Adakah Penumpang Kapal Terbang Boleh Mendapat Pampasan Jika Penerbangan Ditunda?

Benar
Adakah Penumpang Kapal Terbang Boleh Mendapat Pampasan Jika Penerbangan Ditunda?

Penerbangan yang ditunda boleh menjejaskan penumpang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 05/01/2023 - Disunting : 05/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Penumpang Kapal Terbang Boleh Mendapat Pampasan Jika Penerbangan Ditunda?

Isu penerbangan ditunda atau dijadualkan semula, terutamanya penerbangan oleh syarikat penerbangan kos rendah sememangnya sering dilaporkan berlaku. Keluhan dan rungutan penumpang pesawat yang terjejas telah dikongsikan oleh bekas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Mei 2022 di akaun Twitternya.

Penangguhan penerbangan

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 merupakan sebuah kod undang-undang berkaitan servis penerbangan di Malaysia. MACPC mempunyai suatu bahagian khas berkenaan penangguhan dan pembatalan penerbangan, yang menggariskan bahawa syarikat penerbangan perlu menawarkan pampasan seperti di dalam Jadual Pertama sekiranya penerbangan ditunda selama dua jam ke atas.

Namun begitu, pampasan tidak perlu diberikan sekiranya syarikat penerbangan dapat membuktikan penangguhan penerbangan adalah disebabkan oleh keadaan-keadaan luar biasa yang tidak dapat dielakkan. Keadaan-keadaan yang dimaksudkan adalah dalam kes jika peperangan berlaku, keadaan meteorologi yang tidak sesuai dengan penerbangan, risiko keselamatan, kelemahan keselamatan penerbangan yang tidak dijangka serta mogokan yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan. 

Kredit gambar: Tasos Mansour/ Unsplash

Pada masa yang sama, syarikat penerbangan perlu dengan jelas memaparkan suatu notis di kaunter-kaunter check-in. Notis tersebut perlu menerangkan bahawa jika penumpang tidak diizinkan menaiki kapal terbang atau penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan selama sekurang-kurangnya dua jam, mereka boleh bertanya kepada kaunter check-in atau pintu pelepasan mengenai hak-hak mereka berkenaan pampasan dan jagaan.

Penumpang yang terkesan juga boleh meminta syarikat penerbangan menyediakan sebuah notis bertulis yang menggariskan pampasan dan jagaan yang boleh didapatkan serta butiran tentang jabatan berkaitan yang boleh dihubungi.

 

Pampasan yang boleh diterima 

Baru-baru ini, akaun Twitter Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah membuat sebuah hantaran mengenai penerbangan yang ditunda atau dibatalkan. Menurutnya, sekiranya suatu penerbangan ditunda atau dibatalkan, penumpang berhak mendapatkan pampasan yang sewajarnya.

Bagi penerbangan yang ditunda dua jam atau lebih, penumpang boleh menuntut pampasan dalam bentuk makanan, panggilan telefon dan akses internet. Manakala jika penerbangan ditunda lebih lima jam, penumpang boleh mendapatkan pampasan penginapan hotel dan pengangkutan. 

Berdasarkan MACPC, pampasan dalam bentuk penginapan hotel hanya diberikan sekiranya terdapat keperluan untuk bermalam. Pengangkutan pula disediakan bagi perjalanan di antara lapangan terbang dan tempat penginapan sahaja. 

Sebagai tambahan, bagi penerbangan yang dibatalkan, penumpang layak mendapat pembayaran balik secara penuh dalam tempoh 30 hari atau diberikan penerbangan alternatif lain. Selain itu, jika masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak lagi memenuhi tujuan perjalanan pengguna, syarikat penerbangan perlu membuat pembayaran balik bagi tiket tersebut. 

 

Penumpang yang terkesan dengan tundaan penerbangan boleh mendapat pampasan

Penumpang tidak perlu risau sekiranya menghadapi penerbangan yang ditunda mahupun dibatalkan kerana undang-undang jelas menggariskan pampasan-pampasan yang boleh diterima oleh penumpang yang terjejas.

Di samping itu, penumpang juga boleh mengambil insurans tambahan apabila membuat tempahan tiket penerbangan untuk menikmati pampasan tambahan. Sebagai contoh, syarikat insurans Tune Protect Travel di bawah Air Asia menawarkan RM200 sekiranya penerbangan ditunda selama dua jam, dengan tambahan RM150 bagi setiap enam jam berikutnya (maksimum RM1,050). 

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata sekiranya penumpang yang terjejas dengan kelewatan atau pembatalan penerbangan tidak mendapat pampasan yang sepatutnya, aduan rasmi perlu dibuat pada syarikat penerbangan. Aduan juga boleh dibuat kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart.


Rujukan:

1. https://flysmart.my/wp-content/uploads/2018/06/Malaysian-Aviation-Consumer-Protection-Code-2016.pdf
2. https://www.buzzkini.com/news/2022/05/11/isu-tukar-jadual-penerbangan-mavcom-buat-siasatan-arah-syarikat-penerbangan-kemukan-data/
3. https://www.tuneprotect.com/airasia/wpua/en/index.php

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago