Adakah Perkahwinan Kanak-kanak Digalakkan di Malaysia?

Salah
Adakah Perkahwinan Kanak-kanak Digalakkan di Malaysia?

Isu perkahwinan kanak-kanak sering diperdebatkan di Malaysia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 19/08/2022 - Disunting : 19/08/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Perkahwinan Kanak-kanak Digalakkan di Malaysia?

United Nation Children’s Fund (UNICEF) mendefinisikan perkahwinan bawah umur atau perkahwinan kanak-kanak sebagai perkahwinan yang melibatkan mereka di bawah umur 18 tahun. Pada tahun 2018, UNICEF melaporkan sebanyak 1,856 kes perkahwinan bawah umur di Malaysia, dengan 90% daripada kanak-kanak tersebut ialah kanak-kanak perempuan. Perkahwinan bawah umur berlaku di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar, di semua negeri di Malaysia dan dalam kalangan semua komuniti etnik dan agama. Ketika itu, Sabah merupakan negeri dengan jumlah perkahwinan kanak-kanak beragama Islam tertinggi, manakala Pahang merupakan negeri dengan jumlah perkahwinan kanak-kanak bukan Islam tertinggi.

 

Perkahwinan Kanak-kanak di Malaysia

Secara umumnya, had umur minimum bagi pengantin wanita beragama Islam di Malaysia adalah 16 tahun, berbeza dengan had umur minimum lelaki iaitu 18 tahun. Perkara ini bermakna, perempuan Islam berumur 16 tahun ke atas tidak perlu mendapatkan kebenaran untuk berkahwin. Bagi individu bukan Islam pula, walaupun umur minimum ditetapkan pada 18 tahun, perempuan berumur 16 tahun ke atas boleh mendapatkan kebenaran daripada ketua menteri atau menteri besar untuk berkahwin awal. 

Sebuah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur telah diterbitkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada Januari 2020. Pelan tersebut menggariskan punca-punca perkahwinan bawah umur di Malaysia seperti kemiskinan terutamanya dalam komuniti B40, kekurangan akses kepada pendidikan, dan undang-undang longgar yang membenarkan perkahwinan bawah umur. Menerusi pelan tersebut, kerajaan berhasrat untuk mengutarakan permasalahan ini, seterusnya meningkatkan umur minimum kepada 18 tahun.

 

Perkahwinan kanak-kanak tidak digalakkan di Malaysia

Walaupun had minimum telah ditetapkan, individu masih boleh membuat permohonan untuk berkahwin pada umur kurang daripada umur minimum. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan satu perbincangan berkenaan perkahwinan kanak-kanak berdasarkan penyelidikan yang telah dijalankan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). JAKIM merumuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak pada zaman ini adalah satu amalan yang tidak ‘sihat’. Kajian daripada UTM mendapati bahawa perkahwinan kanak-kanak mendatangkan keburukan dari aspek kesihatan dan psikologi kanak-kanak yang terbabit. 

Berkenaan dengan perkahwinan kanak-kanak yang dijalankan pada zaman Rasulullah SAW, JAKIM berkata ia adalah demi menjaga kemaslahatan kanak-kanak, berbanding dengan kerana keterlanjuran yang banyak berlaku sekarang. Walaupun perkahwinan ini hukumnya harus, ia sebenarnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Qaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’ al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih). JAKIM bersetuju bahawa syarat-syarat bagi perkahwinan kanak-kanak perlu diperketatkan dan hanya diluluskan jika ia berniat untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak. 

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Seri Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri berkata undang-undang yang ditetapkan oleh negara mengenai had umur perkahwinan harus diikuti. Hal ini bermakna, lebih wajar untuk masyarakat mengikut had umur yang telah ditetapkan. Walaupun hukum perkahwinan kanak-kanak yang dijalankan secara betul adalah sah, kebenaran perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan dalam kes yang tertentu sahaja yang mengikut kepada pihak agama negeri masing-masing. 

 

Perkahwinan kanak-kanak masih berlaku di Malaysia

Buat masa sekarang, data menunjukkan bahawa perkahwinan bawah umur masih berlaku di Malaysia. UNICEF menganggarkan sebanyak 1,500 perkahwinan kanak-kanak setiap tahun di Malaysia. Walaupun begitu, Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Ustaz Datuk Idris Ahmad berkata jumlah kelulusan permohonan kahwin bawah umur orang Islam telah berkurangan dari 2,885 kes pada September 2015 hingga Ogos 2018 kepada 2,098 kes pada September 2018 hingga Oktober 2021.

Untuk membuat pindaan terhadap had umur minimum perkahwinan, kerajaan pusat perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan-kerajaan negeri. Kini, hanya Negeri Selangor dan Sarawak yang telah membuat pindaan berkenaan umur minimum perkahwinan. Setakat hujung tahun 2019, bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata enam buah negeri bersetuju terhadap pindaan tersebut iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Johor dan Melaka.


Rujukan:

1. https://www.unicef.org/malaysia/ms/media/1796/file/Child_Marriage_factsheet_BM.pdf
2. https://www.themalaysianinsight.com/g/385979#:~:text=Data%20from%20the%20United%20Nations,Zulkefli%2C%20June%2012%2C%202022
3. https://www.malaysiakini.com/news/500370
4. https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Pelan%20Strategi%20Perkahwinan%20Bawah%20Umur/BUKU%20PELAN.pdf
5. http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10319
6. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/2512-bayan-linnas-siri-ke-141-perkahwinan-kanak-kanak-mengikut-perspektif-syariah
7. https://www.buzzkini.com/news/2022/07/19/kedah-luluskan-ruu-naikkan-had-umur-kahwin-kepada-18-tahun/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago