Adakah Pengambilan Gula Berlebihan Mempunyai Hubung Kait Dengan Risiko Kanser?

Benar
Adakah Pengambilan Gula Berlebihan Mempunyai Hubung Kait Dengan Risiko Kanser?

Pengambilan gula secara berlebihan tidak elok untuk kesihatan dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit seperti diabetes dan masalah jantung

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/11/2023 - Disunting : 10/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pengambilan Gula Berlebihan Mempunyai Hubung Kait Dengan Risiko Kanser?

Pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Salah satu jenis makanan yang dikatakan tidak elok untuk kesihatan adalah gula. Terdapat pihak yang menyatakan bahawa pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kanser. Perkara ini dikatakan kerana sel kanser menggemari gula. Mari kita semak jika perkara ini benar.

 

Gula

Merupakan satu bahan yang penting untuk tubuh badan, terdapat pelbagai bentuk gula ringkas seperti glukosa dan fruktosa yang hanya mempunyai satu molekul. Molekul ini boleh bergabung dan membentuk rantaian panjang gula yang lebih kompleks yakni karbohidrat. Ia merupakan sumber tenaga utama bagi tubuh badan. 

Semakin panjang rantaian ini, gula akan kehilangan rasa manisnya. Rantaian gula juga dikenali sebagai polisakarida dan merupakan komponen utama makan berkanji seperti beras, roti dan kentang. Perkara ini bermakna, walaupun makanan tidak terasa manis, ia mungkin mengandungi gula kompleks. 

Tubuh badan kita memerlukan gula sebagai sumber tenaga. Gula kompleks akan dihadam menjadi gula ringkas untuk digunakan oleh sel-sel badan yang memerlukan tenaga untuk berfungsi. Melalui proses glikolisis, gula dihadam menjadi molekul adenosina trifosfat (ATP).

Apabila seorang ahli fisiologi Jerman mendapati sesetengah sel tumor mengambil lebih banyak glukosa berbanding sel sihat sekitar tahun 1920-an, orang ramai mulai mempercayai bahawa pengambilan gula boleh menguatkan sel kanser. 

Tinjauan di Amerika Syarikat dan Eropah mendapati bahawa lebih kurang satu pertiga pesakit kanser mengelak daripada mengambil gula. Namun begitu, kajian mendapati bahawa tidak mengambil gula sebenarnya tidak membantu badan untuk melawan sel kanser.

 

Hubung kait gula dan risiko kanser

Gula memberi tenaga kepada setiap sel di dalam tubuh badan kita, termasuk sel kanser. Secara langsung, gula bukanlah bahan karsinogenik yang boleh mengakibatkan kanser. Namun begitu, pengambilannya yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang mengalami obesiti, satu keadaan yang meningkatkan risiko kanser. Menurut Cancer Council, tiada bukti bahawa mengambil gula boleh menyebabkan kanser atau membesarkan sel kanser dengan lebih pantas. 

The National Health and Medical Research Council (NHMRC) telah menyatakan di dalam Australian Dietary Guidelines bahawa pengambilan sukrosa tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser. Bukti yang mencukupi menyimpulkan bahawa tiada hubung kait antara gula dan kanser pankreas, usus, payudara dan pundi kencing. Malah, tiada bukti wujudnya hubung kait secara langsung antara pengambilan gula dan peningkatan risiko sebarang jenis kanser.

 

Banyak kajian menemui hubungan tidak langsung antara pengambilan gula dan risiko kanser. Pengambilan gula secara berlebihan akan meningkatkan berat badan, seterusnya menjadi berat badan berlebihan atau obes yang memberi risiko 13 jenis kanser. Berat badan berlebihan dan obesiti merupakan punca kedua kanser selepas merokok, dan turut menyebabkan pelbagai penyakit lain.

Menurut pakar diet Erma Levy, gula penting untuk sel badan supaya organ dapat berfungsi dengan baik. Namun begitu, pengambilan gula yang berlebihan boleh menyebabkan kenaikan berat badan. Berat badan berlebihan dan kurang bersenam boleh meningkatkan risiko kanser.

Lewis Cantley, Pengarah Meyer Cancer Center di Weill Cornell Medicine, New York, berpendapat bahawa sesetengah jenis kanser disebabkan oleh kadar insulin yang tinggi. Insulin merupakan hormon yang mengawal kadar gula dalam darah. Memandangkan insulin meningkat disebabkan oleh pengambilan gula, ia membuktikan bahawa terdapat kaitan secara tidak langsung antara gula dan risiko kanser.

Dalam masa yang sama, satu kajian menunjukkan terdapatnya hubung kait secara langsung antara gula dan kanser dalam individu yang mengalami sindrom metabolisme. Diet tinggi sukrosa dan fruktosa mencetuskan beberapa laluan mekanikal termasuk laluan keradangan, glukosa dan lemak, yang mencadangkan hubungan langsung antara gula dan kanser yang tidak terkait dengan berat badan. 

 

Philipp Scherer, pengkaji diabetes di UT Southwestern Medical Center, Dallas, berkata tiada hubung kait secara terus antara gula dan kanser, seperti yang disebabkan oleh merokok. Menurutnya, banyak jenis kanser menggunakan lemak sebagai sumber tenaga utama berbanding glukosa. 

Walaupun begitu, terdapat kajian yang mengaitkan pengambilan gula tambahan, yang ditemui dalam makanan manis seperti minuman ringan dan kek, secara berlebihan dengan risiko kanser. Satu kajian mendapati pengambilan gula tambahan dan minuman manis meningkatkan risiko kanser.

Pakar diet onkologi, Stacy Shawhan, berkata pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan keradangan kronik bagi sesetengah individu. Keadaan ini boleh merosakkan sel yang kemudiannya boleh menjadi barah. Di samping itu, gula juga boleh menurunkan imuniti badan dan membuatkan sel kanser lebih mudah merebak. Malah, ia boleh mengubah kadar metabolisme badan dan menyebabkan obesiti serta diabetes, yang secara langsung meningkatkan risiko kanser.

 

Obesiti penyebab kanser

Banyak kajian menemui bahawa berat badan berlebihan, akibat pengambilan gula berlebihan, yang sebenarnya menyebabkan kanser. Obesiti telah dikaitkan dengan beberapa jenis kanser termasuk payudara, buah pinggang hati dan pundi kencing. Sekitar 4% hingga 8% kanser dapat dikaitkan dengan obesiti. Pesakit kanser yang obes terdedah dengan risiko kematian akibat kanser yang lebih tinggi. 

Berat badan berlebihan atau obesiti boleh menyebabkan risiko kerana sel lemak menghasilkan protein radang adipokine. Ia merupakan molekul isyarat sel (sitokin) yang dihasilkan oleh tisu adipos atau lemak badan, dan berfungsi dalam mengawal kadar metabolisme badan, keradangan, obesiti dan lain-lain.

Adipokine boleh merosakkan DNA dan seterusnya menyebabkan tumor. Semakin banyak sel lemak dalam badan, semakin banyak protein adipokine yang dihasilkan. Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko 13 jenis kanser.

Harus diingat bahawa berat badan berlebihan bukan disebabkan oleh pengambilan gula semata-mata. Ia merupakan masalah kesihatan yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. 

Sumber: Cancer Research Institute UK

 

Pengambilan gula boleh menyebabkan kanser secara tidak langsung

Walaupun gula tidak dikategorikan sebagai bahan karsinogen, namun pengambilannya secara berlebihan boleh menyebabkan kanser secara tidak langsung. Perkara ini berlaku apabila gula menyebabkan keadaan berat badan berlebihan atau obesiti, keradangan, dan rintangan insulin. Ketiga-tiga keadaan ini seterusnya menjurus kepada risiko kanser yang lebih tinggi.

Cancer Council menggalakkan pemakanan yang sihat dan mengelakkan daripada mempunyai berat badan berlebihan untuk melindungi daripada kanser. Menurut American Heart Association, wanita hanya boleh mengambil tidak lebih dari enam sudu teh gula sehari, manakala pengambilan dihadkan kepada sembilan sudu teh sehari bagi lelaki.

Mayo Clinic menetapkan bahawa lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami hubungan antara pengambilan gula dan kanser. Pengambilan gula berlebihan tidak menyebabkan sel kanser sedia ada cepat membesar, dan mengelak gula tidak membantutkan tumbesaran sel kanser. 


Rujukan:

1. https://news.cancerresearchuk.org/2023/08/16/sugar-and-cancer-what-you-need-to-know/
2. https://www.nytimes.com/2023/07/10/well/eat/sugar-cancer.html
3. https://www.cancer.org.au/iheard/does-sugar-cause-cancer
4. https://www.mdanderson.org/publications/focused-on-health/FOH-cancer-love-sugar.h14-1589835.html
5. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9775518/
6. https://www.webmd.com/cancer/features/cancer-sugar-link
7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9857053
8. https://www.sciencedirect.com/topics/agricultural-and-biological-sciences/adipokine
9. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cancer/in-depth/cancer-causes/art-20044714

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago