Adakah Masyarakat Cina dan India Telah Menetap Di Tanah Melayu Sebelum Kedatangan British?

Benar
Adakah Masyarakat Cina dan India Telah Menetap Di Tanah Melayu Sebelum Kedatangan British?

Kaum Cina dan India merupakan masyarakat utama di Malaysia selain daripada golongan Bumiputera

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/11/2023 - Disunting : 07/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Masyarakat Cina dan India Telah Menetap Di Tanah Melayu Sebelum Kedatangan British?

Bumiputera, Cina dan India merupakan kumpulan masyarakat utama yang tinggal di Malaysia. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi suku tahun kedua 2023, masyarakat Bumiputera merupakan kumpulan majoriti iaitu sekitar 70% jumlah penduduk tempatan, diikuti dengan masyarakat Cina (22.6%) dan India (6,6%). 

Perangkaan Demografi Malaysia, Suku Tahun Kedua 2023.
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Berbeza kaum yang tinggal di Malaysia menyebabkan wujudnya pelbagai budaya yang turut berasimilasi sesama sendiri, menyebabkan negara terkenal dengan kehidupan yang aman dan makmur tidak kira bangsa. 

Namun begitu, masih terdapat segelintir golongan masyarakat yang bergerak atas dasar perkauman yang sering menyebut kaum-kaum minoriti di negara sebagai ‘pendatang’ walaupun telah menetap di sini sejak turun-temurun. Mereka mengaitkan kedatangan kaum minoriti dengan penjajahan British yang membawa masuk pekerja dari negara China dan India. Persoalannya, adakah masyarakat Cina dan India tidak wujud di Tanah Melayu sebelum kedatangan British?

 

Penjajah British membawa masuk pekerja

British mula-mula menubuhkan penempatannya di Tanah Melayu dengan mengambil negeri Pulau Pinang pada tahun 1786. Perkara ini berlanjutan dengan Singapura (1819) dan Melaka (1824) yang ketiga-tiganya membentuk Negeri-Negeri Selat.

Tidak lama kemudian, British mula menjajah keseluruhan Tanah Melayu serta membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu. Perkara ini sekaligus menyebabkan penghijrahan komuniti dari negara China dan India yang dibawa masuk oleh British sebagai tenaga kerja. Tenaga kerja luar diperlukan kerana masyarakat tempatan ketika itu melakukan aktiviti pertanian di tanah sendiri dan tidak berminat untuk bekerja di lombong dan ladang getah.

Kebanyakan buruh Cina yang datang ke Tanah Melayu berasal dari selatan China, terutamanya dari wilayah Kwangtung dan Fukien. Bagi buruh India pula, kebanyakan mereka berhijrah dari selatan tanah air yakni Negapatam dan Madras. Masyarakat Cina terlibat dengan aktiviti perlombongan dan perdagangan, manakala tenaga kerja kaum India bertumpu di estet getah.

 

Melaka sebagai pelabuhan antarabangsa

Melaka yang dikatakan dibuka oleh Parameswara antara tahun 1400 hingga 1403, telah menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang pesat sebelum dijajah oleh Portugis pada 1511. Kedudukannya yang strategik menjadikan pelabuhan Melaka tempat persinggahan kapal-kapal berdagang dari seluruh pelusuk dunia. 

Tidak dinafikan bahawa sebelum kedatangan British, penduduk di Tanah Melayu kebanyakannya merupakan golongan Bumiputera Melayu dan Asli. Namun, sebenarnya terdapat sebilangan kecil masyarakat dari China dan India yang telah menetap di Tanah Melayu atas tujuan perdagangan, terutamanya ketika zaman kegemilangan Melaka.

 

Kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu

Kini merupakan sebahagian daripada masyarakat utama di Malaysia, kaum Cina telah datang ke Tanah Melayu sejak awal Melaka dibuka. Malah, pada tahun 1403, Maharaja Yung Lo telah menghantar utusan diketuai Laksamana Yi Ch‘ing untuk menemui Parameswara, Sultan Melaka ketika itu, seterusnya mewujudkan hubungan perdagangan dan politik antara kedua-dua kuasa itu. 

Karya Sulalatus Salatin yang menceritakan sejarah Melaka turut menyebut tentang perkahwinan seorang puteri dari China, Hang Li Po, yang berkahwin dengan Sultan Melaka Sultan Mansur Syah. Walaupun identiti sebenar puteri itu tidak diketahui, namun ia boleh dijadikan sebagai bukti kedatangan dan penempatan kaum Cina di Melaka.

Masyarakat Cina yang telah datang ke Tanah Melayu bagi tujuan perdagangan dan berkahwin dengan orang tempatan, mewujudkan keturunan Peranakan Baba dan Nyonya. Menurut Daniel Ang yang merupakan Bendahari Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM) ketika itu, pedagang yang datang ke Melaka tidak dibenarkan membawa isteri. Oleh itu, mereka memilih untuk berkahwin dengan wanita Melayu tempatan.

 

Kedatangan kaum India ke Tanah Melayu

Perkara yang sama turut berlaku bagi kaum India yang datang ke Melaka atas tujuan perdagangan, terutamanya dari wilayah Tamil Nadu. Mereka yang berhijrah ke Melaka turut berkahwin dengan orang tempatan dan menghasilkan komuniti India Peranakan atau Chitty di negeri itu. Dikatakan perkara ini berlaku ketika kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, yang menyebabkan pedagang dari India terputus hubungan dengan negara asal.

Mohan Pillay selaku Setiausaha Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chitty Melaka ketika ditemu bual pada tahun 2015, berkata masyarakat Chitty telah wujud di Melaka sejak zaman kesultanan Melayu pada kurun ke-14. Menurutnya, keturunan masyarakat Chitty adalah dari persisiran pantai negara India yang ke Melaka sebagai pedagang kaya.

Masjid Kampung Kling di Melaka. Kredit gambar: gordontour/ Flickr

Malah, di Melaka ketika itu telah wujud penempatan masyarakat India yang digelar sebagai Kampung Kling. Di kawasan itu, Masjid Kampung Kling dibina oleh pedagang India Muslim pada tahun 1748. Selain itu, Kuil Sri Poyatha Moorthi telah dibina oleh ketua komuniti Chitty Thaivanayagam Pillay pada tahun 1781 berdekatan masjid itu. Ia kini menjadi kuil tertua di Malaysia. Kewujudan bangunan-bangunan bersejarah ini menjadi bukti bahawa masyarakat India telah menetap di negeri itu sejak sekian lama lagi sebelum kedatangan British.

 

Masyarakat Cina dan India telah menetap di Tanah Melayu sejak sebelum kedatangan British

Ternyata bahawa masyarakat Cina dan India bukan baru wujud di Tanah Melayu apabila dibawa masuk oleh British sebagai tenaga kerja. Melaka juga telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China sejak awal penubuhannya. Kewujudan mereka serta budaya yang telah diasimilasi menunjukkan bahawa mereka diterima baik oleh pemimpin dan masyarakat setempat ketika itu.

Jika mereka berhijrah atas dasar polisi penjajah British sekalipun, tidak boleh dinafikan bahawa masyarakat Cina dan India turut bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara. Sebagai contoh, ketua komuniti Cina, Yap Ah Loy yang memegang peranan besar dalam pembangunan kota Kuala Lumpur. 

Retorik perkauman tidak seharusnya dilakukan oleh mana-mana pihak terhadap mana-mana bangsa. Kewujudan pelbagai kaum sejak sebelum merdeka perlu dirai. Malah, tidak mustahil jika terdapat keturunan Cina dan India yang telah menetap lebih lama berbanding masyarakat yang berhijrah dari negara-negara seperti Indonesia dan Arab kemudiannya.


Rujukan:

1. https://www.dosm.gov.my/uploads/release-content/file_20230809103205.pdf
2. https://www.academia.edu/6542088/Kemasukan_buruh_buruh_dari_negeri_China_dan_India_yang_datang_ke_Malaysia_pada_abad_ke_19
3. https://www.penaminang.com/2014/08/sejarah-melaka-secara-ringkas.html
4. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/11/100766/menyelami-masyarakat-peranakan-di-malaysia#google_vignette
5. https://arecabooks.com/2021/01/06/kenali-chitty-masyarakat-india-peranakan-di-malaysia-yang-semakin-pupus/
6. http://journalarticle.ukm.my/558/1/1.pdf
7. https://itc.gov.my/listings/masjid-kampung-kling-bandaraya-melaka/
8. https://klia.info/attractions/melaka/sri_poyatha_moorthi_temple.htm#google_vignette

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago