Adakah Penjualan Semula Tiket Dibenarkan Di Sisi Undang-Undang Malaysia?

Benar
Adakah Penjualan Semula Tiket Dibenarkan Di Sisi Undang-Undang Malaysia?

Seperti banyak konsert lain, tiket konsert Coldplay telah dimonopoli oleh golongan ulat tiket untuk dijual semula

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/05/2023 - Disunting : 22/05/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Penjualan Semula Tiket Dibenarkan Di Sisi Undang-Undang Malaysia?

Penjualan tiket bagi Music Of The Spheres World Tour oleh Coldplay telah berlangsung pada 17 Mei 2023 yang lalu. Tidak beberapa lama setelah penjualan tiket dibuka, tiket telah habis dijual dengan serta-merta. Namun begitu, masih ramai peminat Coldplay tidak berjaya mendapatkan tiket ke konsert tersebut. 

Ramai orang mendakwa bahawa ulat tiket atau scalper telah membuat pembelian tiket pada kuantiti yang tinggi sehingga menyebabkan orang lain tidak berpeluang. Tiket tersebut kemudiannya dijual melalui platform lain seperti Carousell pada harga berkali ganda lebih tinggi. Persoalannya, adakah penjualan semula tiket dibenarkan di bawah undang-undang negara?

 

Undang-undang penjualan semula tiket

Penjualan semula tiket telah banyak berlaku sebelum ini termasuk bagi konsert Blackpink, Justin Bieber dan Ed Sheeran. Malah, ia bukan hanya tertakluk kepada industri konsert, tetapi industri bola sepak dan perkhidmatan bas juga.

Tiada mana-mana seksyen dalam Kanun Keseksaan yang menyentuh berkenaan isu penjualan semula tiket. Namun begitu, ia tidak bermakna penjualan semula tidak salah di sisi undang-undang. Menurut Ask Legal, walaupun ia bukan suatu jenayah, tindakan masih boleh diambil di bawah tindakan sivil berdasarkan kontrak yang boleh dipakai antara pembeli dan ejen penjual tiket. 

Kes antara Parker dan South Eastern Railway menunjukkan bahawa seorang pembeli tiket akan terikat kepada syarat-syarat tiket, sama seperti apabila seseorang menandatangani sebuah kontrak. Oleh itu, penjualan semula tiket tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak penjual tiket. 

Selain itu, seorang ahli jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur Alex Netto, berkata pembeli yang mendapatkan tiket daripada ulat tiket tidak boleh mengenakan tindakan terhadap ejen penjual tiket kerana tiada kontrak yang wujud antara kedua pihak tersebut. Walau bagaimanapun, mereka boleh cuba mengambil tindakan undang-undang ke atas ulat tiket

 

Syarat-syarat tiket Music Of The Spheres World Tour

Bagi konsert Music Of The Spheres World Tour secara khusus, pihak GoLive Asia menetapkan bahawa penjualan semula tiket ditegah sama sekali. Individu yang membeli tiket daripada ulat tiket akan dilarang daripada memasuki konsert tanpa sebarang pampasan. 

Merujuk kepada syarat-syarat yang digariskan oleh GoLive Asia, hanya tiket daripada www.golive-asia.com atau aplikasi GoLive boleh digunakan untuk masuk ke konsert. Pemegang tiket dilarang untuk menjual semula tiket sama ada pada harga asal atau harga lebih tinggi, termasuk melalui laman web bidaan dan penjualan semula. 

Tiket juga tidak boleh digunakan untuk tujuan pengiklanan, promosi atau tujuan perdagangan lain seperti pertandingan dan promosi perdagangan untuk meningkatkan permintaan bagi barangan atau servis lain. 

Di samping itu, pihak pengurusan konsert dan pekerja juga diberi hak untuk menghalang atau menghalau seseorang yang didapati telah melanggar syarat-syarat tiket. 

 

Penggunaan bot untuk pembelian tiket

Mungkin ada yang tertanya-tanya, bagaimana scalper dan TS dapat membeli banyak tiket dengan mudah. Berdasarkan rentetan Twitter oleh Khawasaké, ulat tiket menggunakan bot tiket yang membolehkan mereka mendapat giliran pembelian tiket tanpa had. 

Lim Wei Jiet, seorang peguam, berkata pembelian tiket secara pukul menggunakan bot dan aktiviti scalping tidak menyalahi undang-undang. Menurutnya, Amerika Syarikat melaksanakan Better Online Ticket Sales (BOTS) Act 2016 untuk menghukum individu yang menggunakan bot tiket untuk melakukan pembelian tiket pukal secara automatik. 

 

Hukum penjualan semula tiket
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini pernah mengeluarkan artikel berkenaan ulat tiket bagi industri bola sepak. Perbuatan scalping timbul kerana ulat tiket ingin memonopoli pasaran dan bersikap tamak. Ia menyebabkan ramai orang terpaksa mendapatkan tiket dengan harga berlipat kali ganda daripada harga asal. Oleh itu, ia hampir sama dengan makna al-ghabn al-fahisy dan ihtikar yang diharamkan oleh ramai ulama. 

Pendapat ini turut disokong oleh kenyataan daripada Ustaz Azhar Idrus. Beliau berkata tindakan memonopoli tiket adalah haram kerana menyebabkan individu lain terpaksa membeli pada harga yang lebih mahal.

 

Penjualan semula tiket tidak melanggar undang-undang

Ketiadaan undang-undang spesifik berkenaan penjualan semula tiket bermaksud aktiviti tersebut tidak salah di sisi undang-undang. Namun begitu, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh ejen penjual tiket dan tindakan boleh dikenakan di bawah tindakan sivil.

Di samping itu, menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, penjualan semula tiket dengan harga yang terlampau mahal boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599). 


Rujukan:

1. https://asklegal.my/p/resell-scalping-concert-show-ticket-illegal-malaysia-law
2. https://golive-asia.com/event-detail/56/Coldplay-Music-Of-The-Spheres-World-Tour-delivered-by-DHL
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/677-bayan-linnas-siri-ke-111-fenomena-ulat-tiket-di-stadium-satu-pandangan
4. https://www.therakyatpost.com/trpbm/berita/2023/05/18/fahmi-fadzil-arah-skmm-siasat-iklan-jualan-semula-tiket-konsert-coldplay/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago