Adakah Penggunaan Cawan Haid Selamat?

Benar
Adakah Penggunaan Cawan Haid Selamat?

Cawan haid merupakan salah satu produk kebersihan haid alternatif

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/07/2022 - Disunting : 13/07/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Penggunaan Cawan Haid Selamat?

Cawan haid atau lebih dikenali sebagai menstrual cup, merupakan salah satu produk yang boleh digunakan oleh wanita ketika sedang mengalami haid. Ia berbentuk seperti cawan kecil atau bell-shaped dan dimasukkan ke dalam faraj untuk mengumpul darah yang turun sewaktu haid. Ramai individu telah mempromosikan penggunaan cawan haid sebagai produk kebersihan haid alternatif. Namun begitu, adakah ia selamat digunakan seperti tampon atau tuala wanita?

Kredit gambar: Karolina Grabowska/ Pexels

Cawan haid yang berkualiti kebiasaannya diperbuat daripada silikon gred perubatan yang bebas daripada bahan kimia bertoksik. Oleh itu, amat jarang untuk pengguna cawan haid mengalami tindak balas alahan seperti yang biasa berlaku apabila menggunakan tampon atau tuala wanita. Sebuah kajian mendapati hanya 6 daripada 3,319 orang peserta kajian yang mengalami alahan akibat penggunaan cawan haid.

Tampon dan tuala wanita perlu ditukar setiap 4 hingga 6 jam untuk mengelak daripada berlakunya toxic shock syndrome (TSS). Sebaliknya, cawan haid boleh dipakai selama 8 hingga 12 jam dalam satu masa. Walaupun TSS masih boleh terjadi jika cawan haid tidak ditukar dalam tempoh yang ditetapkan, kebarangkalian ia terjadi adalah lebih rendah berbanding dengan penggunaan tampon. Tambahan lagi, apabila menggunakan tampon atau tuala wanita, darah haid boleh berbau apabila mempunyai kontak dengan udara yang menyebabkan proses pengoksidaan darah. Dengan menggunakan cawan haid, proses pengoksidaan tidak akan berlaku seterusnya mengelakkan darah haid daripada berbau. Jika cawan haid dipakai dengan betul, kebarangkalian kebocoran berlaku adalah amat tipis.

Produk kebersihan haid pakai semula. Kredit gambar: Vanessa Ramirez/ Pexels

Dari segi ekonomi, cawan haid adalah lebih menjimatkan berbanding tampon atau tuala wanita. Satu cawan haid boleh dipakai berulang-ulang kali, malah ada yang boleh bertahan sehingga 10 tahun. Seorang wanita yang mengalami haid akan menggunakan antara 5 hingga 15 ribu tampon atau tuala wanita sepanjang hayatnya. Penggunaan cawan haid yang bersifat mesra alam dan boleh digunakan semula akan mengurangkan lambakan sampah dalam bentuk tampon atau tuala wanita. Selain daripada cawan haid, tuala wanita guna semula juga merupakan alternatif produk kebersihan haid yang mesra alam. Akan tetapi, cawan haid lebih senang dicuci dan boleh dipakai terus selepas cuci, tidak seperti tuala wanita guna semula yang perlu direndam dan dikeringkan. Malahan, jika cawan haid dipakai dengan betul, kebarangkalian kebocoran berlaku adalah amat tipis.

 

Cawan haid selamat digunakan

Terbukti bahawa cawan haid selamat digunakan seperti produk kebersihan haid lain. Pengguna harus mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam memastikan kesihatan mereka terjamin. Semasa hendak menggunakan cawan haid, amat penting untuk tangan dibersihkan dengan baik untuk mengelakkan sebarang jangkitan kuman. Cawan haid juga perlu dicuci dengan bersih setiap kali dikeluarkan dan disterilkan selepas setiap kitaran haid.

Kredit gambar: Marketing City to Sea/ Unsplash

Dalam konteks budaya Malaysia, cawan haid seringkali dilihat sebagai produk yang tidak sesuai digunakan oleh seorang dara. Dr. Azizah binti Rusly, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi, berkata penggunaan cawan haid mungkin akan menyebabkan sedikit regangan pada selaput dara. Namun begitu, harus diingat bahawa perkara ini boleh juga terjadi apabila seseorang wanita melakukan aktiviti lasak. Akhir sekali, setiap wanita mempunyai kebebasan untuk memilih produk kebersihan haid yang sesuai dan selesa untuk dirinya sendiri.


Rujukan:

1. https://hellodoktor.com/kesihatan-wanita/haid/cawan-menstruasi-haid/
2. https://beyouonline.co.uk/blogs/news/pad-free-periods-menstrual-cup-vs-pads
3. https://www.thelancet.com/journals/lanpub/article/PIIS2468-2667(19)30111-2/fulltext
4. https://www.thelancet.com/journals/lanpub/article/PIIS2468-2667(19)30111-2/fulltext
5. https://www.purplle.com/magazine/article/are-menstrual-cups-better-than-sanitary-pads
6. https://www.medicalnewstoday.com/articles/menstrual-cup-dangers#potential-risks
7. https://www.nationalgeographic.com/environment/article/how-tampons-pads-became-unsustainable-story-of-plastic
8. https://health.clevelandclinic.org/tired-of-tampons-here-are-pros-and-cons-of-menstrual-cups/
9. https://indianexpress.com/article/lifestyle/health/cloth-pads-menstrual-cups-hygiene-period-7254597/
10. https://www.medicalnewstoday.com/articles/menstrual-cup-dangers#potential-risks
11. https://diva.my/2022/269894/tampon-tidak-jejas-status-anak-dara-kamu-dr-azizah-binti-rusly/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago