Adakah Perubahan Iklim Menyebabkan Cuaca Tidak Menentu di Malaysia?

Benar
Adakah Perubahan Iklim Menyebabkan Cuaca Tidak Menentu di Malaysia?

Malaysia sering dikatakan sebagai sebuah negara yang makmur dan selamat daripada bencana alam dalam skala yang besar

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/06/2022 - Disunting : 14/06/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Perubahan Iklim Menyebabkan Cuaca Tidak Menentu di Malaysia?

Malaysia sering dikatakan sebagai sebuah negara yang makmur dan selamat daripada bencana alam dalam skala yang besar. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menyaksikan fenomena alam yang bukan sahaja memusnahkan infrastruktur, tetapi turut mengorbankan jiwa. Mengapakah fenomena ini mula terjadi di Malaysia? Adakah benar cuaca yang tidak menentu terjadi akibat perubahan iklim?

Situasi banjir di Taman Sri Muda pada 20 Disember 2021 (Kredit gambar: Fernando Fong/ TRP)

Pada Disember 2021, Malaysia telah dikejutkan dengan sebuah banjir yang melanda seluruh negara. Kejadian tersebut tidak dijangka dan terjadi akibat hujan lebat yang berterusan beberapa hari sebelum banjir melanda. Banjir tersebut disifatkan sebagai ‘banjir seratus tahun’, iaitu apabila jumlah taburan hujan dalam masa sehari bersamaan dengan jumlah taburan bagi satu bulan. Ribuan penduduk di kawasan yang terjejas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara menunggu banjir reda. Banjir tersebut menyebabkan kerugian sehingga RM6.5 billion dan mempunyai jumlah korban melebihi 50 orang.

Kejadian ini terjadi akibat peningkatan dalam jumlah taburan hujan yang sememangnya berkait rapat dengan perubahan iklim. Jabatan Pengairan Dan Saliran menganalisa data taburan hujan bagi tahun 1997 hingga 2017 dan mendapati peningkatan terbanyak berlaku pada bulan Januari (46.4%) dan Disember (12.3%). Ini dikukuhkan lagi dengan dapatan pakar klimatologi, Prof. Dr. Fredolin Tangang, yang mengatakan banjir di Malaysia semakin kerap berbanding 20 tahun lepas. Di Kuala Lumpur, banjir lebih kerap terjadi disebabkan oleh kejadian ribut petir dan hujan lebat yang meningkat sebanyak 35% dalam masa 30 tahun. Tambahan lagi, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) mendapati perubahan iklim boleh menyebabkan banjir yang teruk di kawasan pendalaman berdekatan sungai seperti di Sungai Kelantan, Sungai Muda dan Sungai Muar.

Perkara ini bukan bermaksud banjir berlaku semata-mata kerana perubahan iklim, tetapi turut berkait dengan pengurusan sumber semula jadi dan perancangan pembangunan yang tidak efektif. Sebagai contoh, proses urbanisasi seperti yang terjadi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada keadaan cuaca yang tidak menentu di bandar itu. Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat peningkatan ribut kilat di Kuala Lumpur sebanyak 35%. Ia terjadi disebabkan oleh udara panas dan udara lembab yang terkumpul dan kemudiannya naik ke atmosfera, menghasilkan hujan perolakan yang menyebabkan ribut kilat dan hujan lebat. Tanpa perancangan pembangunan yang efektif, Kuala Lumpur semakin berdepan dengan banjir kilat dan fenomena lain yang berkaitan.

Selain banjir, Malaysia juga semakin terkesan dengan fenomena ribut taufan dan puting beliung sejak kebelakangan ini. Pada 30 Januari 2022, hanya dua hari sebelum perayaan Tahun Baru Cina, kawasan Tasek di Ipoh telah dilanda ribut taufan dan puting beliung yang merosakkan ratusan rumah. Seorang penduduk berkata, ini merupakan kali pertama puting beliung melanda kawasan itu dalam masa 10 tahun beliau berada di sana. Puting beliung turut melanda kawasan Bukit Kayu Hitam di Alor Setar beberapa hari sebelum itu. Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata fenomena puting beliung sememangnya berlaku di Malaysia, tetapi dalam skala yang kecil dan kebiasaannya berlaku pada bulan April hingga Mei, dan September hingga Oktober.

Rumah yang dilanda ribut taufan di Ipoh (Kredit gambar: Tan Kok Boon/ Facebook)

Apakah yang menyebabkan perubahan iklim itu sendiri? Pemanasan global merupakan penyumbang utama kepada perubahan iklim. Malaysia telah menunjukkan peningkatan suhu sehingga hampir 1 celsius antara 1970 dan 2013. Peningkatan suhu ini menyebabkan cuaca di Malaysia menjadi semakin panas dan lembab oleh kerana wap air yang terperangkap di atmosfera. Perkara ini kemudian menyebabkan fenomena ‘bom hujan’ iaitu ribut dan hujan lebat secara tiba-tiba di suatu tempat dan boleh menyebabkan banjir kilat. Sekali lagi, peningkatan suhu ini boleh dikaitkan juga dengan pembentukan hujan perolakan terutamanya di kawasan bandar.

Perubahan iklim sememangnya menyebabkan cuaca yang tidak menentu di Malaysia

Berdasarkan maklumat-maklumat di atas, benar bahawa perubahan iklim menyebabkan Malaysia semakin terdedah kepada bencana alam seperti banjir besar dan puting beliung. Mungkin dunia akan mengambil masa beberapa tahun untuk memperbaiki iklimnya dan kita akan semakin terdedah dengan bencana alam dengan skala yang besar. Oleh itu, adalah penting untuk Malaysia menyediakan pelan mitigasi supaya nyawa dan infrastruktur dapat diselamatkan.


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/news/2021/12/18/port-klang-worst-hit-by-flood-netizens-share-flood-images-in-other-areas/
2. https://pulse.astroawani.com/banjir2021
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/taburan-hujan-sebulan-turun-dalam-masa-24-jam-hanya-berlaku-100-tahun-sekali-337325
4. https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/05/956650/kerugian-akibat-banjir-akhir-2021-cecah-rm65-bilion
5. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/01/796731/54-kematian-2-masih-hilang-akibat-banjir
6. https://www.thesundaily.my/home/is-malaysia-committed-to-addressing-climate-chance-YN8285274
7. https://agupubs.onlinelibrary.wiley.com/doi/full/10.1029/2020GL088758
8. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/917363/rumah-rosak-pokok-tumbang-akibat-ribut-di-ipoh
9. https://www.therakyatpost.com/news/2022/01/27/watch-tornado-rips-through-kedah-town-leaves-behind-a-dusty-mess/
10. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/01/917617/puting-beliung-disebabkan-ribut-petir
11. https://climateknowledgeportal.worldbank.org/country/malaysia/climate-data-historical
12. https://www.therakyatpost.com/living/2021/04/14/why-malaysia-is-experiencing-horrific-rain-storms-all-of-a-sudden/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago