Adakah Perkakas Memasak ‘Non-Stick’ Berbahaya Untuk Kesihatan?

Salah
Adakah Perkakas Memasak ‘Non-Stick’ Berbahaya Untuk Kesihatan?

Perkakas memasak ‘non-stick’ memudahkan kerja-kerja memasak dan mencuci memandangkan makanan tidak akan melekat pada permukaannya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 09/10/2023 - Disunting : 09/10/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Perkakas Memasak ‘Non-Stick’ Berbahaya Untuk Kesihatan?

Terdapat berlainan jenis perkakas memasak yang diperbuat daripada pelbagai bahan seperti keluli tahan karat (stainless steel), aluminium, kaca dan tembikar. Pemilihan perkakas memasak ini kebiasaannya mengikut kepada jenis makanan yang ingin disediakan. 

Satu lagi perkakas memasak yang digunakan secara meluas adalah jenis anti lekat atau ‘non-stick’. Perkakas jenis ini memudahkan pengguna kerana makanan tidak mudah melekat dan senang dicuci. Namun begitu, permukaan perkakas memasak jenis ini sering dikatakan berbahaya kerana disalut dengan bahan Teflon. Mari kita semak jika perkara ini benar.

 

Perkakas memasak ‘non-stick’

Teflon yang digunakan di dalam perkakas memasak ‘non-stick’ dihasilkan daripada bahan polytetrafluoroethylene (PTFE). Ia merupakan bahan kimia sintetik dan sejenis plastik yang diperbuat daripada atom karbon dan fluorin dan telah dihasilkan sejak tahun 1930-an. 

Teflon akan disapu pada pelbagai permukaan sebelum dibakar untuk menghasilkan permukaan yang ‘non-stick’, kalis air, tidak karat dan tidak reaktif. Ia bertindak sebagai halangan antara permukaan produk dan elemen luar yang boleh merosakkannya. Teflon juga digunakan dalam pelbagai peralatan lain seperti salutan wayar dan kabel serta fabrik kalis air.

 

Asid Perfluorooctanoic (PFOA)

Sebenarnya, perkakas memasak ‘non-stick’ sebelum ini menggunakan bahan kimia asid perfluorooctanoic (PFOA) berbanding PTFE. Kebimbangan menggunakan bahan ‘non-stick’ adalah disebabkan oleh bahan PFOA yang digunakan dalam Teflon sehingga tahun 2013. , tetapi ia tidak digunakan lagi kini.

Walaupun kebanyakan bahan PFOA di permukaan perkakas terbakar dan hilang pada suhu tinggi ketika proses pembuatan, namun terdapat sebilangan kecil yang tertinggal pada produk akhir. 

Menurut Healthline, PFOA didapati menyebabkan beberapa masalah kesihatan seperti gangguan tiroid, penyakit buah pinggang dan hati, serta kanser testis. Ia juga dikaitkan dengan ketidaksuburan dan bayi baru lahir kurang berat badan. National Health and Nutrition Examination Survey (NHANES) bagi tahun 1999 hingga 2000 mendapati PFOA wujud dalam lebih 98% peserta tinjauan di Amerika Syarikat (AS).

Dalam masa yang sama, kajian juga menunjukkan bahawa perkakas memasak ‘non-stick’ bukan sumber utama pendedahan terhadap PFOA. Joel Beauvais dari Environmental Protection Agency (EPA) Office of Water AS berkata PFOA digunakan dalam pelbagai produk, menyebabkan ramai orang terdedah kepadanya.

Malah, PFOA juga boleh tersebar melalui udara, air dan tanah sebagai produk sampingan daripada proses pembuatan. Ia juga tidak larut dalam air atau tanah, menyebabkannya boleh tersebar jauh. Beauvais berkata PFOA turut ditemui di dalam air minuman di kawasan yang telah dicemari bahan itu. 

 

Politetrafluoroetilena (PTFE)

Dengan penggunaan PFOA yang berbahaya sebelum ini, mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang status keselamatan PTFE. Menurut Ketua Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Zanariah Abdullah, PTFE bukan sahaja digunakan di dalam perkakas memasak, malah turut digunakan dalam industri perubatan

Zanariah berkata PTFE digunakan dalam produk premium dan diguna pakai secara meluas dalam pelbagai industri, termasuk sebagai organ tiruan dan implan. Ia sebenarnya ditemui secara tidak sengaja oleh saintis Dr Roy Plunkett pada tahun 1938.

PTFE digunakan dalam perkakas dapur sebagai lapisan ‘non-stick’ kerana ciri-cirinya yang kalis bahan kimia, tidak reaktif dan mempunyai takat lebur yang tinggi. Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) juga meluluskan penggunaan bahan itu dalam perkakas masakan kerana ia selamat bersentuhan dengan makanan.

 

Demam wasap polimer

Berbanding dengan perkakas jenis lain, perkakas dengan lapisan ‘non-stick’ memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Walaupun Teflon kini tidak lagi mengandungi PFOA, namun bahan itu boleh menghasilkan wap yang berbahaya untuk kesihatan jika dibiarkan terlalu panas. 

Perkakas memasak ‘non-stick’ tidak boleh dipanaskan ketika kosong kerana ia akan mencapai suhu yang tinggi dengan cepat. Apabila mencapai suhu lebih 348°C, lapisan perkakas akan merosot dan hilang kebolehan ‘non-stick’ sedikit demi sedikit. 

Di samping itu, wasap yang terhasil daripada suhu yang tinggi ini juga boleh menyebabkan demam wasap polimer apabila dihidu. Simptom demam wasap polimer adalah menggigi, demam, sakit kepala dan sakit badan. Ia berlaku antara empat hingga 10 jam selepas pendedahan dan terhenti antara 12 hingga 48 jam. 

 

Terdapat juga sebilangan kecil kajian kes yang menemukan kesan sampingan yang lebih serius seperti kerosakan paru-paru. Namun begitu, dalam kesemua kes yang dilaporkan, individu telah terdedah kepada wasap pada suhu lebih 390°C bagi masa sekurang-kurangnya empat jam.

Sebagai tambahan, wap ini juga amat berbahaya bagi burung hingga boleh menyebabkan kematian haiwan itu. Oleh itu, bagi mereka yang memelihara burung di rumah, disarankan supaya tidak menggunakan perkakas masakan ‘non-stick’ Teflon.

 

Termakan lapisan yang tertanggal

Periuk ‘non-stick’ akan calar jika digunakan dengan senduk yang tidak bersesuaian atau dicuci dengan span yang kasar. Terdapat kebimbangan jika serpihan Teflon yang tertanggal boleh menyebabkan bahaya kepada seseorang yang termakannya. 

Walau bagaimanapun, pensyarah Kimia UM, Dr Hairul Anuar Tajuddin berkata PTFE tidak bersifat toksik dan walaupun ditelan, ia akan dinyah keluar oleh badan. Menurutnya, satu laporan menyatakan bahawa PTFE tidak akan diserap oleh tisu badan kerana molekulnya yang besar dan tidak boleh terurai. 

 

Perkakas memasak ‘non-stick’ tidak membahayakan kesihatan

Secara umumnya, menggunakan perkakas memasak jenis ‘non-stick’ tidak mendatangkan bahaya kepada kesihatan jika digunakan dengan cara yang betul. Namun begitu, wujud sedikit risiko ke atas kesihatan jika digunakan dengan suhu yang terlalu panas atau menggunakan peralatan yang akan menyebabkan lapisan Teflon tertanggal.


Rujukan:

1. https://www.healthline.com/nutrition/nonstick-cookware-safety
2. https://www.webmd.com/food-recipes/is-teflon-coating-safe
3. https://www.webmd.com/a-to-z-guides/features/what-is-pfoa
4. https://www.hmetro.com.my/WM/2021/07/727836/polemik-kuali-anti-lekat
5. https://www.teflon.com/en/consumers/teflon-coatings-cookware-bakeware/safety
6. https://vetmed.illinois.edu/pet-health-columns/bird-toxins-teflon-avocado-lead-zinc/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago