Adakah Peniaga Boleh Menggunakan Bahagian Kaki Lima Di Hadapan Kedai?

Benar
Adakah Peniaga Boleh Menggunakan Bahagian Kaki Lima Di Hadapan Kedai?

Penjaja sering meletakkan barangan perniagaan di kaki lima hadapan premis

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/08/2023 - Disunting : 07/08/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Peniaga Boleh Menggunakan Bahagian Kaki Lima Di Hadapan Kedai?

Sesetengah peniaga sering menggunakan bahagian kaki lima untuk meletakkan barang perniagaan seperti meja, kerusi makan dan para barangan. Perkara ini dilihat mengganggu orang ramai yang ingin menggunakan laluan tersebut, lebih-lebih lagi peniaga yang menutup seluruh ruang pejalan kaki. Persoalannya, adakah perkara ini dibenarkan menurut undang-undang?

 

Kesalahan berkenaan melakukan perniagaan di tempat awam

Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood, pihak DBKL pernah mengeluarkan notis ke atas restoran yang meletakkan kerusi dan meja di laluan pejalan kaki. Katanya, perkara ini menghalang laluan pejalan kaki sekaligus membahayakan keselamatan pelanggan.

Notis yang dikeluarkan adalah di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu meletakkan suatu barang atau benda yang digunakan untuk atau berhubungan dengan perniagaannya di mana-mana tempat awam. Selain itu, notis juga dikeluarkan mengikut Seksyen 47(1)(a) berkenaan menempatkan, meletakkan atau membuang sebarang kotoran seperti abuk, debu, kertas, abu, bangkai, sampah, kotak, tong, karung atau perkara lain di tempat awam.

Antara notis lain yang turut dikeluarkan adalah di bawah Kaedah 12(4) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu kesalahan meletakkan kenderaan yang menyebabkan bahaya atau menghalang pengguna jalan lain. 

Di Kuala Lumpur, terdapat Undang-Undang Kecil Perlesenan dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 yang menggariskan undang-undang berkenaan perniagaan. Undang-undang kecil 23 (2) menjelaskan bahawa aktiviti perniagaan yang menghalang atau mengganggu kelancaran arus lalu lintas kenderaan dan pergerakan pejalan kaki adalah tidak dibenarkan.

 

Undang-undang menjalankan perniagaan di kaki lima

Undang-undang berkenaan menjalankan perniagaan di kaki lima sebenarnya adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Secara umumnya, perniagaan di atas kaki lima di hadapan kedai adalah tidak dibenarkan. Namun begitu, peniaga boleh mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa yang kebiasaannya beserta dengan bayaran sewa dan mengikut waktu operasi tertentu.

Di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, seseorang tidak boleh meletakkan suatu barang atau benda yang digunakan untuk atau berhubungan dengan perniagaannya di mana-mana tempat awam. Individu yang didapati bersalah boleh ditangkap tanpa waran. Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda tidak lebih RM500 untuk kesalahan pertama dan tidak lebih RM1,000 untuk sabitan seterusnya.

Sumber: Majlis Daerah Perak Tengah

Memandangkan kuasa berkenaan perniagaan terletak di bawah bidang PBT, hal ini bermakna syarat-syarat perniagaan adalah mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja bagi setiap kawasan.

Terdapat sebilangan PBT seperti Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mengizinkan perniagaan di kaki lima dengan syarat hanya sebanyak dua kaki digunakan. Sebaliknya, lebihan tiga kaki hendaklah dikosongkan bagi tujuan laluan awam. Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menjelaskan kaki lima perlu diberi ruang untuk laluan awam, kecemasan dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Walau bagaimanapun, ada juga PBT yang tidak meletakkan syarat ini seperti Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) yang mengizinkan kegunaan kaki lima secara keseluruhan selagi mana ia tidak menutup laluan tangga ke atas.

 

Pada masa yang sama, keizinan melakukan perniagaan di kawasan kaki lima juga tertakluk kepada beberapa peraturan. Perniagaan di kawasan kaki lima harus dipastikan bersih dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Kawasan kaki lima tidak boleh digunakan sebagai tempat membasuh, mencuci atau memasak. Pihak MPBP menyatakan bahawa pemilik perniagaan bertanggungjawab terhadap kebersihan laluan pejalan kaki dan kawasan sekeliling. Di Ipoh, aktiviti penyediaan jualan seperti mengupas kelapa dan menyiang ikan di kaki lima turut dilarang. 

Di samping itu, seperti yang dinyatakan oleh MBI, MPBP dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), perniagaan tidak boleh membina sebarang binaan kekal di kawasan kaki lima. Malah, barangan yang diletak di kaki lima perlu dialihkan dan disimpan selepas tamat tempoh operasi. Pemilik perniagaan yang menyewa kaki lima di bawah MPKj juga perlu mematuhi had bilangan kerusi dan meja yang ditetapkan.

Sebagai tambahan, pihak MDTM menegaskan bahawa sekiranya sebarang aduan diterima atau pemilik perniagaan didapati mendatangkan gangguan kepada premis lain, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan dan boleh menyebabkan permit perniagaan dibatalkan.

Terdapat juga PBT yang melarang perniagaan di kaki lima sama sekali. Di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perniagaan di kaki lima atau kawasan persekitaran dilarang sama sekali. Pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) juga tidak membenarkan perniagaan di kaki lima atau tempat awam. Namun begitu, Jabatan Pelesenan boleh membenarkan jualan tertentu seperti peniaga membaiki kasut, tetapi perlu mengikut kesesuaian kawasan supaya tidak mengganggu laluan kerusi roda dan orang kurang upaya (OKU).

Maklumat setiap PBT yang dirujuk diringkaskan dalam jadual di bawah:

 

Kaki lima boleh digunakan untuk tujuan perniagaan setelah mendapat keizinan

Rata-rata PBT mengizinkan peniaga untuk menggunakan kawasan kaki lima di bahagian hadapan premis dengan syarat mendapatkan izin dan melakukan bayaran sewa. Pemilik perniagaan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak PBT dalam menggunakan kaki lima. Namun begitu, premis juga diingatkan supaya tidak menyebabkan gangguan kepada orang awam yang perlu menggunakan laluan tersebut, terutamanya golongan tua dan OKU.


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/01/408240/peniaga-degil-halang-laluan-pejalan-kaki
2. Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
3. Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959
4. Undang-Undang Kecil Perlesenan dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016
5. https://www.mdtm.gov.my/sites/default/files/mdtm/sumber/muat_turun_borang/syarat-syarat_dan_panduan_perniagaan/syarat-syarat_dan_panduan_perniagaan_11.pdf
6. https://www.mbi.gov.my/images/2021/mbi/resources/download_forms/licensing_division/borang_syarat_kaki_lima_1.pdf
7. https://www.mdpontian.gov.my/sites/default/files/mdp/sumber/muat_turun_borang/garis_panduan_permohonan_lesen_terkini/gp_permohonan_lesen_kaki_lima_mppn.pdf
8. https://www.mpbp.gov.my/ms/perniagaan/permohonan-sewaan-kaki-lima-petak-berniaga
9. https://www.mpkj.gov.my/sites/default/files/primuscore_content_fetcher/nothing/lesen4/lesen4_.pdf
10. https://www.mpaj.gov.my/ms/perniagaan/perlesenan/prosedur-permohonan-lesen-premis-perniagaan
11. https://www.mbsp.gov.my/brgonline/garispanduan/pelesenan/penjajaan.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago