Adakah Pernikahan Kedua Dan Seterusnya Yang Dilakukan Di Luar Negara Sah?

Benar
Adakah Pernikahan Kedua Dan Seterusnya Yang Dilakukan Di Luar Negara Sah?

Sesetengah individu memilih untuk berkahwin di luar negara terutamanya dalam situasi poligami

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 28/11/2023 - Disunting : 28/11/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Pernikahan Kedua Dan Seterusnya Yang Dilakukan Di Luar Negara Sah?

Pasti anda sering mendengar kisah individu berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertamanya. Kebiasaannya, pernikahan tersebut akan dilakukan di luar negara, terutamanya di negara jiran, Thailand. Namun begitu, adakah pernikahan ini sah mengikut undang-undang negara?

 

Nikah tanpa pengetahuan isteri pertama

Sering kali, pernikahan yang dilakukan di luar negara terjadi tanpa pengetahuan isteri, apatah lagi dengan keizinannya. Mungkin ada yang mempersoalkan jika pernikahan dengan isteri kedua atau seterusnya memerlukan keizinan daripada isteri sedia ada. 

Merujuk kepada laman web Jabatan Mufti Negeri Perlis, pandangan yang memerlukan keizinan isteri, kadi atau mahkamah syariah bagi berpoligami adalah bersifat pentadbiran. Hal ini bermakna perkahwinan cukup dengan rukun nikah secara syaraknya walaupun tanpa keizinan isteri pertama. 

Malah, terdapat para ulama kontemporari yang membantah syarat mendapat keizinan kadi atau mahkamah yang diletakkan bagi berpoligami. Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Islamic Research Assembly) pada tahun 1975 telah membuat keputusan bahawa poligami adalah suatu perkara yang harus dan terpulang kepada pihak suami tanpa memerlukan keizinan kadi. 

Menurut Muhammad Azmir Azizan selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Perlis, poligami tidak memerlukan persetujuan isteri pertama. Sebaliknya, pemohon hanya perlu hadir di hadapan pendaftar dan mengemukakan dokumen yang disahkan sebagai bukti perkahwinan. Jika perkahwinan disebut dilihat sah di sisi syarak, ia boleh didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) 2006.

 

Nikah di luar negara

Dalam satu laporan oleh Utusan Malaysia pada Oktober 2023, Konsulat Malaysia di Songkhla telah memaklumkan bahawa terdapat 60 hingga 80 permohonan se­hari bagi pengesahan pasangan dari Malaysia yang bernikah di selatan Thailand. Malah, jumlah permohonan yang diterima dalam tem­poh sebulan mencecah lebih 2,400. Daripada jumlah ini, kebanyakannya adalah permohonan daripada golongan yang melakukan perkahwinan poligami secara tersembunyi daripada pengetahuan isteri pertama.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata ramai individu memilih untuk berkahwin di luar negara kerana berasa tidak mampu untuk membuat permohonan berpo­ligami menurut undang-undang di Malaysia. Mereka juga tidak berani untuk berhadapan dengan isteri pertama di Mahkamah Syariah dalam menyampaikan hasrat ingin berpoligami dan tidak bersedia menghadapi tentangan isteri sebelum berkahwin.

Selain itu, hukuman dan denda yang ringan menjadi punca ramai pasangan berani bernikah di luar negara. Kesalahan ini hanya membawa denda sebanyak RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

 

Hukum bernikah di luar negara

Isu tentang berkahwin di luar negara boleh dikaitkan dengan situasi kahwin lari atau kahwin secara rahsia. Ia bukan sahaja melibatkan perkahwinan poligami, tetapi juga pasangan yang ingin berkahwin tanpa pengetahuan keluarga atas sebab-sebab tertentu. 

Pada 2002, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat-syarat berikut:

  • Pernikahan itu mengikut rukun nikah
  • Pernikahan itu melebihi dua marhalah
  • Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak di tempat dia bermastautin.
  • Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim.

Walaupun begitu, pernikahan yang dilakukan di luar negara perlu didaftarkan dengan jabatan agama di Malaysia supaya mendapat pengiktirafan undang-undang. Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata kegagalan mendaftar perkahwinan secara undang-undang boleh menimbulkan masalah berkaitan pada masa hadapan seperti kesukaran dalam mendapatkan sijil lahir anak dan taraf isteri kedua atau seterusnya tidak diiktiraf sehingga menyukarkan tuntutan faraid.

Dalam masa yang sama, undang-undang menetapkan bahawa pernikahan yang dijalankan di luar negara perlu mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu. Kegagalan melakukan sedemikian merupakan satu kesalahan dan pasangan boleh berdepan hukuman undang-undang. 

Datuk Najmi menjelaskan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi tidak mendaftar di Malaysia dianggap sebagai tidak berkahwin dan tiada rekod perkahwinan. Perkara ini boleh menimbulkan masalah seperti kesalahan khalwat, pengurusan faraid dan nasab anak.

Menurut Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), negeri itu tidak mengiktiraf perkahwinan yang dilakukan di luar negara. Bagi pasangan rakyat Selangor, pernikahan di luar negara akan menyebabkan mereka perlu menghadiri sesi mahkamah serta membayar denda untuk mendaftarkan perkahwinan. 

 

Nikah tanpa wali mujbir

Dalam isu pernikahan, wali boleh dikategorikan kepada dua iaitu mujbir dan ikhtiyar. Wali mujbir merujuk kepada bapa dan datuk sebelah bapa wanita, manakala ikhtiyar adalah keluarga lelaki lain selain wali mujbir. Wanita perlu mendapatkan keizinan daripada wali mujbir untuk berkahwin.

Walau bagaimanapun, perkara ini hanya tertakluk apabila seorang wanita berkahwin dalam kawasan tempat tinggal wali mujbir. Sebaliknya, jika wanita tersebut berada lebih dua marhalah daripada tempat tinggal wali mujbir, perkahwinannya adalah sah walaupun tanpa persetujuan wali.

Selain itu, menurut mazhab Syafie, jurunikah yang diiktiraf boleh mengahwinkan pasangan yang berjauhan lebih dua marhalah daripada wali. Perkara ini telah diputuskan oleh  Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52.

 

Perkahwinan di luar negara sah tetapi perlu didaftarkan di dalam negara 

Ternyata bahawa perkahwinan yang dilakukan di luar negara adalah sah berdasarkan syarak. Namun begitu, pasangan diingatkan untuk mendaftarkan perkahwinan di dalam negara supaya mendapat pengiktirafan undang-undang. Kegagalan melakukan sedemikian boleh menimbulkan pelbagai masalah berkenaan pada masa akan datang. Pasangan juga boleh dikenakan hukuman undang-undang jika bernikah di luar negara tanpa mendapat keizinan pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu.


Rujukan:

1. https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/741-hukum-poligami-tanpa-izin-isteri
2. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/nikah-di-perlis-tidak-perlu-kebenaran-isteri-pertama/
3. https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/80-pasangan-malaysia-kahwin-di-thailand-setiap-hari/
4. https://www.kosmo.com.my/2023/02/02/hanya-lelaki-takut-bini-nikah-kali-kedua-di-siam/
5. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2670-irsyad-al-fatwa-siri-ke-256-nikah-siam-tanpa-wali-mujbir
6. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/nikah-di-thailand-tidak-diiktiraf-dalam-negara-selagi-tidak-daftar-dengan-jabatan-agama-404395
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1049133/pernikahan-di-thailand-tak-diiktiraf-jika-tak-daftar-dengan-jabatan
8. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4104-al-kafi-1573-kedudukan-wali-dalam-

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 months ago