Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Tubuh Badan Manusia?

Benar
Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Tubuh Badan Manusia?

Mikroplastik telah ditemui di dalam sumber makanan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/07/2022 - Disunting : 20/07/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Mikroplastik Boleh Memasuki Tubuh Badan Manusia?

Sebuah kajian oleh Vrije Universiteit Amsterdam baru-baru ini mendapati hampir 80% daging dan produk tenusu yang dikaji mengandungi mikroplastik. Perkara ini mungkin disebabkan oleh penggunaan makanan haiwan yang turut mengandungi plastik. Ahli toksikologi persekitaran, Dr Heather Leslie berkata haiwan boleh menyerap partikel plastik yang terdapat di habitatnya. Penemuan ini menghasilkan persoalan sama ada mikroplastik daripada produk haiwan boleh memasuki tubuh badan manusia apabila dimakan.

Mikroplastik merupakan bahan plastik yang sangat halus dan berukuran antara 0.1 hingga 5000 mikrometer (µm). Nanoplastik pula merujuk kepada bahan plastik halus yang lebih kecil dengan ukuran antara 0.001 hingga 0.1 µm. Mikro plastik boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu mikroplastik primer dan mikroplastik sekunder, berdasarkan sumbernya. 

Sumber: European Food Information Council (EUFIC)

 

Pencemaran mikroplastik

Dunia sedang mengalami beban sampah plastik yang banyak. Lama-kelamaan plastik ini akan terurai menjadi partikel-partikel halus yang memasuki sumber air, seterusnya mencemarkan sumber makanan dan minuman. Dr Johnson Arbor, seorang ahli toksikologi perubatan, menegaskan bahawa partikel plastik boleh memasuki badan seseorang melalui makanan, minuman dan udara yang mengandungi mikroplastik

Kredit gambar: Naja Bertolt Jense/ Unsplash

Sebuah kajian di Amerika Syarikat mendapati sebanyak 74,000 hingga 121,000 partikel mikroplastik memasuki tubuh badan seseorang setiap tahun melalui pemakanan, peminuman dan pernafasan. Kajian lain pula menunjukkan bahawa seseorang lebih berisiko tertelan partikel plastik yang terkandung dalam habuk atau debu di rumah berbanding daripada makan kupang yang mengandungi mikroplastik.

Sumber pengambilan air juga memainkan peranan dalam kemasukan mikroplastik ke dalam badan. Sebagai contoh, individu yang minum air dari paip hanya menerima tambahan 4,000 partikel plastik setahun, berbanding mereka yang minum dari minuman botol yang boleh menyebabkan pencemaran tambahan sebanyak 90,000 partikel. Menurut Albert Koelmans, seorang saintis alam sekitar, dalam kes yang paling teruk, seseorang mungkin boleh tertelan mikroplastik dengan jumlah berat sebuah kad kredit dalam masa setahun.

 

Mikroplastik boleh memasuki tubuh badan manusia

Mikroplastik boleh memasuki tubuh badan manusia bukan sahaja melalui makanan, tetapi udara yang tercemar dengan partikel plastik. Profesor Emeritus Toksikologi Persekitaran Dick Vethaak, mendapati kewujudan mikroplastik di dalam 17 sampel darah daripada 22 orang penderma darah yang sihat. Mikroplastik juga ditemui di dalam paru-paru kepada 11 daripada 13 orang pesakit.

Kajian ke atas sel yang terdedah dan haiwan ujikaji mendapati bahawa mikroplastik dengan saiz kurang daripada 20 µm boleh menembusi organ, manakala mikroplastik kurang daripada 10 µm boleh menembusi membran sel dan uri. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang dijalankan masih belum dapat membuktikan kesan buruk mikroplastik dalam badan terhadap manusia. Seorang ahli toksikologi persekitaran, Leah Bendell, percaya bahawa mikroplastik mempunyai “personaliti yang pelbagai” oleh kerana bentuknya dan bahannya yang berbeza. Sesetengah mikroplastik mungkin diperbuat daripada bahan kimia berbahaya, manakala yang lain boleh menjadi perumah untuk bakteria dan parasit.

 


Rujukan:

1. https://www.plasticsoupfoundation.org/en/2022/07/80-of-cow-and-pig-meat-blood-and-milk-contains-plastic/
2. https://www.eufic.org/en/food-safety/article/microplastics-in-food-and-water-are-they-harmful-to-human-health
3. https://www.washingtonpost.com/health/youre-literally-eating-microplastics-how-you-can-cut-down-exposure-to-them/2019/10/04/22ebdfb6-e17a-11e9-8dc8-498eabc129a0_story.html
4. https://www.self.com/story/microplastics-in-humans-health
5. https://www.nationalgeographic.com/environment/article/you-eat-thousands-of-bits-of-plastic-every-year
6. https://pubs.acs.org/doi/10.1021/acs.est.0c07384
7. https://www.nationalgeographic.com/environment/article/microplastics-are-in-our-bodies-how-much-do-they-harm-us
8. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fendo.2021.724989/full
9. https://www.nationalgeographic.com/environment/article/you-eat-thousands-of-bits-of-plastic-every-year

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago