Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang berkuatkuasa pada 1 Julai 1997 dan ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) menyediakan dana yang boleh dipinjam oleh para pelajar ketika menyambung pengajian ke peringkat tinggi. Ia kini turut menyediakan skim simpanan pendidikan dikenali sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Menerusi Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang diperkenalkan pada 1999, PTPTN menyediakan pinjaman sebanyak RM1,000 kepada pelajar sebagai persediaan untuk mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik. Pendahuluan itu kini telah meningkat kepada RM1,500.
Namun, timbul persoalan dari manakah sebenarnya PTPTN mendapatkan wang bagi menampung pemberian pinjaman tersebut?
Lebih RM64.8 bilion pinjaman dikeluarkan oleh PTPTN setakat September 2021
Menurut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada lebih 3.5 juta peminjam dengan jumlah mencecah RM64.8 bilion setakat 30 September 2021.
Merujuk kepada laman web PTPTN, pinjaman kini diberi kepada pelajar mengikut peratus (maksimum, 75% atau 50%) berdasarkan kepada jumlah pendapatan keluarga. Malah ia turut dibuka bagi insitusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi peringkat diploma dan ijazah pertama.
Dalam satu laporan media, Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata terdapat sekitar 180,000 pelajar yang menerima bantuan daripada pihaknya setiap tahun.
Tambahnya, angka ini menghampiri 50% daripada jumlah 350,000 pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi setiap tahun.
“Pada awal penubuhan PTPTN, hanya sekitar 27,000 peminjam sahaja yang mendapat tajaan. Selepas 27 tahun, PTPTN telah mencapai kematangan dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pendidikan di IPT disebabkan masalah kewangan,” katanya.
Dana pinjaman PTPTN tidak lagi terima geran kerajaan selepas 2002
Timbalan Ketua Eksekutif, Dasar dan Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid sebelum ini menerangkan bahawa PTPTN tidak lagi mendapat geran kerajaan bagi dana pinjamannya. Sebaliknya, ia bergantung pada bantuan daripada institusi kewangan.
Sebelum itu, PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 telah menerima geran kerajaan sebanyak RM5.3 bilion sehingga tahun 2002 sahaja.
Setakat Oktober 2018, Mastura berkata RM51.2 bilion daripada RM54.7 bilion adalah pinjaman daripada institusi kewangan. Selebihnya merupakan bayaran balik oleh peminjam terdahulu.
Oleh yang demikian, dia menerangkan bahawa kegagalan peminjam membuat bayaran semula akan mewujudkan risiko bagi PTPTN untuk terus mengeluarkan pinjaman bagi para pelajar pada masa akan datang.
“Kami pinjam daripada bank untuk beri kepada pelajar itu adalah modal pusingan dan kita harus mengutip semula daripada peminjam untuk PTPTN membayar semula pinjaman yang sudah matang kepada bank dan terus beri pinjaman kepada pelajar.
“Amat penting untuk pelajar membayar semula pinjaman kerana cabaran kita adalah harus memastikan duit itu sentiasa ada kerana jika jangka masa panjang PTPTN tidak bijak kendalikan aliran tunai tak mustahil perbadanan ini tak dapat membantu peminjam lagi,” jelasnya.
CIMB, KWSP antara Institusi Kewangan Tempatan beri pinjaman pada PTPTN
PTPTN menyediakan dananya menerusi pinjaman dengan Institusi Kewangan Tempatan sepenuhnya. Antara Institusi Kewangan Tempatan yang terlibat ialah CIMB Islamic Bank Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Maybank Islamic Bank Berhad.
Berdasarkan kepada Laporan Tahunan 2021, PTPTN telah menerima pinjaman baharu sejumlah RM2.1 bilion dari CIMB Islamic Bank Berhad dengan tempoh pinjaman sepuluh tahun.
Dalam masa sama, penerbitan Program Sukuk Berjaminan Kerajaan yang diatur oleh RHB Investment Bank berjumlah RM1 bilion turut dilaksanakan oleh PTPTN. PTPTN juga telah menyelesaikan prinsipal sukuk dengan Maybank Investment Berhad (RM0.8 bilion) dan RHB Investment Bank Berhad (RM1.2 bilion).
Walaupun kadar faedah PTPTN yang dikenakan ke atas peminjamnya hanya 1% daripada jumlah pinjaman, namun perbadanan itu masih tertakluk kepada kadar faedah lebih tinggi daripada institusi kewangan terlibat.
Adakah majoriti peminjam tidak pernah buat pembayaran balik?
Selain daripada isu dana pinjaman, timbul juga persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada majoriti peminjam PTPTN tidak pernah membuat bayaran balik. Ini adalah susulan kenyataan pada September 2024 bahawa KPT sedang mempertimbangkan beberapa tindakan terhadap mereka yang tidak pernah membayar semula pinjaman yang diterima daripada perbadanan terbabit.
Menerusi Laporan Tahunan PTPTN 2021, terdapat seramai 2,441,358 peminjam PTPTN yang telah menamatkan pengajian dengan jumlah patut dibayar balik sebanyak RM25.51 bilion setakat 31 Disember.
Daripada jumlah ini, 1,937,047 (79.3%) telah membuat bayaran balik berjumlah RM16.24 bilion, dengan 786,151 (32.2%) daripada mereka sudah menyelesaikan pinjaman. Bagi tahun 2021, jumlah kutipan bayaran balik sebanyak RM2.36 bilion telah dicapai, meningkat 74.8% berbanding 2020 (RM1.35 bilion). Malah, bilangan peminjam yang mula membayar balik turut meningkat 11.76% pada 2021 berbanding 2020.
“Seramai 434,414 (17.8%) membuat bayaran balik secara konsisten, 716,482 (39.35%) membuat bayaran secara tidak konsisten,” menurut laporan tersebut
Sebaliknya, seramai 504,311 (20.66%) peminjam tidak pernah membuat bayaran balik setakat 30 September 2021.
Jumlah peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman menurun apabila Menteri KPT Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada September 2024 memaklumkan bahawa terdapat 430,000 peminjam yang masih gagal dikesan dengan pinjaman bernilai RM6 bilion.
Tambah Zambry, jumlah ini tidak merujuk kepada mereka yang “sedang membayar ataupun yang lari sekejap, kurang bayar sekejap ini,” tetapi peminjam yang langsung tidak membuat sebarang bayaran balik sejak hari pertama bergelar graduan. Malah mereka tidak pernah melaporkan keadaan termasuk tempat bekerja serta membincangkan tentang cara pembayaran semula pinjaman.
“Ini kategori yang tak peduli sejak hari pertama dia keluar (dari universiti), dia tak maklumkan keadaan dia, di mana dia bekerja, bagaimana dia nak (buat pembayaran semula), sepatutnya perlu bincang. Mereka tak peduli langsung untuk bayar.
“Saya mengingatkan kepada mahasiswa-mahasiswi kita akan tanggungjawab moral kita iaitu wang ini adalah bentuk wang pinjaman nanti apabila selepas mereka belajar, mereka sudah pun mendapat pekerjaan yang baik, laksanakanlah tanggungjawab moral kita kerana wang itu apabila mereka bayar balik, kita akan gunakan untuk membantu generasi yang akan datang pula,” katanya dipetik Sinar Harian.
PTPTN Lakukan Pinjaman Dengan Institusi Wang Tempatan & Majoriti Peminjam Sedang Membayar
Walaupun penubuhan PTPTN dilakukan di bawah akta, namun dana yang disediakan buat para pelajar merupakan hasil pinjaman daripada institusi kewangan negara dan bukanlah geran kerajaan sejak tahun 2002.
Perbadanan itu walau bagaimanapun telah menerima geran kerajaan lebih RM1.8 bilion bagi tahun 2021 yang digunakan bagi kos dana pinjaman/ sukuk PTPTN (RM1.6 bilion) serta pelaksanaan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan moratorium bayaran balik Pinjaman PTPTN (RM211 juta).
Di samping itu, walaupun wujud kegusaran bahawa kebanyakan peminjam PTPTN langsung tidak membuat bayaran pinjaman, namun data menunjukkan majoriti sedang melakukan bayaran balik sama ada secara konsisten mahupun tidak. Malah, jumlah mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik menurun dari lebih 500 ribu pada 2021 kepada 430 ribu sehingga September 2024.