Adakah Pengundi Hantu Wujud di Malaysia?

Benar
Adakah Pengundi Hantu Wujud di Malaysia?

Banyak pihak mendakwa kewujudan pengundi hantu pada Pilihan Raya Umum

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/10/2022 - Disunting : 21/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pengundi Hantu Wujud di Malaysia?

Apabila Pilihan Raya Umum bakal diadakan, istilah pengundi hantu selalu disebut-sebutkan terutamanya oleh parti pembangkang. Persoalannya, adakah pengundi hantu benar-benar wujud dalam PRU di Malaysia?

Umum sedia tahu bahawa pengundi hantu bermaksud mengundi menggunakan Kad Pengenalan palsu atas nama pengundi lain yang berdaftar dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Namun begitu, menurut SPR, perkara ini bukanlah seperti yang dicanangkan oleh pihak tertentu. Ada sesetengah pemilih yang berdaftar di suatu kawasan telah berpindah dan cuma pulang mengundi ketika PRU. Perkara ini menyebabkan penduduk di kawasan tidak mengenali mereka dan membuat tanggapan bahawa mereka adalah pengundi hantu sedangkan mereka pemilih berdaftar yang sah.

 

Sejarah pengundi hantu di Malaysia

Pengundi hantu didakwa telah wujud sejak 1980-an ketika pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Pihak pembangkang mendakwa terdapat 200,000 orang pengundi hantu pada PRU 1999. Dalam sebuah kenyataan media, Pengerusi Democratic Action Party (DAP) Lim Kit Siang berkata seramai 279 orang pengundi hantu telah didedahkan dari lapan buah flat di konstituen Bukit Bendera dengan seorang pemimpin Gerakan yang mendaftarkan 70 pengundi hantu di rumahnya

Pada PRU yang sama, Mahathir Mohamad juga mendakwa kewujudan pengundi hantu yang mengundi Parti Islam Se Malaysia (PAS) telah menyebabkan UMNO kalah di pilihan raya kecil Anak Bukit. Di samping itu, UMNO juga gagal memenangi Parlimen Pendang dengan majoriti yang lebih besar seperti di PRU sebelum itu. 500 pengundi hantu yang menyokong PAS telah dikenal pasti dengan alamat bukan sahaja di Kedah, tetapi dari Terengganu dan Negeri Sembilan.

 

Pengundi hantu di Malaysia pada PRU-14

Sebelum PRU-14, Tan Yee Kew dari Parti Keadilan Rakyat, berkata senarai daftar pemilih menunjukkan keganjilan apabila beberapa ribu orang telah didaftarkan di bawah konstituen Wangsa Maju. Ahli Parlimen Ong Kian Ming telah menganalisa datanya sendiri sebelum PRU-13 dan mendapati terdapat lebih 100,000 pengundi yang meragukan

Dapatan awal mengenai integriti proses dan sistem pengundian bagi PRU-14 oleh The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih 2.0) menemukan 10 jenayah pilihan raya oleh SPR. Dapatan ini adalah berdasarkan pemerhatian Bersih 2.0 ke atas sistem pengundian sejak tahun 2006 dan kempen PEMANTAU (Pemerhati Pilihan Raya) yang memberi tumpuan kepada kesalahan pilihan raya dalam tempoh 6 bulan sebelum PRU-14. 

Salah satu jenayah yang dikenal pasti adalah mengenai kegagalan SPR untuk membersihkan senarai daftar pemilih dan mengelakkan kewujudan pengundi hantu. Menurutnya, 15% pengundi di dalam senarai daftar pemilih ketika itu tidak mempunyai alamat atau mempunyai alamat tidak lengkap. Selain itu, ramai pemilih yang secara haram dipindahkan ke konstituen dengan majoriti rendah pada PRU lepas supaya dapat mempengaruhi keputusan PRU baru. Kesannya, dianggarkan 500,000 pemilih didaftarkan menggunakan alamat yang sama atau alamat yang tidak wujud. 

Tiga minggu sebelum PRU-14 berjalan, ramai pengundi mendapati nama mereka telah hilang daripada senarai daftar pemilih dan dipindahkan ke konstituen lain tanpa pengetahuan mereka. Nama pendaftar yang telah meninggal juga ditemui di dalam senarai daftar pemilih. Keadaan ini memberi kelebihan kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk menghantar pengundi hantu. 

 

Pengundi hantu wujud di Malaysia

Berdasarkan dakwaan oleh banyak pihak, mungkin pengundi hantu benar-benar wujud dalam pilihan raya di Malaysia. Malah, pengundi hantu ditemui dalam kalangan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang. Bercakap dengan seorang rakan kepada penulis yang mengundi di Kelantan, dia mendapati namanya telah dicatat sebagai telah mengundi walaupun baru tiba di tempat mengundi pada PRU lepas.

Menjadi pengundi hantu merupakan satu bentuk kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara tidak kurang dua (2) tahun atau didenda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali. SPR mendakwa mereka berterusan berusaha bagi memastikan senarai daftar pilih dikemaskini dengan mengeluarkan nama pemilih-pemilih yang telah meninggal dunia atau hilang kerakyatan setiap 3 bulan.


Rujukan:

1. https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/soalan-lazim/pengundi-hantu
2. https://dapmalaysia.org/all-archive/English/2002/sep02/lks/lks1837.htm
3. https://dapmalaysia.org/all-archive/English/2002/sep02/lks/lks1842.htm
4. https://www.centennialasia.com/the-asian-pulse/daily-news/malaysia-election-phantom-voters-issue-back-to-haunt-polls/
5. https://www.theedgemarkets.com/article/ec-responsible-10-electoral-crimes-ge14-bersih-prelim-report-finds

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago