Adakah Perlu Solat Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat?

Benar
Adakah Perlu Solat Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat?

Hari raya yang jatuh pada hari Jumaat akan bertembung dengan solat Jumaat

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/04/2023 - Disunting : 12/04/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Perlu Solat Jumaat Jika Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat?

Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2023 di Malaysia dijangkakan akan jatuh pada 22 April, iaitu hari Sabtu. Pada masa yang sama, terdapat negara-negara yang menjangkakan hari raya akan berlangsung setelah hanya 29 Ramadan berbanding 30 Ramadan, iaitu pada 21 April. Sehubungan dengan itu, timbul persoalan berkenaan kewajiban melaksanakan solat Jumaat jika hari raya turut jatuh pada hari Jumaat. 

 

Penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri

Kaedah utama untuk menetapkan awal Syawal adalah melalui rukyah (cerapan) hilal, iaitu anak bulan. Perkara ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

“Jangan kamu berpuasa kecuali kamu melihat hilal (Ramadan). Dan janganlah kamu berbuka sebelum kamu melihat hilal (Syawal). Apabila penglihatan kamu dilindungi oleh awan, maka hendaklah kamu takdirkannya.” (Sahih Bukhari 2:1787)

Negara-negara yang terlibat dengan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS), menggunakan kriteria Imkan ar-Ru’yah berdasarkan syarat berikut:

Ketika matahari terbenam, tinggi hilal tidak kurang 3 darjah dan elongasi (jarak lengkung) matahari dan bulan tidak kurang 6.4 darjah

Berdasarkan kiraan tidak rasmi dan mengikut takwim, tarikh Aidilfitri di negara-negara MABIMS jatuh pada 22 April 2023 kerana kedudukan anak bulan yang tidak memenuhi kriteria tersebut. 

Namun begitu, terdapat juga kaedah lain berkenaan penentuan tarikh hari raya seperti yang dipraktikkan di Indonesia. Organisasi Islam Muhammadiyah yang menggunakan kaedah hisab wujudal hilal menetapkan tarikh hari raya pada 21 April 2023. Menurut kaedah ini, telah masuk bulan baru apabila anak bulan telah berada di atas ufuk.

 

Hukum solat Jumaat

Hukum solat Jumaat pada asalnya adalah wajib dan merupakan sebuah fardu ‘ain ke atas orang lelaki yang baligh, berakal, merdeka, bermukim, sihat dan dalam keadaan berjemaah. Ia adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam ayat 9 surah al-Jumu’ah:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”

 

Rasulullah SAW turut bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.” (Riwayat Abu Daud)

 

Solat Jumaat jika raya hari Jumaat

Walaupun begitu, terdapat pelbagai pendapat mengenai situasi hari raya jatuh pada hari Jumaat dan bertembung dengan solat Jumaat. Mazhab Hanafi dan Maliki mewajibkan solat Jumaat ditunaikan walaupun telah menjalankan solat sunat hari raya, manakala mazhab Hambali menggugurkan kewajiban solat Jumaat jika telah solat sunat hari raya. 

 

Bagi mazhab Syafie pula, kewajiban solat Jumaat adalah berdasarkan golongan. Solat Jumaat masih wajib ditunaikan bagi golongan ahlu al-balad, iaitu penduduk setempat dan para mastautin, tetapi kewajiban itu gugur bagi ahl al-qura iaitu mereka yang datang dari luar sesuatu kawasan. 

 

Perkara ini bersandarkan kepada khutbah oleh Saidina Uthman RA ketika hari raya Aidiladha: 

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya hari ini telah berkumpul bagi diri kamu dua hari raya (Aidiladha dan hari Jumaat). Barangsiapa daripada kaum al-Awali yang suka untuk menunggu sehingga solat Jumaat, maka tunggulah. Barangsiapa yang hendak balik maka aku benarkan.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Menurut Ustaz Azhar Idrus, kewajiban ini gugur untuk mereka yang tinggal jauh daripada masjid dan tidak mempunyai kenderaan untuk memudahkan perjalanan mereka. Hal ini adalah kerana mereka telah berjalan kaki ke masjid pada waktu pagi untuk solat sunat hari raya dan pulang semula ke tempat tinggal untuk menyambut hari raya. Individu yang duduk berdekatan dengan masjid dan mempunyai kenderaan tidak gugur kewajiban solat Jumaat mereka.

Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin (ms. 187) oleh Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain al-Masyhur yang juga dikenali dengan Ba`lawi menyebut:

“Maka mazhab kita, kalau bagi orang pedalaman yang jauh dari masjid Jami’ maka mereka dapat keringanan untuk meninggalkan Jumaat, sedangkan bagi yg tinggal di bandar atau dekat dengan masjid Jami’ maka solat Jumaat tetap diwajibkan kerana tidak susah baginya untuk melakukan perjalanan ke masjid untuk menunaikan kedua solat tersebut.”

 

Solat Jumaat masih perlu ditunaikan walaupun hari raya jatuh pada hari Jumaat

Hari raya yang jatuh pada hari Jumaat tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat. Namun begitu, rukhsah diberikan kepada individu yang duduk jauh dari masjid dan telah hadir solat sunat hari raya di masjid pada waktu pagi. Walaupun kewajiban solat Jumaat gugur, individu masih wajib mendirikan solat Zohor. 


Rujukan:

1. https://www.muftiselangor.gov.my/pengurusan/muftimedia/1292-kenyataan-media-prinsip-asas-dalam-penentuan-tarikh-hari-raya-di-malaysia
2. https://www.ms-aceh.go.id/berita-artikel-galeri/artikel/174-hisab-dan-rukyatul-hilal-oleh-drs-baidhowihbsh--3110.html
3. https://muis.org.my/2010/09/status-solat-jumaat-pada-hari-raya/
4. https://muftiwp.gov.my/artikel/tahqiq-al-masail/678-tahqiq-al-masa-il-siri-ke-5-hukum-solat-jumaat-jika-bertembung-dengan-hari-raya
5. Facebook Ustaz Azhar Idrus

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago