Adakah Penggunaan Bahan Api Dalam Kenderaan Elektrik (EV) Lebih Jimat Berbanding Kenderaan Biasa atau ICE?

Benar
Adakah Penggunaan Bahan Api Dalam Kenderaan Elektrik (EV) Lebih Jimat Berbanding Kenderaan Biasa atau ICE?

Terdapat tiga jenis kenderaan EV dengan jenis BEV bergantung kepada tenaga elektrik sepenuhnya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/07/2023 - Disunting : 31/07/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Penggunaan Bahan Api Dalam Kenderaan Elektrik (EV) Lebih Jimat Berbanding Kenderaan Biasa atau ICE?

Malaysia kini telah mempunyai lebih 10,000 kenderaan elektrik atau electric vehicle (EV) dengan EV BYD Dolphin yang baru dipasarkan mempunyai harga termurah iaitu RM99,900.

Dengan banyak EV yang dipasarkan dalam negara, ramai yang bertanya sama ada penggunaan elektrik oleh EV lebih jimat berbanding penggunaan minyak petrol dalam kenderaan yang menggunakan enjin atau kenderaan internal combustion engine (ICE). Hantaran kali ini akan membezakan antara kedua-dua penggunaan bahan api.

 

Kenderaan elektrik EV

Kenderaan jenis elektrik merupakan satu alternatif pengangkutan kepada pemandu yang dapat mengurangkan pencemaran ke atas alam sekitar. Terdapat tiga jenis EV iaitu EV hibrid (HEV), EV plug-in hibrid (PHEV) dan EV bateri (BEV).

HEV mempunyai kedua-dua tangki minyak dan bateri untuk motor elektrik, PHEV mempunyai bateri yang lebih besar dan boleh dicaj semula berbanding HEV, dan BEV menggunakan kuasa bateri sepenuhnya. 

Antara ketiga-tiga jenis EV ini, BEV mengeluarkan karbon pada kadar terendah kerana ia tidak lagi menggunakan ICE seperti jenis HEV dan PHEV.

 

Pengecasan EV

Seperti mana namanya, EV tidak menggunakan minyak petrol, sebaliknya ia dicaj menggunakan arus elektrik. Pengecasan EV boleh dibuat melalui dua cara iaitu Alternating Current Charging (AC) dan Direct Current Charging (DC).

AC, juga dikenali sebagai Tahap 1 atau Tahap 2, boleh dilakukan di rumah. Pengecasan Tahap 1 boleh menggunakan soket elektrik biasa di rumah dan akan memakan masa lapan hingga 20 jam untuk EV caj sepenuhnya. Sebaliknya, pengecasan Tahap 2 menggunakan soket elektrik 240-volt khas dan boleh mengecas EV sepenuhnya dalam masa hanya empat hingga lapan jam.

Walaupun AC mengambil masa agak lama berbanding DC, namun ia dapat memanjangkan jangka hayat bateri kereta. Walau bagaimanapun, pemasangan pengecas AC hanya boleh dipasang di rumah atas tanah (landed property). 

Sebaliknya, DC yang juga dikenali sebagai pengecasan Tahap 3 adalah lebih kuat dan laju dan boleh mengecas EV sepenuhnya dalam sekurang-kurangnya hanya 30 minit. Ia menggunakan arus elektrik secara terus dan hanya boleh ditemui di stesen mengecas awam.

Disebabkan ia dapat mengecas EV dengan laju, DC adalah pilihan yang lebih bagus bagi perjalanan jarak jauh. Namun begitu, penggunaannya secara berlebihan boleh memendekkan jangka hayat bateri kereta yang merupakan kos tertinggi pada EV.

Sebagai rujukan, tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut tahap penggunaan elektrik. Tarif terkini (setakat 31 Julai 2023) TNB bagi kediaman adalah seperti berikut:

  • 1-200kWh: RM0.218 sen/kWh
  • 201-300kWh: RM0.334 sen/kWh
  • 301-600kWh: RM0.516 sen/kWh
  • 601-900kWh: RM0.546 sen/kWh
  • 901kWh dan ke atas: RM0.571 sen/kWh

Menurut laman web automotif Paultan.org, dianggarkan bahawa penggunaan elektrik melibatkan EV akan menyebabkan rumah menggunakan jumlah elektrik melepasi peringkat tarif terakhir. Oleh itu, segala pengiraan yang dilakukan akan menggunakan tarif tertinggi RM0.571 sen/kWh.

 

Penggunaan bahan api dalam EV dan kenderaan ICE

Beberapa syarikat telah melakukan perbandingan antara penggunaan bahan api dalam EV dan kenderaan ICE. TNB telah melakukan pengiraan untuk mengukur kos elektrik dalam penggunaan EV berbanding kos petrol kenderaan ICE bagi enam segmen kenderaan. Ukuran dibuat berdasarkan kos minyak semata-mata tanpa mengambil kira kos lain seperti penyelenggaraan dan servis.

Bagi pengecasan EV, TNB meletakkan nilai kecekapan pengecasan sebanyak 88% dengan 12% kehilangan tenaga sewaktu mengecas. Di samping itu, kos memasang pengecas di rumah bernilai sebanyak RM900 setiap tahun selama lima tahun turut diambil kira.

Harga petrol merupakan harga ketika pengiraan dilakukan oleh TNB.
Sumber: Paultan.org

Pengiraan oleh TNB mengesahkan bahawa menggunakan EV dapat menjimatkan antara 11.4% hingga 28.3% setiap tahun apabila dibandingkan dengan kenderaan ICE yang menggunakan petrol RON 95. Hal ini bermaksud penjimatan adalah lebih tinggi apabila dibandingkan dengan penggunaan RON 97.

Namun begitu, kos pengecasan selain di rumah adalah lebih tinggi iaitu RM0.79/ kWh di tempat awam dan RM1.00/kWh bagi pengecasan pantas.

 

Carput, satu syarikat yang menyediakan servis bantuan kenderaan, telah membuat pengiraan penggunaan elektrik bagi kereta EV Nissan Leaf. Setelah mengambil kira kehilangan tenaga sebanyak 16%, purata kos untuk mengecas penuh kereta berkapasiti 40kWh di rumah adalah sekitar RM26.49.

Dengan jarak perjalanan 311KM Nissan Leaf, ini bermakna harga elektrik bagi setiap RM100KM adalah RM8.51. Carput membandingkan penggunaan Nissan Leaf dengan Toyota Altis 1.8 kerana mempunyai kuasa kuda yang tidak terlalu berbeza. Kos petrol bagi Toyota Altis adalah sebanyak RM13.14 setiap 100KM.

Oleh itu, apabila dibandingkan antara penggunaan elektrik dalam Nissan Leaf dan petrol dalam Toyota Altis, terdapat penjimatan lebih 54% menggunakan EV. Pengiraan ini dilakukan bagi kegunaan di bandar dan berjarak pendek.

Walau bagaimanapun, kos akan berbeza dan meningkat sedikit apabila menggunakan pengecas di tempat awam berbanding mengecas EV di rumah. Pasa masa yang sama, pengguna EV boleh melanggan keahlian bagi pengecas awam untuk mendapatkan penjimatan.

Menurut BHPetrol, walaupun penggunaan bahan api dalam EV adalah lebih jimat berbanding kenderaan ICE, namun ia mempunyai kos awal yang lebih tinggi dalam jangka masa pendek. Walaupun kenderaan ICE lebih murah, namun ia terdedah kepada harga petrol yang lebih mudah berubah serta mempunyai kos penyelenggaraan yang lebih tinggi termasuk servis minyak hitam dan penukaran bateri.

 

Penggunaan elektrik dalam EV adalah lebih menjimatkan berbanding penggunaan petrol dalam kenderaan ICE

Secara umumnya, penggunaan EV dari segi bahan api sahaja adalah lebih menjimatkan berbanding kenderaan ICE. Pengiraan yang dilakukan oleh TNB dan Carput menunjukkan penjimatan kos bahan api antara 11.4% hingga 54% menggunakan EV berbanding kenderaan ICE. Namun, harus diingat bahawa kos pengecasan EV berubah-ubah mengikut tempat kenderaan dicas. Penjimatan kos bahan api juga berbeza berdasarkan jenis kenderaan yang digunakan.

Menurut Carput, harga petrol di Malaysia adalah disubsidi dan lebih murah berbanding beberapa negara lain. Maka, kerana itulah penjimatan menggunakan elektrik berbanding petrol bagi kenderaan tidak terlalu besar. EV juga dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dalam tempoh yang panjang. Pada masa yang sama, EV kini tidak dikenakan cukai jalan sehingga tahun 2025.


Rujukan:

1. https://says.com/my/tech/owning-an-ev-car-in-malaysia#google_vignette
2. https://www.carsome.my/news/item/cost-of-owning-ev-in-malaysia
3. https://paultan.org/2022/07/27/running-an-ev-in-malaysia-is-between-11-4-to-28-3-cheaper-than-petrol-vehicles-using-ron-95-tnb/
4. https://carput.my/petrol-vs-ev-is-ev-cheaper-to-drive-in-malaysia
5. https://www.bhpetrol.com.my/bhp-blog/ev-petrol-car-comparison-malaysia/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago