Adakah Pulau Pinang Hak Milik Kedah?

Salah
Adakah Pulau Pinang Hak Milik Kedah?

Beberapa individu telah mendakwa Pulau Pinang sebenarnya dimiliki oleh Kedah

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 02/06/2023 - Disunting : 02/06/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Pulau Pinang Hak Milik Kedah?

Baru-baru ini, ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis di Wisma Darul Aman, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah

Menurutnya, tiada sebarang sempadan yang ditetapkan antara Pulau Pinang dan Kedah. Persoalannya, adakah Pulau Pinang sebenarnya hak milik Kedah pada masa kini?

 

Sejarah Pulau Pinang-Kedah

Pulau Pinang dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah yang ditadbir oleh sultan Kedah, Sultan Abdullah Mukarram Shah. Setelah menghadapi serangan daripada wilayah Siam pada tahun 1785, sebuah perjanjian antara Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan Sultan Abdullah termaktub.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar berkata Pulau Pinang adalah hak milik Kedah sejak awal lagi. Namun begitu, keadaan mula berubah apabila Sultan Abdullah memeteraikan sebuah perjanjian dengan SHTI yang diwakili oleh Francis Light.

Di bawah Perjanjian Inggeris-Kedah 1786, Sultan Abdullah membenarkan SHTI menduduki Pulau Pinang yang dinamakan Prince of Wales Island, manakala SHTI perlu memberikan perlindungan ketenteraan kepada Kedah.

Kemudian, ketika pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II, Perjanjian Inggeris-Kedah 1800 pula termeterai. Di bawah perjanjian ini, Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley) diserahkan kepada SHTI dengan pampasan sebanyak 10,000 dolar Sepanyol setahun.

Ibrahim membahagikan pendudukan Pulau Pinang oleh Inggeris kepada tiga fasa iaitu pendudukan haram (fasa pertama), pendudukan permaksaan (fasa kedua) dan perjanjian berat sebelah Seberang Perai (fasa ketiga). 

 

Keabsahan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat

Walaupun dari segi sejarah jelas bahawa Pulau Pinang dimiliki Kedah dahulu, namun perkara tersebut telah berubah dengan kedatangan pihak British dan pertubuhan Persekutuan Tanah Melayu. 

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Sigh berkata Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai sebuah negeri di bawah kumpulan Negeri-negeri Selat, yang merangkumi Singapura dan Melaka, di bawah pentadbiran SHTI.

Pulau Pinang dan Province Wellesley diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat apabila termaktubnya beberapa perjanjian iaitu Perjanjian Kedah-Inggeris 1923, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, antara negeri Kedah dan pihak British. 

 

Menurut Ahli Majlis Profesor Negara (Kluster Politik, Governan dan Undang-Undang), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Perlembagaan Persekutuan (menurut Perkara 1(2)) jelas mengiktiraf Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. 

Perkara ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah negeri sendiri dan bukanlah sebahagian daripada Kedah. 

Ramkarpal turut berkata Perkara 71(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap negeri di bawah Persekutuan mempunyai sebuah Perlembagaan Negeri masing-masing yang memperuntukkan cara pengendalian Kerajaan Negeri. Perkara ini termasuk bagi Pulau Pinang yang diiktiraf statusnya sebagai sebuah negeri. 

 

Di samping itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, menjelaskan enakmen negeri bagi Pulau Pinang dan Kedah telah diwartakan dengan penggarisan sempadan negeri di “garis pusat” Sungai Muda pada tahun 1985. Di bawah enakmen tersebut, Pulau Pinang memiliki sebahagian daripada Sungai Muda dan mempunyai hak untuk mengambil air daripada sungai tersebut.

Selain itu, terdapat juga batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang.

 

Pulau Pinang bukan milik Kedah

Sejarah membuktikan bahawa Pulau Pinang adalah kepunyaan Kedah ketika zaman pemerintahan Sultan Abdullah dan sultan berikutnya, namun kini jelas Pulau Pinang merupakan sebuah entiti sendiri. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang diiktiraf sebagai sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu.

Walaupun dikatakan perjanjian-perjanjian yang termeterai sebelum ini tidak menyatakan pemindahan keluar Pulau Pinang daripada Kedah, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 menjadi asas pengiktirafan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berdaulat. 

Malah, Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) telah digubal bagi menentukan sempadan antara Pulau Pinang dan Kedah, membuktikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berasingan dari Kedah.

Digubal berdasarkan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan, akta tersebut turut dipersetujui oleh Majlis Raja-raja Melayu. Ia mengandungi undang-undang konklusif dan merupakan perjanjian yang sah antara kedua-dua negeri tersebut.

Berdasarkan data oleh Jabatan Perangkaan Negara, Pulau Pinang merupakan negeri dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi bagi tahun 2021, dengan peningkatan KDNK sebanyak 6.8% melebihi kadar peningkatan KDNK negara 3.1%. Pulau Pinang juga merupakan negeri Semenanjung kedua KDNK per kapita tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (yang digabung dengan Putrajaya).

Sumber: Jabatan Perangkaan Negara


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/05/972199/tiada-sempadan-sebab-pulau-pinang-milik-kedah-kata-muhammad-sanusi-metrotv
2. https://www.malaysiakini.com/letters/597839
3. https://pekhabar.com/h-i-d-s-perjanjian-inggeris-dengan-sultan-kedah/
4. https://www.sinarharian.com.my/article/261011/edisi/utara/pulau-pinang-tidak-pernah-terpisah-dari-kedah
5. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pulau-pinang-negeri-berdaulat-keabsahannya-tidak-boleh-dipertikai-ramkarpal-421857
6. https://www.sinarharian.com.my/article/261239/berita/nasional/perjanjian-persekutuan-1957-jadikan-pulau-pinang-negeri-berdaulat
7. https://www.jakess.gov.my/pdffile/ENAKMEN/Perlembagaan%20Persekutuan%20.pdf
8. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/05/1108296/dakwaan-pulau-pinang-milik-kedah-langgar-perlembagaan-persekutuan
9. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/gross-domestic-product-gdp-by-state-2021

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago