Adakah Pasang Aircond Pada Suhu 24℃ Jimatkan Elektrik?

Benar
Adakah Pasang Aircond Pada Suhu 24℃ Jimatkan Elektrik?

Fungsi penyaman udara adalah untuk menurunkan suhu di dalam sesebuah ruang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/03/2023 - Disunting : 16/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pasang Aircond Pada Suhu 24℃ Jimatkan Elektrik?

Pengguna Twitter Jalal Misai berkongsi bahawa seorang pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memaklumkan bahawa penggunaan elektrik bagi penyaman udara boleh dijimatkan dengan kaedah tertentu. Individu tersebut menyarankan supaya memasang penyaman udara pada suhu 16℃ dahulu selama 45 minit, sebelum mengubah kepada 24℃.

 

Komponen penyaman udara 

Penyaman udara mempunyai tiga komponen utama iaitu pemampat (compressor), kondenser dan penyejat (evaporator). Sesetengah penyaman udara juga mempunyai termostat yang mengawal suhu penyaman udara dan menutupnya setelah ruang mencapai suhu yang diingini. Termostat akan mengaktifkan semula penyaman udara apabila suhu menjadi panas kembali.

Malah, ada penyaman udara yang mempunyai teknologi pembalik (inverter) untuk mengurangkan bil elektrik, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan bunyi pendingin hawa itu sendiri. Penyaman udara dengan fungsi pengering udara pula mampu mengekalkan tahap kelembapan yang selesa dan mengelakkan pertumbuhan kulapuk. 

 

Bagaimana penyaman udara berfungsi

Secara ringkasnya, penyaman udara berfungsi dengan mengeluarkan udara panas dari suatu ruang ke luar dan melepaskan udara sejuk ke dalamnya. Udara panas atau haba akan disedut masuk ke dalam paip-paip penyejat sejuk di dalam sistem penyaman udara. Ia kemudiannya disejukkan dan dinyahkan segala kelembapan daripadanya. 

Udara panas itu akan menukarkan suatu cecair sejuk (coolant) menjadi gas panas yang akan dipam keluar dari unit penyaman udara. Pada masa yang sama, penyejuk akan melalui condenser yang akan mengubah gas panas menjadi bentuk cecair. Udara sejuk kemudiannya dihantar ke ruang dan bercampur dengan udara di dalam ruang itu, sekaligus menurunkan suhu dan kelembapan. 

 

Suhu terbaik untuk penyaman udara

Menurut TNB, penggunaan penyaman udara pada suhu yang rendah akan meningkatkan jumlah penggunaan tenaga, sekaligus meningkatkan bil elektrik. Suhu penyaman udara terbaik untuk cuaca Malaysia cukup sekadar antara 24℃ hingga 26℃. Suhu 24℃ disarankan kerana ia tidak terlalu sejuk mahupun terlalu panas untuk tubuh badan. Keselesaan badan adalah penting untuk mendapat tidur yang nyenyak. 

Berdasarkan Jabatan Tenaga di Amerika Syarikat, 78°F iaitu sekitar 25.5℃ adalah suhu yang optimum untuk memastikan kedua-dua penjimatan tenaga dan keselesaan bagi tubuh badan. Namun begitu, jika suhu tersebut tidak cukup sejuk, Carrier mencadangkan supaya suhu diturunkan sebanyak 1℃ atau 2℃ sehingga mencapai suhu diingini.  

Di India, Kementerian Tenaga telah meminta kilang penyaman udara untuk menetapkan suhu lalai atau default temperature pada tahap 24℃ untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap. RK Singh, menteri kesatuan ketika itu berkata penggunaan elektrik dapat dijimatkan sebanyak 36% jika penyaman udara ditetapkan pada suhu 24℃ berbanding 18℃. 

Dr Atul Kumar, professor di Jabatan Tenaga dan Alam Sekitar TERI School of Advanced Studies, New Delhi, berkata suhu penyaman udara yang terbaik adalah mengikut cuaca semasa. Pada musim panas, disarankan supaya penyaman udara menggunakan suhu 28℃. Sebaliknya, penyaman boleh ditetapkan pada suhu 23℃ pada musim sejuk/ salji. 

 

Pemasangan penyaman udara pada suhu lebih tinggi akan menjimatkan elektrik

Ternyata bahawa penggunaan tenaga dapat dijimatkan jika menetapkan penyaman udara pada suhu yang tinggi. Suhu 24℃ atau ke atas adalah suhu penyaman udara yang paling sesuai dan dicadangkan oleh bukan sahaja TNB, tetapi juga Jabatan Tenaga Amerika Syarikat dan Kementerian Tenaga India. 

Menurut Daikin Australia, menaikkan suhu penyaman udara sebanyak 1℃ boleh menjimatkan 10% penggunaan tenaga. Di samping itu, suhu penyaman udara antara 23℃ hingga 26℃ adalah julat suhu yang paling sihat untuk tubuh badan. 

Selain daripada penetapan suhu yang bersesuaian untuk penjimatan tenaga, penapis penyaman udara juga perlu dibersihkan setiap satu minggu. Penyaman udara tidak seharusnya ditutup dan dipasang semula dengan kerap kerana ia akan menggunakan tenaga yang lebih tinggi. 


Rujukan:

1. https://productnation.co/my/27652/best-air-conditioner-temperature-malaysia/
2. https://www.boxt.co.uk/air-conditioning/guides/how-air-conditioning-works
3. https://www.facebook.com/InfoLaluLintasSabah/posts/suhu-yang-terbaik-untuk-penghawa-dingin-aircond-adalah-di-antara-24-26cmenurut-t/3074732759462404/?locale=ms_MY
4. https://www.carrier.com/residential/en/us/products/air-conditioners/best-temperature-for-ac
5. https://www.daikin.com.my/tips/4-tips-to-save-electricity-air-conditioner/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago