Adakah Pengekstrakan Air Bawah Tanah Menyebabkan Mendapan Tanah?

Benar
Adakah Pengekstrakan Air Bawah Tanah Menyebabkan Mendapan Tanah?

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencadangkan penggunaan sumber air bawah tanah sebagai sumber air alternatif

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/06/2022 - Disunting : 30/06/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pengekstrakan Air Bawah Tanah Menyebabkan Mendapan Tanah?

Ketika pelancaran Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sumber air bawah tanah patut digunakan sebagai sumber alternatif air bersih. Setakat ini, penggunaan air bawah tanah di Malaysia hanya sebanyak 3%, berbanding 50% di Amerika Syarikat (AS), 80% di Thailand dan 100% di Denmark. Sebuah ciapan berkenaan penggunaan air bawah tanah telah dihantar baru-baru ini. Rata-rata komen menyatakan mereka tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Terdahulu, pengurus besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pernah menyatakan bahawa pengekstrakan air bawah tanah di Kelantan tidak menyebabkan mendapan tanah di negeri itu. Walau bagaimanapun, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah mengeluarkan sebuah kenyataan media pada Jun 2021 berkenaan pengekstrakan air bawah tanah di Kelantan. Menurut kajian oleh Universiti Otago, New Zealand, pada tahun 2018, terbukti bahawa Kelantan merupakan negeri di Malaysia yang paling banyak mengekstrak air bawah tanah dan mengalami mendapan tanah pada kadar melebihi 4 milimeter setahun. Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP berkata mendapan tanah di Kelantan mungkin menjadi faktor banjir besar yang berlaku di sana setiap tahun.

 

Pemendapan tanah di negara lain

Mendapan tanah turut terjadi di negara-negara lain yang melakukan aktiviti pengekstrakan air bawah tanah. Laporan oleh United States Geological Survey pada tahun 2000 membuktikan bahawa lebih 80% mendapan tanah di AS disebabkan oleh pengekstrakan air bawah tanah. Di Arizona, Arizona Geological Survey mendapati Pangkalan Tentera Udara Luke ditutup selama tiga hari kerana banjir adalah disebabkan oleh mendapan tanah berpunca dari pengekstrakan air bawah tanah berhampiran. 

Lebih dekat dengan Malaysia, Bangkok turut mengalami masalah mendapan tanah yang teruk disebabkan oleh pengekstrakan air bawah tanah sejak hujung 1950-an. Perkara ini menyebabkan beberapa kawasan di Bangkok terjejas dengan banjir kerana persisiran pantainya kini lebih rendah berbanding paras air pasangnya. Kajian yang dilakukan pada tahun 2006 mendapati bahawa bahagian tengah, timur dan tenggara Bangkok pernah mengalami kadar mendapan tanah antara setengah meter dan satu meter bagi tempoh 1978 hingga 1999. Walau bagaimanapun, kadar tersebut telah turun ke 1cm setahun bagi tahun 2001 hingga 2003. 

Situasi di Indonesia adalah lebih parah sehingga menyebabkan negara itu ingin mengubah ibu negaranya dari Jakarta ke pulau yang lain untuk mengelakkannya daripada terus tenggelam. Jakarta didapati telah tenggelam sebanyak 2.5 meter dalam tempoh 10 tahun lepas. Banyak kajian-kajian telah membuktikan bahawa kadar mendapan tanah yang tinggi ini disebabkan oleh pengekstrakan air bawah tanah dalam kuantiti yang besar. Malahan, sebelum pengekstrakan ini dikurangkan dan dikawal, mendapan tanah di Jakarta adalah pada kadar 0.28 meter setahun antara 1982 dan 2010. 

Kredit gambar: Tom Fisk/ Pexels

 

Pengekstrakan Air Bawah Tanah Menyebabkan Mendapan Tanah

Mengikut kajian-kajian yang telah dijalankan ke atas Kelantan dan beberapa negara lain, jelas bahawa pengekstrakan air bawah tanah boleh menyebabkan tanah mendap. Antara keburukan pemendapan ini adalah apabila paras air dunia meningkat, sekaligus menenggelamkan tanah di kawasan yang rendah. Kawasan-kawasan yang terlibat turut berisiko mengalami banjir yang teruk. Walaupun air bawah tanah boleh diisi semula, tetapi mendapan tanah akan mengurangkan kapasiti penyimpanan air bawah tanah

PBAPP menyatakan bahawa AKSB harus melakukan kajian sahih jika ia mahu menafikan kajian yang telah dilakukan. Ia juga merasakan pengekstrakan air bawah tanah boleh digunakan dalam jumlah yang kecil di kampung-kampung yang jauh dari pusat bandar atas faktor ekonomi.


Rujukan:

1. https://www.nst.com.my/news/nation/2022/03/783387/tapping-groundwater-way-forward-says-pm-nsttv
2. https://www.sinarharian.com.my/article/145448/EDISI/Tiada-kesan-mendapan-akibat-penggunaan-air-bawah-tanah-di-Kelantan
3. https://pba.com.my/pdf/media/2021/14062021/14-6-2021_SINAR-ONLINE.pdf
4. https://owlcation.com/stem/Geologic-Hazards-What-You-Need-to-Know-about-Groundwater-Induced-Land-Subsidence
5. https://www.iges.or.jp/en/publication_documents/pub/peer/en/1203/IRES_Vol.6-2_307.pdf
6. https://www.channelnewsasia.com/asia/indonesia-new-capital-nusantara-civil-servants-reluctant-relocation-2554976
7. https://smartwatermagazine.com/news/smart-water-magazine/world-map-shows-land-subsidence-due-groundwater-extraction
8. https://d-nb.info/1142926850/34
9. https://agupubs.onlinelibrary.wiley.com/doi/10.1029/2022GL098477
10. https://owlcation.com/stem/Geologic-Hazards-What-You-Need-to-Know-about-Groundwater-Induced-Land-Subsidence

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago