Adakah Pengendali Parkir Tidak Perlu Bertanggungjawab Ke Atas Sebarang Kerosakan Atau Kehilangan Di Kawasan Parkir?

Salah
Adakah Pengendali Parkir Tidak Perlu Bertanggungjawab Ke Atas Sebarang Kerosakan Atau Kehilangan Di Kawasan Parkir?

Terdapat pengendali parkir yang meletakkan notis bahawa mereka tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan atau kehilangan kenderaan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/05/2023 - Disunting : 03/05/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Pengendali Parkir Tidak Perlu Bertanggungjawab Ke Atas Sebarang Kerosakan Atau Kehilangan Di Kawasan Parkir?

Tidak lama sebelum ini, seorang pengguna Twitter, Syahira Roslan, telah membuat ciapan tentang keretanya yang kehilangan tayar ketika diletakkan di sebuah parkir. Di dalam ciapannya, dia bertanyakan jika dia boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pihak berkenaan. Ciapan asalnya telah dipadam setelah dia mendapat ganti rugi daripada pihak berkenaan.

Ketika itu, ramai warga Twitter telah membalas ciapannya dan berkongsi sebuah kes terdahulu di mana pihak parkir masih perlu bertanggungjawab ke atas kenderaan di tempat parkirnya. 

 

Tanggungjawab ke atas kenderaan di tempat parkir

Pada tahun 2011, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman selaku pengarah negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (MDTCC) ketika itu, berkata pihak pengurusan premis dan pengendali tempat letak kenderaan yang mengenakan bayaran terhadap penggunaan parkir bertanggungjawab terhadap kerugian yang berlaku akibat pecah masuk dan vandalisme. Mereka diminta untuk menghapuskan penggunaan notis ‘Park at your own risk’ kerana ia tidak lagi boleh digunakan. 

Menurut Wan Ahmad, penggunaan notis sebegitu bertentangan dengan Seksyen 21A (kehendak keselamatan umum bagi barang) di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999

“Sebagai tambahan dan tanpa menjejaskan seksyen 20, tiada seorang pun boleh membekalkan, atau menawarkan atau mengiklankan untuk membekalkan, apa-apa barang yang tidak semunasabahnya selamat dengan mengambil kira semua hal keadaan, termasuk — (a) cara, dan maksud yang baginya, barang itu sedang dipasarkan atau akan dipasarkan”

 

Fasal pengecualian

Notis seperti “Pihak pengurusan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan kenderaan” adalah suatu bentuk fasal pengecualian atau exclusion clause. Fasal pengecualian bagi tempat meletak kenderaan kebiasaannya boleh ditemui di papan tanda dan kad parkir. 

Fasal pengecualian tertakluk kepada ‘contra-profarentem’, sebuah undang-undang kontrak yang menyatakan bahawa sebarang fasal yang tidak jelas boleh ditafsirkan terhadap pihak yang menggubal undang-undang tersebut. Pihak pengurusan parkir perlu memastikan supaya fasal pengecualiannya dapat dilihat oleh pengguna dan jelas difahami.

Dalam kes Malaysian Newsprint Industries Sdn Bhd v Perdana Cigna Insurance Bhd & Ors [2008], mahkamah menetapkan bahawa fasal pengecualian tidak bermakna jika ia tidak disampaikan secara efektif kepada pengguna. 

 

Dalam sebuah kes lain, Thornton v. Shoe Lane Parking, mahkamah mendapati fasal pengecualian dipaparkan hanya setelah pemandu mengambil tiket parkir dan masuk ke tempat parkir.

Oleh itu, pihak pengurusan dan pengguna telah berkontrak ketika pemandu mengambil tiket, tetapi fasal pengecualian yang hanya muncul kemudian selepas kontrak terbentuk adalah tidak terpakai dan tidak mengikat pemandu. Mahkamah kemudiannya memutuskan pihak pengurusan perlu bertanggungjawab ke atas kemalangan yang dialami oleh pemandu.

 

Euro Rent A Car Sdn. Bhd v Sunway Parking Services Sdn. Bhd

Kes terdahulu yang dikongsikan oleh orang ramai adalah kes mahkamah yang melibatkan Euro Rent A Car Sdn. Bhd dan Sunway Parking Services Sdn. Bhd pada Disember 2010. Ketika itu, sebuah kereta yang disewa daripada Euro Rent A Car telah dicuri dari parkir berkenaan dengan cara mengekori rapat kereta lain di hadapannya apabila melalui penghalang parkir.

Mahkamah telah mengesahkan bahawa pihak pengurusan parkir The Pinnacle di Bandar Sunway bertanggungjawab ke atas kecuaiannya dan telah diarahkan untuk membayar kerugian sebanyak RM117,000Ketika perbicaraan mahkamah, pihak pengurusan parkir berhujah bahawa mereka mempunyai fasal pengecualian yang mengecualikan mereka daripada bertanggungjawab terhadap kecurian yang berlaku. Namun begitu, mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan tersebut. 

 

Secara ringkasnya, alasan yang diberikan oleh mahkamah adalah bukan semua fasal pengecualian boleh diguna pakai dan jika ia kelihatan tidak adil terhadap pengguna, mahkamah mempunyai hak untuk mengetepikannya. Dalam kes ini, fasal pengecualian tersebut hanya menyebut tentang kerugian dan kerosakan terhadap kereta, tetapi tidak meliputi kecurian kenderaan. Oleh itu, fasal pengecualian tersebut tidak berguna dalam melindungi pihak pengurusan parkir. 

Di samping itu, pihak pengurusan juga tidak mengambil tindakan yang sepatutnya untuk mencegah kecurian kenderaan. Penghalang parkir yang terlalu perlahan sehingga membolehkan dua kereta keluar pada satu masa merupakan suatu isu teknikal yang sepatutnya diperbaiki. Malah, tiada pegawai keselamatan yang ditempatkan di penghalang parkir untuk memastikan hanya sebuah kereta keluar pada satu masa. Berdasarkan keadaan ini, pihak pengurusan tidak dapat membuktikan bahawa mereka tidak cuai. 

 

Hubungan bailor-baili

Fahri Azzat, seorang peguam, berkata hubungan undang-undang antara pihak pengurusan parkir dan pengguna adalah bailor-baili. Bailor merujuk kepada pihak yang menyerahkan kenderaan iaitu pengguna, manakala baili adalah pihak pengurusan yang diamanahkan dengan kenderaan tanpa maksud memindah milik. Baili bertanggungjawab untuk menjaga harta benda bailor sehingga bailor menebus semula hartanya. 

Hakim sesi bagi kes Euro Rent A Car Sdn. Bhd dan Sunway Parking Services Sdn. Bhd, Izralizam Sanusi, berkata pihak pengurusan harus bertanggungjawab kerana bayaran parkir telah dikenakan. Hal ini bermaksud hubungan bailor-baili telah termaktub dan baili bertanggungjawab ke atas keselamatan kereta yang diletakkan di parkirnya.

 

Pihak pengurusan parkir masih perlu bertanggungjawab terhadap kenderaan

Walaupun dengan penggunaan fasal pengecualian, pihak pengurusan tempat meletak kenderaan tidak dikecualikan sepenuhnya daripada tanggungjawabnya ke atas keselamatan kenderaan. Kes terdahulu yang dikongsikan orang ramai membuktikan bahawa pihak pengurusan atau pengendali parkir boleh dikenakan tindakan atas kehilangan kenderaan. Mereka juga perlu bertanggungjawab ke atas kerugian dan kerosakan lain sekiranya tidak meletakkan fasal pengecualian dengan jelas dan tidak mengambil langkah yang secukupnya untuk mengelak hal tidak diingini daripada berlaku. 


Rujukan:

1. https://www.theborneopost.com/2011/10/10/%E2%80%98park-at-your-own-risk%E2%80%99-no-longer-applicable/
2. https://ttpm.kpdn.gov.my/files/consumers_act.pdf
3. https://asklegal.my/p/sue-mall-carpark-management-car-broken-into-malaysia
4. https://www.facebook.com/JumpaKatMahkamah/posts/1990811751131898
5. https://www.carlist.my/news/if-your-car-gets-stolen-at-a-car-park-you-can-now-sue-the-management-and-win-81256/81256/
6. https://asklegal.my/p/sue-car-park-exclusion-clause-car-vehicle-contract-terms
7. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/12/07/landmark-decision-brings-hope-to-owners-of-vehicles-stolen-at-car-parks/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago