Twitter Jabatan Netizen Malaysia telah berkongsi gambar yang menunjukkan minuman Bundaberg dilabel sebagai ‘tidak halal’ di sebuah pasaraya. Mari kita semak jika Bundaberg sememangnya tidak halal atau sebaliknya.
Ahhh sudahhh….
Mohon penjelasan daripada pihak @MyJAKIM & @HalalMalaysia
Via Adlilatun Nur A. Sani ohh okay pic.twitter.com/zHvmNsQfhR
— Jabatan Netizen Malaysia (@jnmalaysia) March 6, 2023
Bundaberg
Minuman Bundaberg adalah produk Australia yang dibuat dengan cara membru halia, buah-buahan atau rempah sehingga tujuh hari. Menurut laman web Bundaberg sendiri, minuman tersebut tidak mendapat sijil Halal atau Kosher kerana tidak menerima permintaan yang banyak. Namun begitu, Bundaberg bukanlah minuman beralkohol.
Memandangkan kesemua minuman Bundaberg dibru secara semula jadi, terdapat sedikit kandungan alkohol yang terhasil daripada proses tersebut. Minuman Bundaberg dibru menggunakan yis yang akan menyebabkan proses fermentasi/ penapaian berlaku. Proses ini kemudiannya menghasilkan alkohol sebagai produk sampingannya.
Menurut Bundaberg, campuran minuman tersebut akan dipanaskan sehingga lebih 70℃ untuk membunuh yis, menghentikan proses penapaian dan sekaligus menyingkirkan kandungan alkohol. Akhirnya, hanya kurang dari 0.2% hingga 0.5% sisa alkohol yang terkandung di dalam minuman tersebut. Minuman dengan kandungan alkohol kurang dari 0.5% boleh dilabel sebagai minuman tidak beralkohol mengikut klasifikasi Australia.
Kesemua jenis minuman Bundaberg, termasuk Ginger Beer dan Root Beer, adalah dilabel minuman tidak beralkohol. Bundaberg juga menegaskan mereka tidak menghasilkan sebarang produk minuman beralkohol.
Alkohol
Walaupun arak adalah sejenis minuman beralkohol, minuman yang mengandungi alkohol tidak semestinya arak. Alkohol bukan illah (punca) kepada pengharaman arak, tetapi sifat memabukkan arak yang menjadikan ia minuman haram. Alkohol adalah sejenis kompaun organik yang mengandungi kumpulan hidroksil dan atom karbon. Ia merangkumi pelbagai jenis seperti metanol, etanol dan propanol.
Alkohol yang terkandung di dalam arak adalah jenis etanol yang terhasil daripada proses penapaian gula dari bijirin atau buah-buahan dam boleh menyebabkan mabuk. Etanol bukan sahaja boleh ditemui di dalam arak, tetapi juga di dalam makanan dan minuman lain yang melalui proses penapaian seperti tapai, kicap dan tempoyak.
Hukum minuman mengandungi alkohol
Berdasarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, alkohol yang terhasil daripada pembuatan arak sememangnya diharamkan. Namun begitu, alkohol yang terhasil dalam proses pembuatan minuman ringan bukan arak dan kandungan alkohol di bawah 1% v/v (volume/volume) adalah diharuskan. Minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara sama untuk membuat arak tidak boleh diminum walaupun mengandungi kandungan alkohol rendah.
Selain itu, makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi, atau alkohol yang terkandung adalah produk sampingan semasa proses pembuatan, adalah dihalalkan. Penggunaan bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan dibolehkan dengan syarat alkohol tersebut bukan terhasil daripada proses pembuatan arak, tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
Bundaberg halal diminum
Walaupun Bundaberg mengandungi sedikit alkohol, ia bukanlah sejenis arak dan tidak dihasilkan melalui proses pembuatan arak. Alkohol yang wujud hanya produk sampingan akibat proses penapaian dan kadarnya adalah sekitar 0.2% hingga 0.5% sahaja. Berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, jelas bahawa minuman yang dihasilkan bukan dengan niat atau proses membuat alkohol, mengandungi kurang dari 0.5% alkohol diharuskan untuk diminum.
Laman web Ask Imam turut menerima persoalan jika minuman Bundaberg, khususnya perasa Ginger Beer, boleh diminum. Menurutnya, proses membuat minuman itu adalah sama seperti minuman ringan lain dan kandungan alkohol yang rendah serta bukan dari anggur atau kurma membolehkan ia diminum.
Malah, syarikat Bundaberg hanya menghasilkan minuman ringan dan tidak menghasilkan sebarang produk minuman beralkohol lain. Hal ini berbeza dengan syarikat Guinness dan Heineken yang menghasilkan minuman dengan 0% kandungan alkohol tetapi diharamkan atas dasar kedua-duanya adalah syarikat arak.
Contoh minuman lain yang mengandungi alkohol tetapi dihalalkan untuk diminum adalah kombucha. Menurut ChaCha, sebuah syarikat yang menghasilkan kombucha di Malaysia, kombucha adalah sejenis minuman yang ditapai dan mengandungi sehingga 0.5% alkohol. ChaCha telah diisytiharkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).