Adakah Pekerja Asing Di Malaysia Perlu Membayar Cukai?

Benar
Adakah Pekerja Asing Di Malaysia Perlu Membayar Cukai?

Pekerja asing dilayan seolah-olah tidak layak menikmati subsidi dan kemudahan di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/01/2023 - Disunting : 11/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pekerja Asing Di Malaysia Perlu Membayar Cukai?

Menurut bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, sebanyak 45.2% daripada keseluruhan pengguna perkhidmatan bas percuma di Kuala Lumpur oleh GoKL City Bus adalah warga asing. Sehubungan dengan itu, Jalaluddin mencadangkan supaya bayaran dikenakan terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas percuma tersebut. 

Sebelum itu, dalam isu pengurangan subsidi, bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mendakwa bahawa pekerja asing menikmati subsidi ayam mentah yang diberikan kepada warganegara Malaysia. Persoalannya, adakah golongan warga asing tidak membayar cukai sehingga menyebabkan mereka dihalang daripada menikmati subsidi atau kemudahan yang disediakan di Malaysia?

 

Undang-undang cukai pendapatan terhadap warga asing di Malaysia

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), cukai pendapatan dikenakan ke atas gaji seseorang individu di negara tempat bekerja mereka. Oleh itu, warga asing yang bekerja di Malaysia dan memperolehi gaji daripada Malaysia boleh dikenakan cukai berdasarkan undang-undang cukai domestik Malaysia. 

Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) jelas menyatakan bahawa cukai pendapatan akan dikenakan setiap tahun terhadap pendapatan yang diterima oleh mana-mana individu di Malaysia. Oleh itu, ternyata bahawa pembayaran cukai pendapatan bukan hanya tertakluk kepada warganegara Malaysia, tetapi juga warga asing yang bekerja di Malaysia. Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Ranjeet Kaur berkata, cukai pendapatan tidak mengambil kira taraf kewarganegaraan dan status perniagaan yang dijalankan sama ada berlesen atau tanpa lesen. Seorang warga asing yang bekerja di Malaysia akan dikenakan cukai pendapatan sekiranya jumlah gaji melepasi tahap yang ditetapkan.

Di samping itu, kadar cukai untuk warganegara asing sebenarnya bergantung kepada taraf mastautin mereka di Malaysia. Individu bermastautin layak menuntut pelepasan diri dan dikenakan cukai pada kadar skala seperti dalam Jadual 1 ACP 1967, manakala individu bukan pemastautin tidak layak menuntut sebarang pelepasan cukai. Cukai pendapatan yang dikenakan terhadap individu bukan pemastautin tertakluk kepada Perenggan 1A, Bahagian 1, Jadual 1, ACP 1967. Setakat Mac 2021, individu bukan pemastautin perlu membayar cukai sebanyak 30% bagi setiap gaji yang layak dikenakan cukai. 

 

Warga asing yang bekerja di Malaysia perlu membayar cukai

Sama seperti rakyat Malaysia, warga asing yang bekerja di Malaysia turut dikenakan cukai pendapatan. Berdasarkan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 oleh Kementerian Kewangan, dianggarkan sebanyak RM1.7 bilion levi telah diterima daripada pekerja asing bagi tahun 2022. Pembayaran levi pekerja asing telah diwajibkan sejak 1 Januari 2018 lagi.

Wakil dari Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira, berkata pembayaran cukai oleh pekerja asing turut menyumbang kepada pemberian subsidi. Walau bagaimanapun, Ranjeet berkata terdapat juga pekerja asing yang tidak membayar cukai dan boleh menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara.


Rujukan:

1. https://www.sinarharian.com.my/article/216026/suara-sinar/lidah-pengarang/kenakan-caj-jika-warga-asing-naik-bas-percuma
2. https://www.malaysiakini.com/news/626984
3. https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/KU08_2011.pdf
4. https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Act_53_01032021_2.pdf
5. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/523990/boleh-dikena-cukai
6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/04/pekerja-asing-sumbang-berbilion-levi-dan-cukai-kata-aktivis/
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/12/365785/perlu-bayar-levi-pekerja-asing-mulai-1-januari

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago