Seorang pempengaruh, Shabina, membuat peringatan supaya orang dewasa memakan ubat cacing setiap enam bulan sekali. Menurutnya, ia adalah lebih penting bagi individu yang sering memakan makanan mentah seperti sushi.Â
This is reminder untuk korang ambil ubat cacing setiap 6 bulan sekali. Makan sekali gus dua biji untuk dewasa.
Especially yang suka makan raw food. Salmon sushi semua tu. Wajib makan.
Kesan dari tak makan, nanti area dubur gatal2 lepastu ada cacing dlm najis🦠pic.twitter.com/VBZPhrjC7l
— Shabina (@ketengahketepi) February 27, 2023
Umum sedia maklum bahawa kanak-kanak wajib diberikan ubat cacing secara berkala. Persoalannya, benarkah orang dewasa juga perlu makan ubat cacing?
Serangan cacing
Ubat cacing berfungsi dalam melawan serangan cacing parasit di dalam tubuh badan. Terdapat pelbagai jenis cacing parasit yang boleh menjangkiti manusia dan mengambil nutrisi dari dalam badan seseorang, seperti cacing pita, cacing trematod dan cacing nematod.
Seseorang boleh terkena serangan cacing jika tidak mencuci tangan sebelum makan atau mengambil makanan yang telah dicemari dengan telur cacing. Antara tanda-tanda serangan cacing adalah kurang selera makan, anemia, cirit-birit dan masalah neurologi. Serangan cacing lebih berbahaya terhadap kanak-kanak memandangkan sistem imuniti mereka belum berkembang dengan secukupnya dan boleh membawa kepada kegagalan organ.Â
Selain itu, wanita mengandung yang dijangkiti cacing boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan kurang berat badan, lahir pramatang atau mati dalam kandungan. Orang tua dan individu dengan sistem imuniti lemah juga boleh mengalami komplikasi akibat serangan cacing.
Menurut Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi di Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Zeehaida Mohamed, individu yang mengalami masalah kesihatan tertentu seperti kencing manis dan kanser akan sentiasa mengalami jangkitan cacing.
Ubat cacing
Serangan cacing boleh dirawat dengan pengambilan ubat cacing. Terdapat pelbagai jenis ubat cacing mengikut jenis cacing yang menyerang tubuh badan. Albendazole dan Mebendazole adalah jenis ubat cacing paling biasa diambil yang bertindak dengan menghalang serapan gula oleh cacing sekaligus mengurangkan sumber makanannya.
Pensyarah Kanan, Makmal Parasitologi di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Mahiza Md Isa, berkata ubat-ubatan tersebut membunuh cacing dengan cara berbeza. Ada ubat cacing yang akan menyebabkan cacing keluar melalui najis, tetapi ada juga ubat yang akan menghancurkan cacing melalui proses pencernaan. Menurutnya, orang dewasa perlu mengambil ubat cacing sekiranya dijangkiti.
Seperti kanak-kanak, orang dewasa turut disarankan supaya mengambil ubat cacing setiap enam bulan sekali. Walau bagaimanapun, jika terkena jangkitan cacing, individu perlu makan ubat dengan lebih kerap.Â
Kesan tidak mengambil ubat cacing
Sekiranya individu tidak mengambil ubat cacing secara berkala dan tidak sedar bahawa dia telah dijangkiti cacing, pelbagai komplikasi akan timbul. Cacing bukan sahaja berada di dalam usus, tetapi boleh ditemui di organ-organ lain seperti hati, paru-paru, malah otak. Faezatul Atiqah berkongsi bahawa dia pernah dijangkiti cacing yang telah memasuki matanya dan boleh menyebabkan buta jika tidak dirawat.Â
Di samping itu, seseorang individu yang dijangkiti cacing boleh menyebarkan jangkitan kepada individu lain melalui sentuhan atau suapan makanan. Jangkitan cacing juga boleh meningkatkan risiko penyakit lain dan menurunkan produktiviti serta kualiti hidup.Â
Orang dewasa masih perlu mengambil ubat cacing secara berkala
Hanya kanak-kanak yang perlu mengambil ubat cacing adalah mitos semata-mata. Hakikatnya, setiap individu perlu mengambil ubat cacing secara berkala. Jika terdapat gejala jangkitan cacing, pesakit akan diberikan ubat yang perlu dimakan dengan lebih kerap.Â
Pada masa yang sama, penting juga untuk mengelak daripada terkena serangan cacing. Tangan harus dibasuh sebelum makan dan buah-buahan serta sayur-sayuran perlu dibersihkan. Bagi individu yang mempunyai haiwan peliharaan, penting untuk memberi mereka ubat cacing kerana jangkitan cacing juga boleh didapati melalui haiwan peliharaan.Â