaku dan kebiasaannya hanya terjadi pada pesakit lumpuh atau mempunyai masalah mental, jika tidak dirawat larva boleh memasuki bahagian otak dan menjadi masalah meningitis yang boleh menyebabkan kematian. 

 

Masalah gigi boleh menyebabkan masalah kesihatan lain

Ternyata bahawa masalah gigi tidak harus diambil mudah kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan lain. Masalah gigi pada ibu mengandung boleh menyebabkan kandungan dilahirkan lebih awal dan menjadi bayi pramatang. Malah, terdapat masalah yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian. Oleh itu, penting untuk melakukan pembersihan gigi dan mulut secara menyeluruh.


Rujukan:

1. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/oral-health
2. https://www.healthline.com/health/dental-and-oral-health
3. https://www.cdc.gov/oralhealth/basics/adult-oral-health/index.html
4. https://www.cdc.gov/oralhealth/conditions/index.html
5. https://www.nhsinform.scot/illnesses-and-conditions/mouth/tooth-decay
6. https://www.australiadental.com.au/health-problems-can-tooth-decay-cause/
7. https://www.marchofdimes.org/find-support/topics/pregnancy/dental-health-during-pregnancy
8. https://www.colgate.com/en-us/oral-health/threats-to-dental-health/can-bad-teeth-make-you-sick

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago