Adakah Rakyat Malaya Menyambut Pertabalan Ratu England Elizabeth II?

Benar
Adakah Rakyat Malaya Menyambut Pertabalan Ratu England Elizabeth II?

Ratu Elizabeth II telah mangkat pada 8 September 2022 pada usia 96 tahun

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 14/09/2022 - Disunting : 14/09/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Rakyat Malaya Menyambut Pertabalan Ratu England Elizabeth II?

Seorang pengguna Twitter berkongsikan gambar-gambar sambutan pertabalan mendiang Ratu Elizabeth II yang dijalankan di Malaya. Mari kita gali lebih lanjut mengenai sambutan ini. 

 

Sejarah pertabalan Ratu Elizabeth II

Berita kematian Raja George VI pada 6 Februari 1952 diterima oleh Puteri Elizabeth ketika sedang dalam lawatan ke sebuah negara Komanwel, Kenya. Ketika itu, Puteri Elizabeth menggantikan bapanya bagi lawatan ke negara-negara Commonwealth kerana keadaan Raja George VI yang tidak mengizinkan. Selepas kematian tersebut, Puteri Elizabeth serta-merta memegang gelaran Ratu Elizabeth II. Walau bagaimanapun, pertabalan Ratu hanya dijalankan pada 2 Jun 1953 di Westminster Abbey. 

 

Sambutan pertabalan Ratu Elizabeth II di London 

Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin dari 129 negara Komanwel dan jajahan monarki England ketika itu hadir sebagai wakil di sambutan pertabalan Ratu. Mewakili Tanah Melayu, empat orang sultan iaitu Sultan Johor, Sultan Kelantan, Sultan Perak dan Sultan Selangor, berangkat ke London untuk meraikan hari pertabalan Ratu

Kredit gambar: The Royal Household © Crown Copyright

Askar-askar dan anggota polis Malaya turut hadir di perayaan itu. Selain itu, 12 orang ahli Malaysian Armed Forces menjadi sebahagian daripada perarakan ketenteraan dari 24 negara Komanwel. Malah, dua orang wakil Malaya, Leftenan Mohamed Nor Jamin dan Leftenan Muda Hassan Lokeh dari Rejimen Askar Melayu menjadi sebahagian daripada pengiring berkuda Ratu. Dalam perjalanan pulang perarakan dari Westminster Abbey ke Buckingham Palace, perarakan Ratu diketuai oleh angkatan bersenjata yang berkhidmat di Malaya ketika itu, iaitu angkatan bersenjata Persekutuan Tanah Melayu, King’s African Rifles dan angkatan tentera Fiji. 

 

Perayaan pertabalan Ratu Elizabeth II di Malaya

Perayaan pertabalan Ratu bukan sahaja disambut di London, tetapi disambut meriah di seluruh dunia termasuk Malaya. Di Malaya, pertabalan Ratu disambut selama hampir satu minggu di banyak bandar dan kampung yang seolah-olah bersaing antara satu sama lain. Beberapa bulan sebelum pertabalan Ratu, rakyat awam seluruh negara telah menyumbangkan dana untuk merayakan minggu Pertabalan. Papan tanda dengan lukisan mahkota serta tulisan “Long May She Reign” dan “God Save the Queen” boleh dilihat di banyak tempat. Bunga api juga dinyalakan di beberapa bandar seperti Kuala Lumpur, Georgetown dan Taiping. 

Perarakan diadakan di hampir kesemua bandar-bandar di Malaya. Di Kuala Lumpur, Minggu Pertabalan bermula dengan perarakan angkatan tentera di padang Kelab Selangor. Antara perarakan lain yang menonjol adalah perarakan air di Lake Gardens, Kuala Lumpur dan perarakan Chingay di Pulau Pinang. Tambahan lagi, perarakan pada sebelah malam turut diadakan dan dipimpin oleh kanak-kanak sekolah dengan tanglung dan lampu suluh. Perarakan itu bermula dari bangunan Sultan Sulaiman pada 8.30 malam 6 Jun, dan melalui pelbagai jalan utama seperti Jalan Raja, Jalan Ampang dan Jalan Petaling sebelum bersurai kembali di Jalan Raja. Walaupun perayaan diadakan ketika bulan Ramadan, orang Islam turut bersama-sama merayakan pertabalan Ratu dengan perayaan harian di King’s House (kini Carcosa Seri Negara) diadakan hanya pada waktu malam. 

 

Rakyat Malaya turut menyambut Pertabalan Ratu Elizabeth II

Sebagai salah satu negara jajahan monarki England ketika itu, Malaya tidak terkecuali daripada menyambut pertabalan Ratu Elizabeth II. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jika sambutan di Malaya dijalankan atas arahan pihak atasan atau secara sukarela oleh rakyat Malaya. 

 


Rujukan:

1. https://www.royal.uk/the-queens-accession-and-coronation
2. https://www.astroawani.com/berita-dunia/empat-sultan-mewakili-tanah-melayu-hadir-ketika-pertabalan-ratu-elizabeth-ii-pada-1952-380250
3. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/06/07/malaya-queen-elizabeths-1953-coronation/
4. https://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2022/06/09/when-malaya-was-agog-over-queen-elizabeths-coronation/
5. https://www.nst.com.my/amp/lifestyle/sunday-vibes/2017/06/245568/when-elizabeth-ruled-malaya

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago