Adakah Menggunakan Telefon Bimbit Di Stesen Minyak Boleh Menyebabkan Kebakaran?

Salah
Adakah Menggunakan Telefon Bimbit Di Stesen Minyak Boleh Menyebabkan Kebakaran?

Penggunaan telefon bimbit di stesen minyak sering dikaitkan dengan risiko kebakaran

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 05/07/2023 - Disunting : 05/07/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Menggunakan Telefon Bimbit Di Stesen Minyak Boleh Menyebabkan Kebakaran?

Sudah pasti individu yang memandu kenderaan biasa mengisi petrol di stesen minyak. Di stesen minyak terdapat papan tanda yang melarang penggunaan telefon bimbit. Terdapat kepercayaan bahawa menggunakan telefon bimbit boleh menyebabkan penghasilan percikan api yang akan menyebabkan kebakaran di stesen minyak. Persoalannya, adakah perkara ini benar atau sekadar mitos?

Kredit gambar: Petronas Saujana Puchong/ Facebook

Malah, kini sesetengah stesen minyak mempunyai aplikasi telefon bimbit seperti Setel yang membantu pengguna untuk menetapkan fungsi isian minyak.

 

Sinaran gelombang mikro telefon bimbit

Telefon bimbit sememangnya berfungsi dengan memancarkan dan menerima sinaran gelombang mikro frekuensi radio (RF). Secara teorinya, gelombang mikro boleh menghasilkan percikan api apabila bersentuhan dengan logam.

Namun begitu, menurut Dr Chandima Gomes yang pernah bertugas sebagai seorang profesor kejuruteraan elektrik di Universiti Putra Malaysia (UPM), gelombang yang dihasilkan oleh telefon bimbit terlalu lemah untuk menyebabkan letupan

Gomes berkata telefon bimbit hanya menghasilkan gelombang sekitar 2.45GHz dan tidak pernah ada sebarang bukti saintifik bahawa ia boleh mencetuskan percikan api. Malah, MythBusters telah melakukan uji kaji dengan mengisi asap di dalam ruang gas dan melakukan panggilan telefon dari dalam, dan mendapati tiada sebarang letupan berlaku. 

United Kingdom Petroleum Industry Association (UKPIA) meyakinkan pengguna tidak perlu risau apabila menggunakan telefon bimbit di kawasan stesen minyak. Namun, penggunaannya harus dielakkan ketika individu sedang mengisi minyak atau memandu. UKPIA menegaskan bahaya penggunaan telefon bimbit bukan kerana ia berisiko tinggi untuk meletup, tetapi kerana ia akan menyebabkan gangguan.

Menurut Federal Communications Commission (FCC), laporan berkenaan kebakaran akibat telefon bimbit di stesen minyak tidak terbukti benar. Walaupun secara teorinya bateri telefon bimbit boleh menghasilkan percikan api, tetapi kebarangkaliannya adalah sangat kecil

 

Elektrik statik punca utama kebakaran di stesen minyak

Menurut Petroleum Equipment Institute (PEI), pelepasan elektrik statik adalah masalah pertama yang menyebabkan kebakaran di stesen minyak. Bekas timbalannya, Robert Renkes berkata kebakaran di stesen minyak berlaku apabila elektrik statik atau cas elektrik dari badan seseorang yang menghasilkan percikan api.

Sebagai maklumat tambahan, elektrik statik terjadi akibat ketidakseimbangan antara cas positif dan negatif di dalam atau atas permukaan sesuatu benda. Elektrik statik akan terus terkumpul sehingga ia dilepaskan atau dinyahcaskan. 

Renkes menjelaskan kemalangan akibat penggunaan telefon bimbit berlaku apabila seseorang yang sedang mengisi petrol masuk ke dalam kereta untuk membuat panggilan. Geseran badan dengan tempat duduk kereta menghasilkan elektrik statik yang mengecas badan. Apabila individu keluar dan memegang muncung pam tanpa menyahcaskan elektrik statik dari badan, lebihan statik akan dipindahkan ke wap petrol dan menyebabkan letupan.

 

Sebelum ini, seorang pengguna Twitter telah berkongsi gambar yang menunjukkan seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan panggilan dengan pintu kereta terbuka ketika pengisian minyak sedang berjalan. Kelakuan tersebut mendatangkan risiko kebakaran kerana boleh menghasilkan elektrik statik.

Steve Fowler dari Fowler Associates yang mengkaji tentang kebakaran statik berkata badan boleh menghasilkan statik dengan pelbagai cara. Katanya, menggesel kaki di atas karpet boleh menyebabkan badan menghasilkan sehingga 35,000 volt, manakala situasi di dalam kereta boleh menghasilkan sehingga 60,000 volt. 

Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Shairan Huzani Husain, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Shell, telah berkongsi satu video di akaun Instagram yang menunjukkan bagaimana elektrik statik terjadi dan menyebabkan kebakaran. 

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shairan Huzani (@pakcikshell)

Seperti yang dijelaskan oleh Renkes, dapat dilihat individu di dalam video tersebut duduk di tempat duduk penumpang sementara menunggu pengisian minyak. Dia kemudiannya menghampiri muncung pam tanpa menyahcaskan tubuhnya menyebabkan kebakaran berlaku secara serta-merta. 

Pakcik Shell memberi nasihat supaya elektrik statik dibuang dari badan dengan menyentuh permukaan besi jika individu masuk ke dalam kereta semula. Ia harus dilakukan sebelum mendekati muncung pam. Jika berlaku kebakaran, individu berhampiran perlu segera menekan butang ‘Emergency Stop’ yang terdapat di kiosk.

Papan tanda di stesen minyak turut mengingatkan orang ramai supaya menyahcaskan elektrik statik dengan menyentuh kenderaan.

Kredit gambar: Zamie Mohyedin/ Twitter

 

Kebakaran di stesen minyak tidak disebabkan oleh penggunaan telefon bimbit, tetapi disumbang oleh elektrik statik

Ternyata bahawa penggunaan telefon bimbit di stesen minyak boleh menyebabkan kebakaran hanya mitos. Namun begitu, orang ramai tidak digalakkan untuk mengguna telefon bimbit kerana ia boleh menjadi gangguan dan berbahaya. 

Kebakaran di stesen minyak sebenarnya disebabkan oleh elektrik statik yang kebiasaannya terhasil apabila individu masuk semula ke dalam kereta sementara pengisian minyak berjalan. Orang ramai diingatkan supaya menyahcaskan elektrik statik dari tubuh badan sebelum menghampiri muncung pam. 

PEI menganjurkan tiga peraturan mudah untuk pengisian minyak yang selamat. Pertama, seperti yang tertera dalam papan tanda di atas, enjin kereta harus dimatikan. Kedua, tidak merokok kerana bara api dari puntung rokok boleh menyebabkan kebakaran. Larangan ini termasuk penggunaan rokok elektronik. Terakhir, tidak memasuki semula ke dalam kereta ketika pengisian minyak sedang berjalan untuk mencegah penghasilan elektrik statik.  


Rujukan:

1. https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/use-of-mobile-phones-at-petrol-stations-do-not-cause-fires-experts
2. https://www.thesun.co.uk/motors/5474439/mobile-phone-petrol-station-illegal-dangerous/
3. https://www.verizon.com/about/news/vzw/2014/12/fact-or-fiction-using-a-cell-phone-at-the-gas-station-can-cause-a-fire
4. https://www.loc.gov/everyday-mysteries/physics/item/how-does-static-electricity-work/
5. https://abcnews.go.com/GMA/story?id=127836&page=1
6. Instagram @pakcikshell

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago