Adakah NGO Boleh Mengambil Sebahagian Daripada Hasil Sumbangan Sebagai Caj Pengurusan?

Benar
Adakah NGO Boleh Mengambil Sebahagian Daripada Hasil Sumbangan Sebagai Caj Pengurusan?

Kebanyakan NGO ditubuhkan atas dasar kebajikan dan mengutip sumbangan daripada orang awam untuk membantu golongan berkaitan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 27/11/2023 - Disunting : 27/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah NGO Boleh Mengambil Sebahagian Daripada Hasil Sumbangan Sebagai Caj Pengurusan?

Pada 23 November 2023, persatuan bukan kerajaan (NGO) Aman Palestin telah berdepan dengan tindakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyalahgunaan sumbangan orang awam. Dianggarkan sejumlah RM70 juta dana hasil sumbangan orang ramai disalahgunakan untuk tujuan selain daripada objektif penubuhannya. 

Sebelum itu, Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, yang berasa ragu dengan pengumpulan dan pengagihan dana oleh NGO tersebut, meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) supaya tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin di premis agama Islam di Perlis.

Pada masa yang sama, terdapat juga banyak NGO lain yang turut menerima sumbangan daripada orang awam. Terdapat dakwaan bahawa sebahagian daripada jumlah sumbangan akan diambil oleh NGO atau syarikat tersebut sebagai caj pengurusan. Persoalannya, adakah perkara ini dibenarkan berdasarkan undang-undang?

 

Sedekah dan hukumnya

Bagi seorang Islam, sumbangan sering kali dilakukan atas dasar sedekah. Sedekah dari segi syarak bermakna “pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T”. Sedekah boleh diberikan kepada golongan fakir miskin, keluarga sendiri, ataupun demi jihad fi sabilillah.

Kepentingan sedekah telah disebut di dalam al-Quran dah hadis. Ia merupakan salah satu cara untuk menyucikan harta seseorang. 

خُذْ مِنْ اَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيْهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْۗ اِنَّ صَلٰوتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْۗ وَاللّٰهُ سَمِيْعٌ عَلِيْمٌ

Ambillah sebahagian  dari harta mereka guna sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya, Engkau membersihkan dan menyucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menumbuhkan) ketenteraman jiwa bagi mereka. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui

Surah At-Taubah: 103

Malah, individu yang bersedekah dijanjikan akan diberi ganjaran yang lebih oleh Allah S.W.T. Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: 

“Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.”

Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad

Hukum bersedekah adalah sunat tidak kira berapa jumlahnya sekalipun. Di samping itu, sedekah perlu dilakukan dengan harta yang baik atau halal, bukan daripada perkara yang haram, sebagai simbol mensyukuri nikmat yang diturunkan oleh Allah S.W.T.

 

Pertubuhan NGO di Malaysia

Datuk Dr Norma Mansor, Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya, berkata NGO dikenali sebagai sektor ketiga yang membantu dalam menyelesaikan masalah negara dan menangani pelbagai keperluan sosial seperti isu kemiskinan. Mungkin ramai individu memilih untuk melakukan sumbangan melalui NGO kerana memudahkan pengagihan kepada pihak yang memerlukannya. 

Aktivis William Cheah dari Kembara Kitchen berkata trend penubuhan NGO mulai meningkat terutamanya setelah peristiwa banjir besar di Pantai Timur pada tahun 2014. Kejadian banjir besar mengejut di Selangor pada Disember 2020 turut menyumbang kepada penambahan NGO secara mendadak.

Setakat artikel ini ditulis, terdapat sejumlah 82,721 pertubuhan aktif yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Daripada jumlah ini, majoriti NGO (35.3%) ditubuhkan di bawah kategori kebajikan. Kemungkinan kategori ini merupakan pilihan NGO yang ingin memohon sumbangan daripada orang ramai atas dasar kebajikan.

Sumber: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia

Satu kajian kualitatif telah dijalankan oleh penyelidik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke atas enam NGO di Malaysia. Kajian mendapati daripada keenam-enam persatuan tersebut, hanya satu NGO yang tidak mengambil sebarang komisyen daripada sumbangan awam. Lima NGO lain mengambil kadar komisyen menurut gaji amil, keputusan pihak atasan, panduan dari mufti, institusi zakat dan NGO lain, serta berdasarkan kos projek dan pengurusan. 

 

Mengambil peratus sebagai caj pengurusan

Banyak pihak mendakwa bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan pertubuhan untuk mengambil 30% daripada hasil sumbangan sebagai caj pengurusan. Namun begitu, kenyataan ini telah disangkal oleh pihak BNM sendiri. Menurutnya, NGO bukan di bawah bidang kuasa pengawalseliaan BNM dan tiada peraturan sedemikian.

Merujuk kepada artikel oleh MalaysiaNow, polisi JPPM membenarkan mana-mana NGO yang berdaftar untuk mengutip dana dan mengambil sehingga 30% daripada jumlah kutipan. Pengasas SCRUT, Aliff Ahmad A S Ahmad Shariffuddin merasakan bahawa perkara itu memudahkan NGO untuk mengaut keuntungan. Malah, terdapat individu atau pengasas NGO yang sanggup berhenti kerja untuk mengurus NGO secara sepenuh masa.

JPPM telah menyediakan Kod Tadbir Urus Baik Pertubuhan (COGG) bagi rujukan kesemua NGO yang berdaftar di bawahnya. Ia menyatakan bahawa perbelanjaan pentadbiran tidak boleh melebihi 30% daripada belanjawan tahunan. Dalam masa yang sama, persatuan tidak boleh membuat simpanan berlebihan untuk mengurangkan risiko penyalahgunaan.

Tambahan lagi, berdasarkan Ikrar Integriti Pertubuhan, persatuan berdaftar sepatutnya tidak membenarkan sesiapa untuk menggunakan pertubuhan tersebut demi kepentingan peribadi mereka. 

 

Sumbangan tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya

Berkenaan dengan kes seperti Aman Palestin, pasti ada yang tertanya-tanya jika sumbangan mereka yang tidak sampai ke pihak yang sepatutnya masih diterima sebagai ibadah. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, individu masih mendapat pahala bersedekah walaupun ia diambil oleh pihak yang salah dan tidak sampai kepada golongan sasaran.

Namun begitu, turut diingatkan supaya orang ramai menyelidik terlebih dahulu tentang sesebuah NGO untuk memastikan sumbangan adalah bagi golongan sasaran tertentu. Jika diketahui bahawa sumbangan digunakan untuk tujuan yang salah, derma tidak seharusnya diberikan kepada NGO berkenaan. 

 

Tiada undang-undang yang melarang NGO untuk mengambil sebahagian daripada jumlah sumbangan awam

Carian kami tidak menemui sebarang undang-undang yang melarang persatuan untuk mengambil sebahagian daripada jumlah sumbangan yang diterima daripada orang ramai. Berdasarkan COGG, NGO tidak seharusnya mempunyai perbelanjaan pentadbiran melebihi 30% daripada belanjawan tahunan. Namun perkara ini bukanlah undang-undang, sebaliknya hanya kod tadbir urus baik.

Aliff Ahmad mencadangkan supaya pihak JPPM meletakkan syarat tegas bagi NGO yang ingin membuat kutipan dana awam. NGO juga sepatutnya diminta untuk menerbitkan laporan audit, serta dokumen pengurusan akaun (MA), penyata bank dan laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), secara terbuka untuk rujukan orang ramai.  


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/utama/2023/11/1033205/aman-palestin-disyaki-seleweng-dana-awam-rm70-juta-41-akaun-dibekukan-sprm
2. http://kelantan.jksm.gov.my/jksn/index.php/component/content/article/21-joomla/components/213-sedekah?Itemid=951
3. https://zawaf.uitm.edu.my/index.php/sedekah
4. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2014/11/15982/ngo-penuhi-keperluan-sosial-rakyat
5. https://www.malaysianow.com/my/news/2022/04/10/lambakan-ngo-kebajikan-atau-buat-untung
6. https://www.ros.gov.my/www/portal-main/statistics-details?id=statistik-pertubuhan-aktif
7. https://abqarijournal.usim.edu.my/index.php/abqari/article/view/312
8. https://www.ros.gov.my/www/assets/Kod-Tadbir-Urus-Baik-Pertubuhan.pdf
9. https://www.hmetro.com.my/utama/2021/04/693245/rebut-peluang-kaut-30
10. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4953-al-kafi-1821-adakah-pahala-derma-diterima-jika-tidak-sampai-kepada-penerima-yang-diniatkan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago