Adakah Menghendap Atau Stalking Merupakan Satu Jenayah Di Malaysia Dan Melanggar Undang-Undang?

Benar
Adakah Menghendap Atau Stalking Merupakan Satu Jenayah Di Malaysia Dan Melanggar Undang-Undang?

Lebih satu pertiga rakyat Malaysia pernah mengalami perbuatan menghendap lebih sekali daripada orang yang sama

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 17/07/2023 - Disunting : 17/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Menghendap Atau Stalking Merupakan Satu Jenayah Di Malaysia Dan Melanggar Undang-Undang?

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter telah berkongsi situasi dia dihendap oleh seorang individu selama lapan tahun. Malah, individu tersebut pernah mengekorinya ke United Kingdom (UK) dan pernah diberkas oleh polis UK sebelum dibebaskan bagi menunggu tarikh mahkamah. Suspek kemudiannya melarikan diri kembali ke Malaysia.

Memandangkan dia telah menghadapi perkara itu selama lapan tahun lamanya, timbul persoalan sama ada perbuatan menghendap atau stalking merupakan satu jenayah di Malaysia ataupun tidak.

 

Statistik menghendap di Malaysia

Sebuah tinjauan telah dijalankan oleh Vase.ai dan Women’s Aid Organisation (WAO) ke atas 1,008 wanita dan lelaki Malaysia untuk memahami pengalaman menjadi mangsa hendap. Hasil tinjauan mendapati lebih satu pertiga (36%) daripada mereka telah menghadapi kelakuan yang dikaitkan dengan menghendap lebih sekali atau secara berterusan oleh individu yang sama.

Lebih teruk lagi apabila seramai 12% responden diugut akan dicederakan dan 17% responden telah dicederakan oleh penghendap. Di samping itu, 88% responden telah mengalami perbuatan hendap sekurang-kurangnya sekali, dengan 60% daripada mereka mengalaminya lebih satu kali. 

Responden berkongsikan pelbagai perbuatan yang dikaitkan dengan menghendap seperti menerima panggilan atau mesej yang tidak diingini (74%), menerima emel, pesanan atau mesej yang tidak diingini di platform seperti Facebook dan Instagram (76%) serta menerima hadiah yang tidak diingini. Selain itu, 12% responden mendapati telah diintip melalui alat perakam suara, kamera atau GPS lebih dari satu kali. 32% responden telah diintip atau diekori daripada jauh dan 33% mendapati individu yang tidak diingini muncul di kawasan rumah, tempat kerja atau tempat pengajian.

 

Perbuatan menghendap

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menghendap adalah perbuatan menyembunyikan diri supaya tidak kelihatan dengan tujuan untuk mengintai seseorang. 

Walaupun kempen untuk menjenayahkan perbuatan menghendap di Malaysia telah bermula seawal tahun 2013, sememangnya ia tidak menjadi satu kesalahan sebelum ini. Walaupun seseorang individu diekori hingga ke rumah dan tempat kerja, ia bukanlah satu jenayah

Perkara itu hanya menjadi kesalahan jika individu yang menghendap itu mencederakan atau mengugut akan mencederakan mangsa. Oleh itu, tiada tindakan yang akan diambil terhadap ‘penghendap’ walaupun laporan polis dilakukan. Sebaliknya di UK, menghendap merupakan satu jenayah sejak tahun 2012 dan merangkumi perbuatan seperti mengintip, mengekori, menghubungi melalui sebarang cara, mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan seseorang serta melepak di mana-mana tempat. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan penjara tidak lebih 51 minggu atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Sebagai tambahan, Amerika Syarikat telah menjenayahkan perbuatan menghendap sejak tahun 1996 di bawah Violence Against Women Act (VAWA). Malah, menjadi satu kesalahan persekutuan jika merentas negeri dengan tujuan untuk menghendap seseorang jika ia menyebabkan ketakutan atau kecederaan terhadap mangsa.

 

Pindaan bagi menjenayahkan perbuatan menghendap

Bagi memasukkan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah, pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574) telah dibentang di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 4 Ogos 2022. Ketika itu, Rang Undang-Undang Kanun (RUU) Keseksaan (Pindaan) 2022 bertujuan untuk memasukkan Seksyen 507A ke dalam Kanun Keseksaan bagi peruntukan kesalahan menghendap.

Di bawah RUU tersebut, kesalahan menghendap bukan sahaja merangkumi perbuatan secara fizikal, tetapi juga secara dalam talian. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin, walaupun perbuatan menghendap secara dalam talian tidak melibatkan sentuhan atau mendatangkan kecederaan, ia tetap boleh memberi kesan terhadap mental dan emosi mangsa.

Mas Ermieyati merasakan RUU ‘anti menghendap’ ini penting kerana ia dapat melindungi mangsa secara menyeluruh. Hal ini adalah kerana apabila menjadi mangsa penghendap, mangsa terpaksa mengorbankan banyak perkara seperti pekerjaan dan aktiviti sosial untuk bersembunyi daripada suspek. Mereka bukan hanya tertakluk kepada kecederaan yang disebabkan oleh suspek semata-mata.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, penjejakan oleh suspek ke atas mangsa juga merupakan sebahagian daripada kesalahan menghendap. Ia bermaksud menjejaki mangsa secara bukan fizikal menggunakan mana-mana peranti seperti kamera tersembunyi atau penjejak GPS.

 

Pada masa yang sama, pindaan juga dibuat ke atas Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) untuk membenarkan mahkamah mengeluarkan perintah perlindungan bagi mangsa terhadap suspek yang sedang disiasat. Di bawah Seksyen 98A, suspek yang dikenakan arahan ini tidak boleh mendekati mangsa atau individu lain yang berkaitan dengan mangsa.

Undang-undang ini akan melindungi mangsa daripada penghendap, tidak kira jika suspek merupakan orang asing atau yang dikenali mangsa seperti bekas pasangan atau saudara-mara. Individu yang melanggar arahan tersebut boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Mahkamah diberikan kuasa untuk menetapkan jarak di bawah perintah perlindungan tersebut. 

 

Undang-undang anti-menghendap

Pada 31 Mei 2023, Jabatan Peguam Negara telah mengesahkan bahawa kedua-dua peruntukan anti-menghendap (Seksyen 507A Akta 574) dan perintah perlindungan (Seksyen 98A Akta 593) telah berkuatkuasa. Maka, mangsa boleh melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk mendapatkan bantuan dan memohon perintah perlindungan daripada mahkamah.

Berdasarkan Seksyen 507A, menghendap adalah kelakuan berulang kali dengan apa-apa tindakan gangguan yang berniat untuk menyebabkan, atau mengetahui atau sepatutnya mengetahui bahawa perbuatan itu berkemungkinan menyebabkan, merisaukan, menakutkan atau membahayakan mangsa. Individu yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

 

Malaysia kini telah menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah

Perbuatan menghendap telah secara rasminya menjadi satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Di samping itu, individu turut boleh mendapatkan perintah perlindungan terhadap suspek walaupun ketika siasatan masih dijalankan.

WAO mengusulkan supaya kerajaan melakukan kempen tentang undang-undang anti-menghendap supaya orang ramai memahami hak mereka, terutamanya yang menjadi mangsa hendap. Garis panduan dan SOP yang berkaitan juga perlu dikemas kini untuk menggambarkan menghendap sebagai satu jenayah.


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/viral/2023/07/14/jurugambar-wanita-diganggu-oleh-stalker-sama-sejak-8-tahun-lalu-gesa-pihak-polis-segera-ambil-tindakan/
2. https://wao.org.my/new-research-supports-calls-to-make-stalking-a-crime/
3. https://asklegal.my/p/is-it-legal-stalking-criminal-law-wao-malaysia
4. https://www.legislation.gov.uk/ukpga/1997/40/section/2A
5. https://www.justice.gov/usao-ndga/victim-witness-assistance/interstate-stalking
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/menghendap-secara-maya-berulang-kali-juga-satu-jenayah-dalam-pindaan-akta-574-376397
7. https://www.thestar.com.my/lifestyle/family/2023/04/05/stalkers-beware
8. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/08/05/making-stalking-a-crime-moves-forward-to-becoming-law
9. https://wao.org.my/undang-undang-anti-menghendap-kini-beroperasi/
10. https://www.bheuu.gov.my/pdf/RUUPerlembagaan/RUU%20-%20Kanun%20Keseksaan.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago