Adakah Peralatan Sukan Seperti Kayu Baseball Serta Senjata Lain Boleh Dibawa Di Dalam Kereta Bagi Tujuan Keselamatan?

Salah
Adakah Peralatan Sukan Seperti Kayu Baseball Serta Senjata Lain Boleh Dibawa Di Dalam Kereta Bagi Tujuan Keselamatan?

Sesetengah individu membawa peralatan yang boleh dijadikan sebagai senjata di dalam kereta untuk melindungi diri mereka

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/11/2023 - Disunting : 20/11/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Peralatan Sukan Seperti Kayu Baseball Serta Senjata Lain Boleh Dibawa Di Dalam Kereta Bagi Tujuan Keselamatan?

Pasti anda pernah membaca tajuk berita atau melihat video seseorang menggunakan ‘senjata’ untuk menyerang seseorang seperti dalam situasi kemalangan atau road rage. Antara ‘senjata’ yang digunakan adalah dalam bentuk kayu baseball atau steering lock

Namun begitu, terdapat juga individu yang menyimpan peralatan seperti kayu baseball yang boleh dijadikan senjata sebagai tujuan pertahanan diri. Persoalannya, adakah perkara ini dibenarkan atau bertentangan dengan undang-undang negara?

 

Kategori senjata

Sebelum mengupas lanjut mengenai undang-undang membawa senjata, penting untuk mengenali jenis senjata berdasarkan undang-undang terlebih dahulu. Menurut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (CESOWA), senjata boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Senjata Berjadual dan Senjata Berbahaya. 

Senjata Berjadual merujuk kepada 12 jenis senjata dalam Jadual Kedua CESOWA, manakala Senjata Berbahaya bermakna peralatan yang jika digunakan sebagai senjata serangan, kemungkinan besar akan mengakibatkan kecederaan.

Sebagai makluman, CESOWA tidak merangkumi undang-undang berkenaan senjata api, tetapi senjata lain seperti pisau dan parang. Senjata api adalah dilarang sama sekali dimiliki kecuali oleh individu berkelayakan yang perlu menjalani tapisan rapi.

Berikut merupakan ringkasan Senjata Berjadual berdasarkan laman web Ask Legal:

  1. Flick knife, iaitu pisau yang mengeluarkan bilah secara automatik melalui kuasa putaran pusat atau dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
  2. Gravity knife, iaitu pisau yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tarikan graviti.
  3. Alat sebatan/ libasan (whip) yang diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
  4. Semua jenis buku lima (knuckle duster).
  5. Semua jenis bilah yang boleh disembunyikan (concealed) atau alatan lain yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam.
  6. Bearing scraper, iaitu pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing.
  7. Kapak kecil
  8. Senjata yang dikaitkan dengan agama atau kepercayaan seperti pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
  9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau bercucuk tanam.
  10. Lembing dan mata lembing.
  11. Panah-silang (crossbow).
  12. Senjata elektrik seperti Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.

Senjata Berjadual adalah senjata yang diharamkan sama sekali pemilikannya oleh mana-mana individu. Seseorang yang membawa, memiliki, menghasilkan, menjual atau memberi Senjata Berjadual tanpa sebab menurut undang-undang akan disabit bersalah. Bagi Senjata Berbahaya pula, ia menjadi kesalahan apabila dibawa ke tempat awam tanpa sebab yang dibenarkan undang-undang (lawful purpose). 

Menurut Seksyen 6 dan 7 CESOWA (Pindaan 2013), kedua-dua perkara ini membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun jika disabit bersalah, dengan hukuman sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 6.

 

Alatan berupa senjata untuk tujuan munasabah

Mungkin timbul persoalan berkenaan pemilikan senjata oleh individu tertentu seperti anggota polis. Seksyen 6(3) CESOWA menyatakan bahawa individu berikut dianggap membawa senjata dengan kebenaran, yakni lawful authority, jika ia dibawa atas sebab atau berkaitan dengan tugasannya:

  • Anggota angkatan tentera, pasukan tempatan, atau polis Malaysia.
  • Pasukan pelawat yang melawat Malaysia dengan kebenaran mengikut undang-undang.
  • Pegawai yang berkhidmat dengan kerajaan atau pihak berkuasa tempatan Malaysia.
  • Individu yang membawa senjata sebahagian daripada pakaian rasmi atau istiadat bagi upacara rasmi, seperti keris.

Bagi Senjata Berbahaya pula, ia boleh dibawa dengan tujuan yang dibenarkan di bawah undang-undang atau lawful purpose. Antara contoh peralatan tersebut adalah peralatan sukan berkayu seperti kayu kriket dan kayu hoki, senjata seni mempertahankan diri seperti pedang kayu kendo, serta parang untuk berkebun. Walaupun ia boleh digunakan sebagai senjata, namun ia masih boleh dibawa jika untuk tujuan munasabah. Namun, pastikan ia hanya dibawa ketika hendak digunakan dan tidak ditinggalkan di dalam kereta sepanjang masa. 

Menurut laman web AskLegal, individu dengan pekerjaan yang terdedah kepada bahaya seperti peguam, mungkin boleh diberi pengecualian untuk membawa senjata. Secara ringkasnya, jika membawa sebarang senjata, pastikan perkara berikut:

  • Bukan Senjata Berjadual di bawah Jadual 2 CESOWA.
  • Mempunyai kebenaran di bawah undang-undang.
  • Bukan bertujuan untuk mencederakan sesiapa.
  • Tidak berada di kawasan berkadar jenayah tinggi ataupun tempat yang disyaki ketika membawa senjata tersebut.

 

Bawa senjata untuk keselamatan diri

Bagaimana pula jika seseorang membawa Senjata Berbahaya atau peralatan yang boleh dijadikan senjata atas tujuan untuk keselamatan diri? Peguam Faizal Rahman berkata membawa senjata berkenaan, walaupun hanya pisau kecil dan atas alasan melindungi diri, tetap boleh menjadi kesalahan di bawah CESOWA.

Menurutnya, Malaysia bukan negara berkadar jenayah tinggi sehingga seseorang perlu bersedia dengan senjata apabila keluar dari rumah. Oleh kerana Malaysia tidak membenarkan pemilikan senjata api secara sewenang-wenangnya dan akses kepada pasukan keselamatan mudah, pemilikan senjata atas alasan tujuan keselamatan diri tidak diterima.

Faizal berkata perkara ini adalah bertujuan untuk mencegah kes jenayah bersenjata seperti samun, peras ugut dan pecah rumah, serta aktiviti kumpulan kongsi gelap. Walaupun begitu, penahanan akan dilakukan dengan teliti supaya individu tidak bersalah tidak dianiaya. 

Jika dikatakan sesuatu alatan dibawa untuk tujuan keselamatan diri, sudah tentu ia merupakan sejenis senjata yang boleh menyebabkan kecederaan kepada pihak lawan. Seksyen 4 CESOWA menyatakan bahawa seseorang yang menggunakan senjata berbahaya dengan niat menyebabkan kecederaan, akan disabit bersalah dan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun dengan sebatan. Sabitan ini terpakai walaupun kecederaan tidak berlaku. 

Peralatan yang boleh dijadikan senjata tidak boleh dibawa ke tempat awam, termasuk di dalam kereta, atas alasan keselamatan diri

Berdasarkan undang-undang berkenaan senjata di Malaysia, terdapat jenis senjata menurut Jadual Kedua CESOWA yang diharamkan sama sekali pemilikannya oleh seseorang. Malah, peralatan yang boleh dijadikan senjata (Senjata Berbahaya) juga tidak boleh dibawa ke tempat awam tanpa sebab munasabah yang dibenarkan undang-undang. 

Ini termasuk parang berkebun dan peralatan sukan yang boleh dijadikan alatan untuk menyerang seseorang dan menyebabkan kecederaan. Oleh itu, peralatan sedemikian tidak sepatutnya dibiarkan di dalam kereta kerana boleh menimbulkan syak wasangka oleh pihak berkuasa sekiranya ditahan. 

Seorang Timbalan Pendakwa Raya yang ditemu bual oleh pihak Bernama menasihati orang awam supaya membawa senjata dengan tujuan yang betul dan tidak memberi alasan untuk keselamatan diri. Lebih elok jika senjata disimpan di rumah, dan hanya membawa apabila ingin ke tempat peralatan tersebut akan digunakan. 


Rujukan:

1. https://tcclaw.com.my/wp-content/uploads/2020/12/Corrosive-and-Explosive-Substances-and-Offensive-Weapons-Act-1958.pdf
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/syarat-ketat-pemilikan-senjata-api-271377
3. https://asklegal.my/p/Bolehkah-membawa-senjata-mempertahankan-diri-kereta-poket-pisau
4. http://www.jmm.gov.my/files/Slaid%20Program%20Bicara%40Muzium%20Keris%20Senjata%20atau%20Busana.pdf
5. https://www.cljlaw.com/files/bills/pdf/2013/MY_FS_BIL_2013_13.pdf
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/individu-bawa-senjata-untuk-keselamatan-diri-boleh-dipenjara-162563

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago