Mi segera telah dicipta oleh seorang ahli perniagaan Jepun bernama Momofuku Ando, yang turut memperkenalkan jenama mi cawan segera Nissin. Mi segera merupakan mi yang telah dimasak dan kemudiannya dikeringkan. Ia boleh dimasak semula dengan hanya menggunakan air panas. Di Malaysia, dianggarkan sebanyak 3.6 juta paket mi segera dimakan dalam masa sehari dan mencecah 1.34 bilion paket dalam masa setahun. Namun begitu, ramai yang percaya mi segera tidak elok untuk kesihatan.
Kandungan khasiat di dalam mi segera
Khasiat di dalam mi segera berlainan jenama adalah berbeza. Jadual di bawah menunjukkan perbezaan kandungan khasiat antara satu paket mi segera Maggi dan Shin Ramyun.
Khasiat |
Maggi (Saiz hidangan: 78g) |
Shin Ramyun (Saiz hidangan: 120g) |
Tenaga (kkal) |
333.0 |
500.0 |
Lemak (g) |
11.9 |
18.0 |
Protein (g) |
6.2 |
10.0 |
Karbohidrat (g) |
50.4 |
76.0 |
Gula (g) |
2.0 |
4.0 |
Sodium (mg) |
1457.0 |
1940.0 |
Dapat dilihat bahawa kandungan sodium di dalam kedua-dua jenama adalah amat tinggi. Dietary Guidelines for Americans mengehadkan pengambilan sodium bagi seorang dewasa pada 2,300 mg sehari, manakala kanak-kanak mempunyai had yang lebih rendah. Hal ini bermakna, seseorang mungkin akan mengambil antara 60% hingga 80% jumlah sodium yang diperlukan dalam sehari hanya dengan memakan satu paket mi segera. Pengambilan sodium dalam kuantiti yang tinggi boleh menyebabkan tekanan darah tinggi seterusnya meningkatkan risiko sakit jantung dan strok. Kita juga sedia maklum bahawa kebanyakan mi segera mempunyai kandungan MSG. Namun begitu, MSG telah dikenal pasti sebagai perasa makanan yang selamat untuk digunakan.
Kekurangan khasiat
Kedua-dua mi segera ini juga hanya mengandungi sedikit protein dan tidak mengandungi khasiat penting lain seperti serat dan vitamin. Protein bukan sahaja penting untuk menimbulkan rasa kenyang, tetapi juga penting untuk membaiki dan menghasilkan tisu serta sel-sel baru. Serat pula penting untuk perut yang sihat, penghadaman dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti diabetes dan sakit jantung. Walaupun jumlah kalori tidak begitu tinggi, tetapi dengan ketiadaan protein dan serat, berat badan seseorang boleh meningkat akibat memakan mi segera.
Kajian di Korea membandingkan khasiat yang diterima oleh pemakan mi segera dengan bukan pemakan mi segera. Pemakan mi segera menunjukkan pengambilan protein, kalsium, vitamin C dan pelbagai khasiat lain yang sangat rendah berbanding bukan pemakan. Mereka juga memakan makanan berkhasiat seperti sayuran, buahan, daging dan ikan dalam kuantiti yang lebih rendah.
Mi segera yang diperkaya dengan khasiat
Namun begitu, terdapat juga beberapa jenama mi segera yang diperkaya dengan vitamin dan mineral penting seperti jenama Vit’s dan Ruski. Sebuah kajian ke atas kanak-kanak Indonesia berusia 6 hingga 59 bulan mendapati bahawa memakan mi yang telah diperkaya dengan zat besi boleh mengurangkan risiko penyakit anemia.
Mi segera juga boleh diperbuat menggunakan tepung gandum yang diperkaya dengan khasiat tanpa mengubah rasa dan tekstur mi. Kajian membuktikan bahawa perkara ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pengambilan mikronutrien. Pengkaji merasakan penghasilan mi segera diperkaya boleh membantu pengambilan khasiat pemakan mi segera, terutamanya di Asia. Perkara ini disokong oleh sebuah kajian lain yang mendapati pengambilan khasiat tiamin dan riboflavin (vitamin B2) adalah lebih tinggi dalam kalangan pemakan mi segera diperkaya.
Mi segera tidak elok dimakan
Berdasarkan kandungan khasiat di dalam mi segera, cenderung untuk mengatakan bahawa mi segera secara umumnya tidak elok untuk kesihatan kita. Harvard School of Public Health (HSPH) mengkaji tabiat pemakanan 10, 711 orang dewasa Korea Selatan dan merumuskan bahawa wanita yang memakan mi segera sekurang-kurangnya dua kali seminggu menunjukkan 68% peningkatan risiko gejala metabolik. Professor pemakanan di HSPH, Frank Hu, berkata tidak ada masalah memakan mi segera satu atau dua kali sebulan, tetapi bukan berkali-kali dalam masa seminggu. Tambahan lagi, lebih elok jika kita memilih mi segera diperkaya dengan khasiat yang banyak terdapat di pasaran.